Cuti persekolahan datang lagi, kali ini percutian kami sekeluarga adalah ke Langkawi sebagaimana yang telah direncana Mr Hubby. Kami pulang ke kampung dua hari lebih awal dari tarikh untuk ke Langkawi. Kemudiannya kami berkumpul di Jeti Kuala Kedah bersama-sama rakan-rakan sekolah Mr Hubby. Sememangnya perancangan Mr Hubby dan rakan-rakan sekolahnya telah dibuat sejak setahun yang lalu. Bukan sahaja tarikh malah duit pun dikumpul secara ansuran agar tidak terbeban kepada mana-mana ahli keluarga. Percutian selama tiga hari dua malam berlangsung lancar biarpun padat. Ini ditambah pula dengan pakej yang menarik, sebuah bas dan pemandu pelancong melengkapkan percutian kami seramai hampir 30 orang.
Kami bertolak awal pagi ke Jeti Kuala Kedah, berkumpul pukul 7.30 a.m dan menaiki feri pertama menuju ke Pulau Langkawi. Ini dibuat sebagai alternatif untuk memastikan tidak banyak masa terbuang dan kami dapat melawat lebih banyak tempat-tempat yang menarik di Langkawi. Lokasi yang dituju terancang malah siap dengan tentatif program bagi memudahkan rujukan dibuat.
1. Delta Motel, Pantai Cenang
Kami menginap di Delta Motel iaitu dikawasan pelancongan di Pantai Cenang. Biliknya mengadap laut luas yang amat sesuai dengan anak-anak untuk bermain pepasir halus dan mandi laut. Ini bukan kali pertama menginap di sini kerana sebelum ini, kami sekeluarga pernah bermalam di sini, tapi sekitar lima tahun yang lalu. Biliknya, okeylahhh... tapi persekitarannya memang menarik. Lebih-lebih lagi kemudahan pelbagai tempat makan dan barangan keperluan lain di sini.
2. Kilang Gamat - Sireh Maju Lagenda
Di sini menempatkan pelbagai hasil keluaran dari gamat yang sememangnya terkenal sebagai antara produk keluaran dari Pulau Langkawi. Ada juga pelbagai akar kayu untuk tatapan dan juga hasilnya untuk dibeli sebagai buah tangan. Lebih menarik ada diterangkan bagaimana cara pemprosesan minyak gamat dilakukan, bermula dari hasil laut yang kemudiannya dimasak dalam tempoh yang panjang sehinggalah menghasilkan minyak yang banyak menyumbang kepada terapi kesihatan. Untuk aku, cukuplah membeli dua dozen botol minyak gamat sebagai ole-ole.
3. Under Water World
Kami ke Under Water World hanya berjalan kaki dari tempat penginapan. Memang sangat dekat, cuma bersebelah sahaja. Ini bukan kali pertama kami ke sini kerana tahun 2010 telah pun menjejakinya. Tiket untuk masuk ke sini ialah RM30 bagi dewasa. Di dalamnya menempatkan pelbagai hidupan dalam air dan tentunya yang menarik ialah spesis peguin Afrika yang sangat comel, gemuk pendek dan jalan terkedek-kedek. Menariknya peguin ini amat setia pada pasangannya dan hanya akan ada satu pasangan sahaja sepanjang hidupnya malah akan murung sekiranya pasangannya mati atau terpisah. Tarikan lain ialah spesis monyet paling kecil didunia yang disebut marmoset.
4. Cabel Car
Kereta Kabel yang terletak di puncak Gunung Mat Chincang setinggi 713 meter. Sayup mata memandang panorama di sekitarnya. Kami tiba sekitar pukul 10.00 pagi. Pelancong masih belum ramai, lagi pula baru lepas hujan. Persekitaran sekeliling masih berkabus, cuaca nyaman dengan bayu gunung yang sejuk menyapa. Gondola yang membawa kami bergerak perlahan, anak-anak rasa takut sementara aku lebih rasa teruja. Ada titian gantung di puncaknya yang pernah menjadi lokasi pengambaran filem Don lakonan Shah Rukh Khan. Tentunya peluang berada di puncak gunung ini tidak dilepaskan dengan pelbagai aksi bergambar dibuat.
5. Kilim Geoforest Park
Kawasan ini telah mendapat pengiktirafan sebagai tapak Geopak dari UNESCO dan merupakan tapak pertama di Asia Tenggara. Persekitarannya amat cantik dengan alam semulajadi yang sentiasa dipelihara. Kami dibawa menaiki bot. Dua bot membawa rombongan kami dari jeti Kampung Kilim. Bot menyusuri persekitarannya. Antara aktiviti menarik ialah:
i. menikmati pemandangan Laut Andaman yang membolehkan kami melihat persisiran pantai Thailand. Laut jernih hijau kebiruan dengan cuaca cerah amat menarik.
ii. ada aktiviti melihat burung helang makan yang mana kulit ayam akan ditaburkan dipermukaan air dan Sang Helang dengan tangkas dan gagah menyambarnya. Pelbagai spesis helang dapat dilihat, ada yang berjambul putih, berkepak hitam, warta coklat kelabu dan macam-macam lagi.
iii. ada ternakan ikan dalam sangkar yang dibina di sini dan menjadi lokasi tumpuan pelancong khususnya untuk memberi ikan makan. Lebih menarik apabila dapat 'beramah mesra' dengan ikan pari yang jinak dan timbul dipermukaan air apabila dipanggil. Ada juga 'ikan sumpit' iaitu ikan-ikan kecil yang mendapatkan makanan dengan cara menyumpit air terhadap makanan terbabit agar dapat jatuh di permukaan untuk dimakannya.
iv. Guar Kelawar
Kami di bawa berkunjung ke gua yang mana terdapat banyak kelawar-kelawar menghuni di dalamnya. Kami dlarang membuat bising dan menggunakan cahaya sepanjang berada di laluan gua tersebut kerana dibimbangi akan mengganggu kelawar-kelawar yang menghuni di dalamnya. Ada batuan stalagtit dan stalagmit yang masih hidup di dalam gua tersebut dan ada juga yang telah mati kerana kelalaian manusia yang selalunya tamak sehingga mengganggu ekosistemnya.
6. Island Hoping
Hari terakhir di Langkawi kami berbot untuk melawat dua pulau iaitu Pulau Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah. Hujan renyai di awal pagi tidak membantutkan perancangan kami malah semuanya berlangsung lancar. Dua buah bot membawa kami semua.
i. Pulau Dayang Bunting
Nama pulau ini diambil dari mitos lagenda yang kononnya pulau ini menyerupai dayang bernama Mambang Sari. Dalam perjalanan ke pulau ini akan kelihatanlah bentuknya yang menyerupai wanita hamil sedang berbaring dengan bentuk badan dari kepala, dada, perut dan kaki yang melunjur. Di tengah-tengah Pulau Dayang Bunting ini ada tasik air tawar yang luas. Dikatakan mana-mana perempuan yang sukar hamil bolehlah datang berendam di tasik tersebut agar mendapat zuriat. Untuk sampai di tasik tersebut perlu mendaki laluan bertangga yang tinggi, namun aku dapat juga sampai biarpun dalam keadaan berbadan dua. Sudah alang-alang menjejak kaki ke Pulau ini maka rugilah kalau tak merasa sejuk airnya. Ada pelantar untuk memudahkan orang ramai mandi manda dengan kadar kedalaman yang berbeza antara kanak-kanak dan orang dewasa.
Kami berada di pulau ini hanya sekitar satu jam sahaja. Dapat melihat panorama indah dan merasa dinginnya kawasan peranginan di sini sudah cukup memuaskan.
ii. Pulau Beras Basah
Kami berpiknik di Pualu Beras Basah. Masa dua jam di Pualu ini dihabiskan dengan anak-anak bermain pasir dan mandi di pantai sementara bagi kaum ibu pula bersembang ditepian sahaja. Kami tidak melepaskan peluang bergambar beramai-ramai di pulau ini sebagai kenangan yang bakal menjadi nostalgia kepada kedatangan kami di sini.
No comments:
Post a Comment