Kami sampai ke tempat penginapan di Whale Sleep Hotel hampir menjangkau pukul 4.00 petang. Suasana tenang, bilik yang bersih dan amat selesa untuk kami sekeluarga. Perancangan untuk esok dibuat iaitu kami akan menjelajah empat buah pulau sebagaiman pakej yang disediakan oleh pihak hotel. Untuk malam ini pula, kami merancang ke Phuket sekitar pukul 7.00 malam.
Cuma tiga kereta sahaja yang pergi, keluarga kami bergabung dengan keluarga Madi. Nash dan adik-adiknya sementara emaknya tidak turut serta. Kiranya, perjalanan ini seakan main redah sahaja lantaran kami semua kali pertama ke sana. Hanya berpandukan kepada 'waze' yang diguna oleh Mr. Hubby. Perjalanan lebih dua jam setengah dengan melalui ladang getah dan jalan yang bengkang bengkok yang kebanyakannya tanpa lampu jalan. Kami sampai juga ke Phuket tetapi kerana lelah dan rasa lapar, kami mengambil keputusan untuk mencari restoran makanan halal. Namun yang banyak adalah kedai makan tempatan selain kelab-kelab hiburan. Dengan keadaan yang letih dan lapar, tiba-tiba waze gagal berfungsi dengan baik mengakibatkan jalan yang kami lalui tersasar entah ke mana. Sudahnya, kami melalui jalan yang berbukit bukau, memang di tepi laut, pandangan yang gemerlap dengan lampu-lampu sudah tidak terasa indah lagi. Ada juga rasa ngeri, ada juga takut lantaran di tempat orang, melewati tengah malam, bawa pula kanak-kanak yang ramai. Apa-apa pun minyak perlu diisi dahulu. Nilai harganya yang amat jauh berbeza dengan di tanah air sendiri sudah tidak terfikirkan asal sahaja dapat sampai ke tempat penginapan. Bayangkan, perjalanan yang sepatutnya hanya dua jam telah menjangkau kepada empat jam dan pukul dua pagi barulah kami selamat sampai ke hotel, tanpa makan malam pun... Alhamdulillah. Tapi inilah pengalaman....
Hari kedua, lebih teratur. Segalanya mengikut pakej yang disediakan oleh pihak hotel. Selesai bersarapan, pukul 9.00 pagi kenderaan yang akan membawa kami ke pantai tiba. Layaknya aku panggil sahaja lori tetapi diubahsuai untuk dijadikan tempat duduk dengan jumlah penumpang yang ramai. Kami dalam satu kumpulan bersama dengan sekeluarga pelancong dari Denmark dalam bot kami dengan ditanda stiker berwarna merah. Angin kencang, ombak kuat dan bot ibarat berlawan dengan ombak dilautan. Ada rasa takut. Tiga empat orang dari kumpulan kami yang mula mabuk dan muntah-muntah. Tak tahan dek dilambung ombak. Adakalanya, terasa bagaikan dihempas, dihentak dan dihayun tinggi. Namun bagi kanak-kanak pula, mereka tidak berdepan sebarang masalah, seakan tiada ketakutan malah nampak sangat santai menikmati pemandangan yang sememangnya sangat indah. Ibarat hamparan lukisan di hadapan mata. Melihat lautan, seakan meninjau dasar laut, dengan ikan-ikan pelbagai warna berenang-renang.
Empat buah pulau dijelajah yang jauhnya pulau pertama sekitar 40 minit. Dari Maya Bay, ke Monkey Bay, Bamboo Island dan kemudiannya ke Phi Phi Don. Kami di bawa meninjau ke Viking Cave, Pileh Bay, Lohsamah Bay dan Runtee Bay untuk menikmati pemandangan yang indah. Keindahan di Maya Bay telah diabadikan dalam filem 'The Beach' lakonan Lionardo D'Caprio. Juga menjadi lokasi filem 'James Bond'. Pasirnya putih bersih, halus dan sejuk biarpun disinari matahari. Lautnya juga sangat menarik, mendamaikan dengan warna kebiruan dan kehijauan. Jarak antara sebuah pulau dengan sebuah pula tidak jauh, sekitar 10-15 minit perjalanan. Singgah 30 minit, 40 minit dan yang terakhir menikmati makan tengahari di Phi Phi Don dengan masa paling lama iaitu dua jam. Alhamdulillah, makanan yang disediakan juga dari orang Islam, termasuklah pemandu pelancong kami sendiri. Di Phi Phi Don, ada ramai orang Islam, malah makanan kami sepenuhnya diselia dan disediakan oleh gadis-gadis manis bertudung litup iabarat di negara sendiri. Apatah lagi menunya adalah tom yam dan ayam goreng, sayur campur dan bihun goreng dengan dewan makan luas berserta pelbagai kemudahan disediakan untuk kesemua pelancong yang mengikuti pakej tersebut dengan agensi pelancongan terbabit. Rasa syukur, rezeki untuk masyarakat Islam di Thailand mencari nafkah.
Dengan pakej berjumlah RM130 dewasa dan RM80 kanak-kanak rasanya amat berbaloi kerana
penjelajahan hari ini bermula dari 9.00 pagi hinggalah ke 4.30 petang dengan pelbagai kemudahan disediakan termasuklah makanan, minuman dan pengangkutan pergi dan balik ke hotel. Perjalanan dari hotel ke pantai hanya sekitar 20 minit yang melalui kawasan kampung, ibarat berada di tanah air sendiri apabila menikmati pemandangan rumah-rumah kampung, dengan beberapa masjid kelihatan selain wanita yang bertudung dan lelaki berkopiah. Inilah perkampungan Islam yang masih memelihara nilai-nilai agama biarpun tempatnya dikunjungi pelancong seantero dunia - yang pakaian mereka juga amat menjolok mata.
Waktu malam kami berkunjung ke pasar malam di Bandar Krabi. Sebelumnya kami menikmati makan malam di Restoren Abdullah, sebuah restoren Muslim di tengah bandar Krabi, ada pula roti canai...aduhaiiii... Sudahnya kami lewat ke pasar malam dan kami tiba di kala para peniaga mula mahu menutup jualan. Tiada apa pun yang nak dicari selain cenderahati kenang-kenangan untuk anak-anak buah di kampung dan di KL. Pasar malam ini ibarat Petaling Street namun bezanya di sini tutup awal, pukul 10.00 malam mereka sudah mula berkemas.
Hari ketiga, kami check-out pukul 11.00 pagi. Bertolak ke Hatyai. Sepanjang jalan, ada banyak sekatan jalan yang dibuat oleh polis Thai. Tentunya ini adalah tindakan drastik yang dibuat selepas keganasan yang berlaku di Danok. Ada letupan bom di tiga tempat semasa kami Krabi. Biarpun berlaku kekacauan dengan ada tunjuk perasaan baju merah di Bangkok namun di Krabi suasananya cukup tenang dan aman. Langsung tidak ada tempias kekacauan di sini.
Ini berbeza dengan Hatyai yang kami lalu. Sekatan jalan melepasi Krabi untuk sampai ke Hatyai ada tiga. Polis peronda bertuigas di setiap laluan di bandar Hatyai. Setiap sudut ada polis yang lengkap dengan senjata. Langkah berjaga-jaga bimbangkang kesejahteraan rakyat tergugat. Kami hanya meronda di sekitar Lee Garden Hotel, tanpa membeli apa-apa. Makan pulut mangga, udang dan ayam goreng. Pukul 9.00 malam kami bertolak pulang menuju ke sempadan. Sekatan polis masih di mana-mana. Pekan Danok yang kami lalui sunyi sepi. Imegresen di sempadan juga lengang. Perjalanan pulang lancar. Hati terasa lega. Hampir tengah malam kami selamat tiba di kampung Mr. Hubby.Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment