Thursday 28 December 2017

Ammar Dua Tahun

Usia Ammar memasuki dua tahun. Keletahnya memeriahkan rumah. Dengan mulutnya yang becok tanpa banyak butir kata yang difahami dia gemar berbicara yang mengundang tawa. Sambutan hari lahir Ammar dilakukan bersahaja, secara santai bersama sambutan hari lahir Naili yang kebetulan pada 22 Disember lalu. Tiada acara besar, hanya kek brownies dengan kemeriahan keluarga abang Bullah dan abang Hakim.

Sunday 24 December 2017

Kreativiti Laman Rumah

Hobi Mr Hubby masih berterusan dengan tanaman pelbagai pokok yang menghijau menghiasi laman rumah. Rutinnya di rumah - tanpa mengira waktu - adalah pada hobi terbabit. Jika di luar rumah tanaman pikok hiasan, dan di dalam rumah selalunya dihabiskan dengan membentuk bekas-bekas sabun untuk dijadikan pasu hiasan tanamannya.

Tuesday 12 December 2017

Ulang Tahun Perkahwinan ke-14

Sudah 14 tahun usia rumahtanggaku dan Mr Hubby. Syukur alhamdulillah. Kata Mr Hubby, sudah remaja usia perkahwinan kami. Tentunya apabila usia remaja dah tahu berfikir mana yang baik dan mana yang tidak biarpun pada usia ini lebih banyak emosi dari pertimbangan matang, maka ia perlulah diperhalusi sentiasa.

Memang, sepanjang usia 14 tahun ini macam-macam juga dugaan. Benar, mana ada lautan yang tidak bergelombang, pastinya akan dilanda badai, tetapi selagi komunikasi, kepercayaan dan tolak ansur menjadi sandaran, maka insya-Allah segala onak dapat diharungi bersama.

Friday 27 October 2017

Kenduri Arwah Bapak... Alhamdulillah

Kenduri arwah bapak berlangsung lancar... syukur Alhamdulillah. Ramainya sanak-saudara yang datang, jiran-jiran dan kenalan bapak dari jauh dan dekat semuanya menziarah. Dari khabar kematian bapak sehinggalah kenduri tahlil arwah bapak laman rumah sentiasa penuh dengan cuaca pun amat baik.

Monday 23 October 2017

Bapak Berpulang ke Rahmatullah

Hari itu tiba jua... dalam usia lanjut dan keuzuran yang semakin menuntut, akhirnya bapak berpulang jua ke rahmatullah. Sungguh, sejak kebelakangan ini ada-ada sahaja yang tak kena di mata bapak, kesakitan bapak semakin kerap dan akhirnya kembalilah bapak kepangkuan-Nya. Tarikh 21 Oktober 2017 bersamaan 1 Safar 1439H bapak kembali ke sisi-Nya.

Ya, hari itu aku bekerja biarpun hari Sabtu. Ada urusan di pejabat yang menuntut aku bertugas, pulang dalam pukul 4.00 petang dalam lelah lantaran panas menyengat sepanjang pemanduan. Sempat bersua seketika dengan Mr Hubby yang mahu melaksanakan rutin harian di kedai. Kemudian aku merehatkan diri... dan bapak naik ke atas memanggilku, rasa sakit, minta dipanggilkan abang Hakim untuk datang. Aku maklum bahawa abang Hakim sekeluarga akan datang malam ini. Sekali lagi sekitar menghampiri pukul 7.00 petang bapak memanggilku namun aku sedang mandi di bilik air.

Wednesday 4 October 2017

Menggamit Memori Dalam Syarahan Perdana Prof Azizah

Lamanya aku tidak berada dalam majlis-majlis akademik dan dunia keilmuan yang tentunya suatu ketika dahulu amat sebati dengan diriku. Kali ini aku menerima jemputan untuk mengikuti Syarahan Perdana Prof Dr Azizah Haji Hamzah. Pensyarah yang amat aku kagumi sejak aku kenali beliau pada 1999, iaitu sewaktu menjadi siswi UM suatu waktu dahulu. Apatah lagi sahabat baik yang kini menjawat Ketua Jabatan Pengajian Media, Dr Azalan bersungguh mengajak aku datang, malah berkali-kali mengingatiku untuk hadir.

Saturday 2 September 2017

Aidiladha 2017

Hari Raya Aidiladha 2017. Tidak banyak persediaan yang aku lakukan. Letih berjalan jauh waktu penutup Sukan SEA masih berlarutan, nak jalan pun susah, rasanya penangan naik tangga stadium sampai ke tingkat lima...hambikkk. Apapun, raya tetap raya, pasar tetap aku pergi, beli ayam dan daging kemudian memasaknya. Tak banyak juadah yang aku sediakan untuk raya kali ini kerana aku memang tak larat, namun nasi minyak dengan ayam masak merah dan kari daging tetap ada.

Thursday 31 August 2017

KL2017 - Sukan SEA Kuala Lumpur


Selepas 16 tahun, Sukan SEA, KL2017 kembali berlangsung di Kuala Lumpur. Bermula dari 19 hingga 30 Ogos dengan acara penutupnya diadakan secara gilang-gemilang sempena sambutan ambang Merdeka, 31 Ogos. Tentunya aku dan anak-anak tak mahu ketinggalan, mahu menyaksikan sendiri di depan mata, apatah lagi Stadium Bukit Jalil pun dekat saja dari rumah.

Thursday 10 August 2017

Hamil Usia 40... Apa Salahnya?

Hamil pada usia 40 tahun...? Bukan satu perancangan namun anugerah dari Ilahi akan datang dalam pelbagai bentuk termasuklah zuriat yang tidak disangka-sangka. Memang antara aku dan Mr Hubby tidak pernah membincangkan bilangan anak, malah untuk setiap kelahiran pun bukanlah bergantung pada usia namun mengetahui diri hamil pada umur 40 tahun adalah sesuatu yang boleh dianggap mengejutkan bagiku...

Apabila aku maklumkan pada Mr Hubby... jawabnya, Alhamdulillah, itu namanya rezeki dari Allah. Kita minta macam-macam rezeki, dalam setiap doa, dalam solat dan dalam apa jua yang kita lakukan. Allah makbulkan permintaan kita dengan memberikan anugerah dalam bentuk yang kita tak sangka-sangka. Inilah kehamilan kelimaku pada usiaku genap 40 tahun.

Thursday 20 July 2017

Minggu Tak Sihat, Ameer Bengkak

Bulan ini ramai yangtak sihat, bukan hanya anak-anak tapi aku sendiri pun ambil cuti sakit sampai dua hari. Minggu berikutnya Ameer yang tak sihat. Entah macam mana, sepulangnya dari sekolah ada bengkak di dahinya, nak kata jatuh, tidak, tapi sepanjang dari membengkak. Sesekali terasa gatal. Keesokannya harinya, ketika aku mahu mengejutkannya untuk ke solah terkejut aku melihat wajahnya. Perubahan yang sangat mendadak. Wajahnya bengkak sepenuhnya, matanya sepet, bibirnya juga. Di badannya ada gatal-gatal sedikit, tak banyak.

Tuesday 18 July 2017

Mak... nak ngadu pada mak

Beruntungnya pada mereka yang masih memiliki mak.... Tentunya banyak perkara dikongsi bersama mak. Bagi aku kerinduan teramat pada mak... lagi-lagi apabila aku berdepan kegagalan dalam menyempurnakan amanah yang ada di bahuku. Aduhai mak... biarpun perginya sudah lebih sembilan tahun namun terasa pelukan eratku pada tubuh mak di saat nafas terakhirnya masih ada. Akulah itu, insan terakhir yang memeluk mak, memimpin bacaan syahadah ditelinganya sehingga kemudian bahuku digamit untuk melepaskan pelukan mak.

Friday 30 June 2017

Salam Aidilfitri 2017


Salam Aidilfitri. Hari lebaran yang tentunya kemeriahan untuk keluarga dan anak-anak. Tahun kedua bagi kami beraya di rumah sendiri setelah bapak tinggal bersama kami. Tentunya kesibukan kepada persediaan rumah adalah bagi memastikan juadah untuk dinikmati bersama, kerapian rumah dan keselesaan untuk para tetamu. Seperti tahun lalu abang Hakim sekeluarga akan meraikan bersama kami. Meriah rumah kami. Pagi hari raya anak-anak bersiap, kemudian ke surau bersama-sama bagi menunaikan solat Aidilfitri.

Sunday 18 June 2017

Imarahkan Ramadan, Iftar Bersama

Saban minggu rumah kami sentiasa ada anggota keluarga yang berbuka bersama-sama. Alhamdulillah, mereka datang membawa keberkatan dan membuka ruang rezeki yang melimpah ruah dalam keluarga kami. Tambahan pula bapak bersama kami jadi tentunya tumpuan adalah bagi menceriakan bapak dalam setiap hari-harinya. Tiada jemputan pada sesiapa untuk datang, namun aku amat terbuka pada mereka yang mahu beriftar bersama kami.

Thursday 8 June 2017

Dugaan Ramadan... Membentuk Anak Yang 'Bijak'

Membesarkan anak-anak bukan satu perkara mudah, bukan sekadar menyediakan makan, minum dan pakaian semata-mata tetapi penyediaan dalaman dengan kekuatan iman amat penting. Empat orang anak, tentunya ragam yang berbeza. Mujur anak sulung cepat matang, sentiasa serius dalam apa-apa yang dilakukan, waima memilih kawan dan pembelajaran tanpa perlu aku bimbang. Aku memantaunya sentiasa berdasarkan perkembangan usianya yang sudah semakin remaja.

Monday 5 June 2017

Afrina Pertama Kali Ke Klinik Gigi

Gigi kacip Nina dah goyang tapi tak patah-patah sedangkan gigi kekalnya dah tumbuh. Jadi berlapis la pula. Kami berkunjung ke klinik gigi. Nina dari awal dah teruja sebab tak pernah merasai pengalaman sedemikian. Selepas buka puasa kami ke klinik gigi berdekatan. Doktor Liza Maria memeriksa gigi Nina, memang patut dicabut pun sebab ia akan mengganggu pertumbuhan gigi kekal, boleh jadi gigi kekal akan senget jika dibiarkan berlarutan apatah lagi gigi susu yang goyang pun sudah longgar benar.

Friday 2 June 2017

Rawatan Susulan Bapak di Hospital

Kesihatan bapak on-off. Dari mata kasar tidak ada apa-apa yang merisaukan memandangkan pergerakan bapak ke sana ke sini boleh dibuat sendiri namun dari sudut penjagaannya secara teliti amat perlu. Pemantauan tentang ubat-ubatan bapak, sebelum makan, selepas makan, pagi dan malam dan yang utama sekali pemakanan bapak yang amat perlu diambil kira.

Friday 26 May 2017

Salam Ramadan... Berterawih Bersama Bapak...

Salam Ramadan 1438H. Alhamdulillah dapat kembali bertemu Ramadan tahun ini. Esok seluruh umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa, bulan untuk meraih sebanyak-banyaknya pahala untuk dibawa sebagai bekalan kelak. Semoga sebulan berpuasa ini akan berlangsung dengan penuh keberkatan dan dipermudahkan Ilahi  dalam menjalani ibadah. 

Sunday 21 May 2017

Berkeluarga di Tasik Perdana

Sudah lama Mr Hubby tak bawa kami sekeluarga bersantai di taman sedangkan beberapa tahun lalu boleh dikatakan saban minggu kami akan ke taman tasik. Kali ini tanpa perancangan sebenarnya, hanya menunaikan janji pada anak-anak yang mahukan pizza namun kemudiannya terus ke Taman Tasik Perdana. Tempat letak kereta penuh, menandakan ramainya pengunjung ibu kota yang meluangkan masa di sini. Tempat kebiasaan bagi aku suatu masa dahulu namun kini sudah lama tidak dijelajahinya.

Saturday 13 May 2017

Minggu Keceriaan SKS1BK

Sekolah anak-anak mengadakan Minggu Keceriaan sebagai alternatif dari PIBG untuk ibu bapa bersama-sama mencantikkan kelas anak-anak mereka dan melakukan sumbangan dalam pelbagai aspek. Memandangkan tiada sebarang peruntukkan dari kementerian kepada sekolah untuk keceriaan dan membaik pulih apa-apa yang uzur maka SKS1BK mengambil inisiatif sendiri melaksanakan program tersebut. Ibu bapa pastinya bersemangat memainkan peranan bagi melihat kelas anak-anak cantik dan anak-anak akan dapat belajar dalam suasana yang kondusif.

Monday 24 April 2017

Sukan Tahunan SKS1BK, Amira, Ameer & Nina

Sukan tahunan kali ini lebih terasa bahangnya lantaran tiga beradik mengambil acara masing-masing. Tiap malam ada-ada sahaja cerita dari mereka untuk acara yang mereka sertai. Kakak masuk perbarisan, Ameer dan Nina ada sukaneka. Kali ini berlangsung pada 23 April 2017, Ahad di padang sekolah SKS1BK. Acara dijadualkan bermula pukul 8.00 pagi. Si kakak perlu berada di sekolah sebelum pukul 7.00 pagi untuk bersedia bagi perbarisan sementara bagi Ameer dan Nina dalam pukul 8.00 pagi.

Wednesday 19 April 2017

Keuzuran Bapak Bertambah

Bapak... pagi ini bapak mengadu sakit perut. Aku minta bapak berehat. Soal pemakanan yang agak sukar untuk dituruti menjadikan keadaan kesihatan kerap kali menjadi rumit antara aku dan bapak. Bapak perlu banyak berjaga-jaga namun dalam berkawal ada juga yang tak sengaja terkena....

Kemudian bapak muntah darah, sedikit sahaja... sekali, aku gosok-gosok belakang bapak, berikan ubat dan suruh dia berbaring. Barangkali panas sehinggakan meruap sedemikian. Dalam setengah jam kemudian, sekali lagi berlaku... bapak muntah darah lagi, dalam jumlah yang lebih banyak. Lantas, bersama Mr Hubby kami putuskan untuk ke hospital saja.

Friday 14 April 2017

Selamat Hari Lahir Mr. Hubby


Mr Hubby genap berusia 41 tahun 11 April lalu. Sudah 16 tahun mengenalinya, dari usia muda belia hinggalah hari ini. Dari berdua hinggalah kami berkeluarga dan menjadi berenam. Kami tak dapat meraikannya pada tarikh kelahiran lantaran Mr Hubby berkelanan bersama rakan-rakannya ke Pulau Rawa. Anak-anak terasa terkilan lalu kiriman video ucapan ulang tahun kelahiran untuk abah diberikan.

Friday 31 March 2017

Doa Orang Tua...


Seorang ibu dan bapa mampu membesarkan sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak tidak mungkin mampu untuk membalas jasa sepenuhnya bagi menjaga seorang tua yang uzur. Sebagai ibu bapa, tentunya apa sahaja kemahuan anak-anak akan cuba untuk ditunaikan namun sebagai anak adakah mungkin menzahirkan impian seorang tua yang semakin uzur?

Sesiapa sahaja yang tidak pernah menjaga orang tua tidak akan boleh memahami kerenah dan keadaan orang tua lantas janganlah mudah berlepas kata atau menuding jari pada anak-anak sekiranya gagal menuruti permintaan orang tua kerana tentunya akan ada kewajaran atas alasan yang diberikan. Anak-anak juga tidak mungkin mahu menghampakan permintaan orang tua namun apa-apa sahaja penolakan tentunya dibuat bersebab.

Saturday 11 March 2017

Hari Lahir Ameer Sembilan Tahun

Ameer yang begitu 'banyak akal'. Ada saja perangainya yang mencuit hati, suka bersenda, gemar mengusik, mengacah dan 'lembut hati'. 7 Mac 2017, untuk hari lahirnya, dia begitu teruja. Tiap malam, dia akan memberi tahu adiknya, 'esok hari jadi abang...' Hari-hari hari jadi dia seorang, kerana baginya hari-hari adalah istimewa. 

Sambutan dibuat pada Sabtu, tetapi hanya kami sekeluarga. Permintaan Ameer untuk hari lahirnya mahukan kek coklat dan hadiah 'hot wheels'. Juga mahukan abah masak chicken chop. Aku minta Ameer sendiri membancuh kek coklat yang dimahukannya. Dia rajin ke dapur, bertanya itu ini, sukarela membantu dan banyak pula omelannya. 


Thursday 9 March 2017

Bapak tak sihat lagi

Bapak... keuzurannya semakin bertambah. Kekerapan untuk dia merasai sihat semakin berkurang kerana saban hari akan ada sahaja kesakitan yang dirasainya. Biasanya bapak akan sakit perut, itu memang asas sebab bapak ada ulser perut yang kronik. Perlukan penjagaan rapi dalam pemakanan dengan kuantiti dan masa juga amat dititikberatkan.

Allahuakhbar. Semoga Allah memberi keberkatan atas kelanjutan usia bapak. Berhadapan dengan hari-hari tanpa apa-apa aktiviti selain rutin pagi menunggu petang, berlalu malam menjengah siang. Setiap waktu ditunggu, setiap detik dinanti, masa berlalu bersama kenangan lampau terimbas. 

Monday 6 March 2017

Pelantikan Pengawas Amira di SKS1BK

Amira, semakin matang dan pemikiran melangkaui usia kanak-kanaknya. Keremajaannya semakin terserlah sebagaimana pelbagai tanggungjawab yang tergalas di bahunya. Anak sulung yang sentiasa serius, tak banyak bercakap berbanding adik-adiknya sebagaimana usianya sewaktu kecil. Memang, sedari darjah satu dia inginkan menjadi pengawas tetapi saban tahun dia tidak terpilih. Darjah tiga dan empat menjadi penolong ketua kelas, kemudian darjah lima barulah dia terpilih menjadi pengawas.


Dalam masa yang sama, pelbagai jawatan juga disandangnya, doktor muda, PRS, bola jaring... Dia menjadi idola kepada adik-adiknya. Masuk kelas pertama dan berjawatan seperti kakak... kakak pengawas yang garang dan... (perasan pula dia nanti).

Sunday 5 March 2017

Sahabat Selamanya... Sentiasa Di Hati (Untuk Classmate 5A3)


 Apakah makna seorang sahabat? Perlukah dia sentiasa ada di sisi atau mereka yang sentiasa mengisi ruang hati. Bagi aku, erti seorang sahabat itu terlalu besar, hadir dalam diri, mencanai sanubari dan kemudian meninggalkan memori yang terus sebati dalam diri. Sahabat bukan bermakna sentiasa ada di depan mata, bukan juga bererti sentiasa bersama sepanjang masa sebaliknya, sahabat adalah mereka yang sentiasa di hati, saling mengingati dengan doa tulus dikirimkan tanpa perlu dimaklumkan pada sesiapa waima empunya diri sekalipun.

Dalam meniti usia dewasa kini, tentunya alam remaja adalah yang terindah apatah lagi bersama para sahabat di alam persekolahan. Sewaktu sekolah menengah, rakan-rakan sekelas menjadi penceria harian, khususnya 5A3. Rasanya aku akrab dengan semua rakan-rakan dalam kelasku, apatah lagi berjawatan ketua tingkatan hasil lantikan dari guru kelas Puan Zabariah. Rakan-rakan pula sentiasa memberi sokongan dan kerjasama.

Saturday 18 February 2017

Afrina Genap Tujuh Tahun...

Afrina genap tujuh tahun. Baginya, usinya ini dia sudah 'besar', bukan lagi kanak-kanak sebaliknya sudah boleh berdikari dalam banyak perkara. Ya, perlu ke sekolah, menyiapkan keperluan diri sendiri dan boleh membuat keputusan sendiri. Memang, perwatakan Nina berbeza dengan kakak dan abangnya. Nina terlalu cerewet, paling mudah jika dikategorikan sebagai 'perfectionist'. Jika sudah hitam pilihannya maka dia tidak akan berganjak menjadi putih kerana itu kehendaknya. Bukan mudah untuk mendekati Nina kerana dia sangat memilih.

Saturday 11 February 2017

Ruang Hujung Minggu Bersama Keluarga

Apakah pengisian untuk hujung minggu? Sejak kebelakangan ini rutin kami berubah, saban minggu keluargaku lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Tentunya ini berbeza sekali dengan tahun-tahun lalu yang acapkali kami keluar rumah, sama ada makan di luar, berjalan-jalan atau apa-apa sahaja aktiviti lain.

Berada di rumah bukan bermakna kami tidak boleh menikmati makanan enak yang terhidang di restoran-restoran mewah atau memenuhi selera kami. Sebutlah sahaja apa-apa makanan yang tergambar difikiran maka tentunya akan dilaksana untuk dinikmati sekeluarga.

Tuesday 31 January 2017

Bapak Di Wad 10B lagi...

Aduhhh... bapak menghuni wad lagi. Memang, keuzuran bapak pasang surut. Sakit perutnya acapkali datang dan kali ini dia meminta hantarkan ke hospital. Memang gastrik yang menyerang. Sungguh, perut bapak terlalu sensitif. Tidak boleh makan lambat, tidak boleh makan banyak, tidak boleh makanan berangin, tidak boleh makanan bercili juga. Seminggu sebelum itu abang Hakim ada membawa bapak ke klinik. Doktor di situ pun maklumkan tentang gastrik. Namun masih berlarutan. Ada yang tak kena.

Tuesday 24 January 2017

Muhasabah Diri Atas Setiap Apa Yang Terjadi - Syukur!

Betapa Allah SWT amat menyayangiku, memanggil aku kembali ke jalannya pada ketika aku alpa. Diberikan aku peringatan dengan ujian-ujian kecil. Diajarnya aku untuk mara ke hadapan dalam berdepan dugaan yang acapkali bila aku fikirkan kemudiannya entah dari mana kekuatan itu aku perolehi.

Allahuakbar.
Betapa saban hari pasti ada sahaja pengajaran untuk memurnikan keimananku pada-Nya.

Allahuakhbar.
Betapa Allah SWT terlalu menyayangiku dalam sedar atau dalam kelalaianku sendiri.

Saturday 14 January 2017

Bunga-bunga Laman Rumah

Laman rumah berbunga-bunga. Beraneka warna menyerikan pandangan mata. Tanaman Mr Hubby menyejukkan suasana, menyerlahkan alam ceria dikala pintu terbuka dengan mata tertumpu ke aneka tanaman yang ada. Daunan menghijau, ada pula ros merah jambu, matahari, orkid merah, kuning, putih dan ungu.  

Saturday 7 January 2017

Selamat Hari Lahir Amira...


Amira genap 12 tahun. Pantasnya masa berlalu, pejam celik.. . pejam celik anak yang dahulunya duduk di atas ribaku sudah memasuki usia remaja. Dengan tubuhnya yang semakin besar dan ketinggian yang sudah jauh melangkauiku.

Perwatakan Amira juga sudah jauh berubah, meninggalkan zaman kanak-kanaknya menjadikan pemikirannya matang melebihi usianya. Dia bukan lagi pendiam sebaliknya cerdas dan sangat tegas, apatah lagi pada adik-adiknya.

Tuesday 3 January 2017

Musim persekolahan 2017, Afrina Darjah Satu

Sesi persekolahan 2017 bermula dengan anak-anak begitu semangat untuk memulakan hari yang baru. Bagi Amira yang bakal menduduki darjah enam, ini adalah tahun terakhir baginya di alam sekolah rendah, nikmatilah sepenuhnya dengan azam yang dia sendiri sematkan. Untuk Ameer, dia lebih tak sabar untuk berjumpa dengan kawan-kawannya. Itulah tujuan dia mahu bersekolah. Dalam usia sembilan tahun, kenakalannya terserlah, banyak mulut, riuh satu rumah dengan suaranya yang gemar bersenda dan mengusik.

Untuk Afrina, pertama kali menjejak alam persekolahan yang sebenar, meninggalkan dunia tadika dan menyertai kakak serta abangnya di SKS1BK.  Amira sesi pagi sementara Nina dan Ameer di sesi petang. Nina lebih kepada rasa risau, bimbang tidak ada kawan-kawan, namun kami yakinkan dia. Amira banyak mainkan peranan untuk adik-adiknya. Kematangannya dalam mengatur Ameer dan Nina sudah terserlah, malah Nina sendiri lebih gemar mendengar celoteh Amira berbanding Ameer yang lebih banyak bercanda.

Sunday 1 January 2017

Tahun Baru 2017

Selamat datang tahun 2017, meninggalkan tahun 2016 sebagai memori. Semalam yang berlalu amat pantas dengan pelbagai cerita suka-duka, perjalanan tanpa terasa namun yang tinggal kemudiannya hanya kenangan pengimbas masa. Betapa, terbuainya kita dalam kerenah perjalanan kemanusiaan, menjadikan rutin harian sebagai penentu dalam kehiduan yang kemudiannya banyak rencana terlerai begitu sahaja.

Mengimbas masa-masa semalam sepanjang 2016, apakah yang telah aku lakukan? Keseluruhan masa dan tumpuanku adalah untuk keluarga, bersama anak-anak yang menuntut perhatian terutamanya si bongsu, Ammar Farish. Alhamdulillah, aku dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada mereka. Ammar Farish dapat penyusuan penuh susu badan, tidak pernah berenggang dengan aku malah aku tidak pernah ke luar kota atas urusan kerja demi anak-anakku kali ini.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers