Tuesday, 31 January 2017

Bapak Di Wad 10B lagi...

Aduhhh... bapak menghuni wad lagi. Memang, keuzuran bapak pasang surut. Sakit perutnya acapkali datang dan kali ini dia meminta hantarkan ke hospital. Memang gastrik yang menyerang. Sungguh, perut bapak terlalu sensitif. Tidak boleh makan lambat, tidak boleh makan banyak, tidak boleh makanan berangin, tidak boleh makanan bercili juga. Seminggu sebelum itu abang Hakim ada membawa bapak ke klinik. Doktor di situ pun maklumkan tentang gastrik. Namun masih berlarutan. Ada yang tak kena.


Abang Hakim juga yang membawa bapak ke hospital, bertemankan Didi, Puteri dan Amira. Bapak bukan hanya mengadu sakit perut tetapi juga sakit dada dan sesak nafas. Pemeriksaan secara rapi dibuat. Memang gastrik bapak bertandang tetapi tidaklah terlalu serius, namun bapak perlukan pemantauan. Barangkali juga bapak tidak tertanggung dengan kesakitan, tidak selesa dengan perubahan.

Dua malam bapak menghuni wad. Tidak ada apa-apa kelainan selain penyakit gastrik bapak yang datang menyerang. Ada pemakanan yang salah percaturan, barangkali kealpaanku yang gagal memahami bapak....

Tentang sakit dada, juga tidak ada yang berkaitan dengan jantung atau hal-hal berkaitannya. Doktor kata sememangnya untuk penyakit gastrik, apabila gas meruap akan menekan permukaan yang menyebabkan dada terasa sakit dan seakan menyucuk-nyucuk.  Tambah pula, usia bapak menjadikan persekitarannya terlalu sensitif, organ dalaman juga semakin kurang fungsinya. Kegagalan sistem penghadaman juga boleh menyumbang kepada gastrik ekoran makanan yang berkumpul tanpa tercerna dengan baik. Lastas bapak dinasihatkan untuk makan makanan yang lembut sahaja, makan bubur tapi bapak lebih suka nasi...

Semoga bapak kuat berdepan pelbagai kesulitan dalam kesihatannya, dan semoga kami anak-anak bapak akan dapat memahami dan melimpahkan kasih sayang dalam erkongsian kehidupan menuju keredhaan-Nya.


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers