Amira perlu menelan ubat lima biji sekali makan untuk empat kali sehari, maknanya 20 biji untuk satu hari.


Biarpun berada di rumah namun Amira perlu fokus pada pelajarannya kerana bimbang ketinggalan dengan rakan-rakan sekelasnya. Alhamdulillah Amira memahaminya dan abang Hakim banyak membantu dalam memberikan bimbingan untuk matematik Amira. Saban Sabtu abang Hakim datang dan dari pagi hinggalah malam dia melayani anak-anakku, bersama dengan anak-anaknya juga.

Lebih dari itu, cuaca kini tidak menentu. Keadaan panas dan kering dengan hujan tiada langsung. Anak-anak perlu minum air kosong dalam jumlah yang banyak, khususnya Amira yang mudah terdedah kepada penyakit. Ameer dan Nina tidak sukar untuk minum air suam, lebih mudah berbanding Amira. Mudah juga untuk mereka menerima apa sahaja makanan yang dihidang berbanding Amira yang memilih. Tidak rumit menunya tetapi cerewet. Sejak sakitnya dari awal Februari lalu, dia kurang hingga hampir empat kilogram. Sikapnya tidak terbuka seperti Ameer yang mudah meluah apa-apa sahaja, tetapi cenderung untuk meminta penjelasan.
Aku sendiri langsung tidak ada aktiviti di luar rumah lantaran cahaya matahari yang menyengat malah dikatakan ada hari-hari tertentu bacaannya mencecah hingga 40c. Jika aku sendiri tidak tertahan bagaimana dengan mereka yang terpaksa mengharung kepanasan matahari dalam kerja seharian. Terbayang buruh kasar, petani, nelayan, peladang, ahli sukan malah pasukan beruniform seperti polis trafik, bomba dan lain-lain lagi yang terpaksa berpanas terik, bermandi peluh demi kelangsungan hidup, demi nafkah keluarga, demi keselamatan dan kesejahteraan orang lain. Bersyukurlah... dalam apa juga yang dilakukan, pemberian Allah SWT adalah yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah...
No comments:
Post a Comment