Sunday, 28 July 2013

Iftar di Kinrara Golf Club

Terasa Ramadan kali ini amat singkat. Ruang bersama keluarga juga amat terhad. Memasuki fasa terakhir Ramadan dengan hari ini adalah hari ke-19 Ramadan. Inilah hasilnya setelah 15 hari berpuasa di Kuala Besut, maka baki yang tinggal terasa pantas berlalu untuk dimanfaatkan bersama keluarga. Alhamdulillah, semalam dapat juga berbuka puasa dan bersahur bersama-sama bapak dan keluarga di Gombak. Kemudiannya aku dan Mr. Hubby mencari ruang menunaikan janji pada Amira yang menuntut untuk berbuka puasa diluar. Katanya, tema 1Malaysia, Janji Ditepati, jadi setiap apa yang dijanjikan perlulah ditunaikan.

Perancangan dengan Mr. Hubby adalah berbuka puasa di Kinrara Golf Club. Kenapa di sini...? Keutamaan adalah lokasinya yang dekat dengan rumah, menu yang pelbagai dan kelainan daripada lokasi hotel atau restoran yang menjadi kebiasaan dalam majlis berbuka atau makan-makan lainnya. Selain dari harga yang lebih murah daripada hidangan buffet di tempat lain dan harga kanak-kanak pula hanya dikira bagi usia tujuh tahun ke atas.

Anak-anak teruja makanya kami bertolak awal biarpun perjalanan hanya sekitar 5-10 minit dari rumah.
Pukul 6.00 petang kami keluar dari rumah. Sudahnya anak-anak menjelajah persekitaran Kinrara Golf Club ini. Berbuka puasa di kawasan yang dikelilingi saujana menghijau padang rumput. Cuaca petang pula mendamaikan, terasa nyaman dan tenang.

Ruang restoran penuh ditempah. Ada kumpulan tertentu yang menempah untuk majlis buka puasa di sini. Meja makan kami dihadapan. Berdepan pula dengan pentas mini yang disediakan untuk menghibur tetamu. Ada dua pemuda cacat penglihatan yang bermain gitar dan keyboard sambil menyanyikan lagu-lagu merdu. Ada lagu hari raya yang syahdu mendayu... ada juga lagu keroncong dan lagu-lagu puisi beralun. Anak-anak tuirut terpegun melihat bakat golongan buta yang celik mindanya, bijak bermain alat muzik dengan cukup eksklusif di tempat sedemikian. Tentunya, pujian wajar diberikan kepada pengurus Kinrara Golf Resort ini, memberi kepercayaan kepada golongan sedemikian untuk menunjukkan bakat mereka. Alhamdulillah.

Menu makanan pula pelbagai, masakan kampung beraneka rupa. Namun aku akui bahawa ianya tentu kurang menepati selera Mr. Hubby. Walaupun tanpa sebarang komen aku tahu selera Mr. Hubby namun dia bukanlah seorang yang cerewet soal makan apatah lagi untuk membuat penilaian negatif di depan rezeki. Mr. Hubby hanya memilih daging untuk berlawan dengan nasi yang terhidang. Ini berbeza dengan aku yang makan apa saja...hehehe... selera saja menatap juadah. Aku pilih ayam masak hijau, ada siput sedut, ada paru goreng dan ada sayur pucuk paku. Itu semua makanan yang memang Mr. Hubby tak jamah pun.... Amira memilih nasi berlaukkan sambal udang dan kari telor, memang kena dengan seleranya. Kak Hamda memilih ikan patin dan ayam sementara Ameer dan Nina laju menyudu mee goreng. Ameer kemudian menambah dengan nasi goreng kampung. Ada juga bihun sup dan sup bebola ikan. Kemudian Amira menambah dengan kuih muih, donat, karipap, agar-agar dan kole kacang. Ada juga ayam dan kambing bakar tapi tak menang tangan dek kerana tetamu lain dah berduyun beratur.

Cepat sahaja hidangan yang tersaji licin termasuklah rojak buah dan pecal pun. Murahnya rezeki kita yang dikurniakan makanan melimpah ruah, ramai pula yang berkemampuan dan dapat berbuka bersama-sama dalam suasana aman sejahtera. Syukur, Ramadan ini memberi keakraban kepada kami sekeluarga dan inilah kali pertama dalam Ramadan tahun ini berbuka puasa lengkap dalam keluarga. Saat ini amat aku hargai... Alhamdulillah.






No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers