Terkesan hati mendengar cerita seorang teman, betapa berlikunya laluan hidup untuk direntasinya namun semangatnya tidak luntur. Katanya, Allah SWT ada bersamanya. segala yang berlaku atas izin-Nya biarpun kepahitan yang terhidang namun tetap ditelannya jua. Sang Suami yang dikenali sejak puluhan tahun dan telah 18 tahun berkongsi kasih membuangnya bersama tiga orang anak yang masih kecil. Katanya, tiada apa yang diharapkan dalam sebuah perkahwinan selain kebahagiaan dan perhatian dari suami, syurga bagi seorang isteri namun apa pilihan yang ada jika kasih suami berubah dan beralih cinta kepada yang lain. Katanya, dia tidak kuat berdepan saat itu tetapi Allah memberinya semangat, dia tidak berdaya tetapi Allah memberinya keberkatan, dia sentiasa bersedih namun Allah memberinya ketenangan acapkali dia persembahkan diri pada-Nya, bangkit di tengah malam dan mohon yang terbaik dari-Nya.
Betapa luluh hati ini apabila mendengar ceritanya. Hampir tiga jam kami berbual di talian yang kebanyakannya mengimbas keperitan yang dirasainya, namun tiada keluhan. Kesyukuran dipanjatkan kerana katanya, anak-anak sentiasa bersama malah dia mempunyai ruang waktu yang sempurna untuk diri sendiri dan pada-Nya tanpa memikirkan soal tanggungjawab pada suami. Dalam berdepan segala kesulitan, dia menjadi kental untuk bangun dan meneruskan langkah apatah lagi menggalas amanah untuk tiga orang puteri tersayang.
Dia redha, katanya, Allah memilihnya berdepan dugaan ini untuk menyedarkannya kerana selama ini kasihnya hanya tertumpu pada lelaki yang bergelar suami, mendambakannya dan mengharapkannya sebagai tempat bergantung sedangkan Allah SWT adalah segala-galanya. Dia bersyukur atas apa yang berlaku kerana ujian yang datang menjadikannya lebih dekat kepada Allah SWT. Benar, katanya, kita perlu lakukan apa-pasa sahaja atas nama Allah sekalipun kita menyayangi makhluk sesama manusia kerana kasih antara kita tidak akan kekal sebaliknya kasih kepada Allah akan abadi dan mampu membawa kita ke syurga. Sebagai insan, kita acapkali keterlaluan bergantung kepada insan lain sehinggakan seolah-olah seluruh kehidupan kita hanya untuk dia dan apabila Allah datangkan ujian sebagaimana kasih suami menjauh, membuang isteri yang selama ini jadi teman penghibur jauh-jauh maka kemana harus diadukan jika tidak kembali kepada Allah. Maka letakkanlah Allah SWT atas segala-galanya, kebahagian, kesakitan, rezeki malah ajal maut sekalipun hanya kerana Allah. Allahuakhbar!!!
Dia tidak akan alah, tiada cacian untuk bekas suaminya malah tiada juga kata-kata nista untuk wanita yang telah merampas cintanya, menolak bermadu sedangkan dia yang merosakkan rumahtangga orang lain. Sebaliknya dia mendoakan bekas suaminya agar bahagia dengan wanita itu dan didekatkan kepada Allah serta dapat menjadi pembimbing kepada isteri barunya. Katanya, memang ada kesilapan dan kesakitan tapi Allah mengizinkan semua ini berlaku. Katanya, lelaki itu masih lagi bapa kepada anak-anaknya dan dia tidak mahu anak-anaknya mendengar cacian atau keburukan kerana berbapakan insan yang telah melakukan kesilapan. Biarlah lelaki itu dengan pilihannya sendiri dan dia enggan beralah pada suratan yang Allah berikan. Apa jua yang datang padanya kelak akan ditempuhnya dengan sabar....
Bukan itu sahaja, kekuatan yang diperlukannya juga berlipat ganda apabila dia perlu berdepan dengan masyarakat yang berpandangan tipikal. Status janda yang dipikulnya seakan satu hukuman dalam budaya bangsa Melayu. Walaupun kemodenan menyelimuti namun mentaliti masih ketinggalan dengan melihat status terbabit sebagai kesilapan dari seorang wanita tanpa mereka ketahui punca sebenar. Pemikiran negatif masih ada biarpun taraf hidup berubah dan tingkat hidup telah berada lebih tinggi dari dulu. Barangkali itu lumrah....
Benar katanya, kita akan leka dengan apa yang kita miliki malah menganggap bahawa pasangan kita segala-galanya hinggakan kita tidak sempurna laksanakan ibadah apabila mengadapnya. Letakkan hati dan segala apa yang kita lakukan kerana Allah SWT, bukan kerana insan dicinta atau apa-apa yang bersifat duniawi. Allah segala-galanya, merancang dan mengetahui apa yang terbaik untuk kita semalam, hari ini dan hari esok. Sudah tertulis segala-galanya dan kita sebagai insan kerdil perlu redha menerimanya tanpa mempersoalkan kenapa kita dapat musibah atau kesusahan sedemikian.
Sebagai sahabat apalah yang mampu aku katakan sedangkan dia telah menghadapi segalanya... dia telah melalui keperitan itu, dia telah bermandi air mata dengan segala keluh kesah dipersembahkan kepada-Nya. Semoga sahabatku ini akan terus dikurniakan jiwa murni, memiliki semangat waja dan menjadi kuat dalam berdepan dugaan mendatang.
No comments:
Post a Comment