Monday, 3 February 2014

Bercuti - Bandar Bersejarah Melaka

Sempena cuti tahun baru Cina, kami bercuti lagi. Kali ini percutian amat berbeza berbanding sebelum ini. Tiada perancangan untuk ke tepian laut sebaliknya kami berkunjung ke kota bersejarah, Negeri Melaka. Sambil bercuti kami memberi pengisian berkaitan masa lampau kepada anak-anak. Seringkali kami mendengar rungutan susahnya belajar sejarah namun aku pasti ianya boleh dipupuk dari kecil, memberitahu apa yang berlaku dan tentunya mereka sendiri mahu menyelami sebab dan akibat akhirnya Melaka tidak bersultan biarpun sebelum ini gemilang dengan era kesultanannya.

Kami bergerak pagi, tanpa ada gesaan sebaliknya dengan tenang dan santai. Seramai 21 orang kesemuanya dengan 11 dewasa dan 10 orang kanak-kanak bawah 12 tahun. Tentunya aku dan Mr. Hubby telah membuat perancangan tempat tujuan kami. Bermula dengan Zoo Melaka yang membuatkan anak-anak teruja untuk melihat haiwan rimba di depan mata. Kemudian kami terus ke tempat penginapan yang telah di tempah di berhampiran Kota Melaka. Selesa tempatnya dengan kolam renang menggamit anak-anak untuk berendam di dalamnya. Lebih menarik, kolam ini dibuka sehingga ke pukul 10 malam.

Waktu malam kami bersantai di Dataran Pahlawan, merasai menaiki beca yang sarat dengan hiasan siap dengan audio untuk halwa telinga pengunjung. Dengan bayaran RM25 satu beca kami dibawa berkeliling di kawasan sekitar, namun tidak cukup rasanya dengan hanya sekitar 15 minit. Anak-anak lebih teruja dan aku lebih suka bergambar. Menara Taming Sari tidak kami naik lantaran ramainya paengunjung yang beratur selain pilihan lain yang kami lakukan. Kami berjalan di kawasan sekitar yang banyak menyediakan tempat menarik untuk bergambar dan dijelajah. Suasana waktu malam Negeri Melaka memang meriah dan akhir sekali kami duduk bersahaja di taman.

Hari kedua bermula dengan kami menaiki cruse di Sungai Melaka. Bayaran RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak dirasakan lebih berbaloi berbanding menaiki beca semalamnya. Kemudian kami berjalan menyusur Sungai Melaka, melihat kincir angin, ke muzium kastam namun malangnya muzium maritim yang gah dengan nakhodanya tidak dapat kami masuki kerana ketika itu berlaku gangguan elektrik. Kami terus ke Kota A Famosa dan melayani muzium indah Istana Kesultanan Melaka.

Dalam teriknya panas matahari yang menyengat dan ramainya pelancong yang berkunjung ke Melaka, kami masih tertawan. Mujur juga cuaca kering dan panas ini masih dimesrai dengan tiupan angin yang menyamankan suasana. Biarpun panas dan letih namun secara keseluruhannya amat teruja.
tradisi, nasi daun pisang...

Bekalan makan tengahari yang dibawa akhirnya dibawa kembali ke tempat penginapan selepas kami putuskan untuk balik sahaja lantaran anak-anak kecil sudah mula meragam apabila lelah terasa. Rasanya menjelajah sedari pukul 10.00 pagi hingga pukul 4.00 petang amat berbaloi.

Waktu malam, aku dan Mr Hubby bersama Meah, Ima, Syafik, Radzi dan Didi berkunjung pula ke up-town di tengah Kota Melaka. Tanpa anak-anak yang dijaga oleh abang Hakim tentunya perjalanan kami lebih lancar. Sekadar mencuci mata kerana aku tidak mempunyai perancangan untuk membeli apa-apa cenderamata pun. Sebagai kenang-kenangan Mr. Hubby beli fridge magnet dan kami beli sehelai seorang t-shirt Melaka.

Hari terakhir pula, selepas sepagian bermandi-manda di kolam renang, kami berkunjung ke Taman Buaya. Sebelumnya kami merasa menaiki kereta lembu, dan lebih menarik apabila bapak pula yang amat teruja untuk menaikinya. Kemudian kami menghabiskan masa santai berada di Taman Buaya sebelum berhenti di Hentian Rehat, membuka bekalan makan tengahari dan melepaskan lelah yang ada.

Inilah percutian kami yang dirancang dalam masa yang singkat. Insya-Allah, lain kali kami akan bercuti lagi namun lokasinya masih tak pasti. 
























































No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers