Saturday, 6 June 2015

Pak dah makin uzur...


Pak... bapa mertua yang menghuni tanah kelahiran di Kg Mempelam semakin uzur. Sejak bulan April lalu pak dah terbaring ekoran kesihatan yang semakin menyusut. Beberapa hari di hospital kemudiannya kembali ke rumah dengan keadaan yang tidak berubah. Barangkali usia pak yang telah lanjut menjadi penyebab dengan kesakitan di saraf dan sendi-sendi akibat gout.

Pulang ke kampung kali ini amat terasa kelainannya. Melihat pak yang terlantar amat menghibakan... bagaimana lagi hati anak-anak pak yang ramai, juga Mr Hubby yang jauh beratus-ratus kilometer. Memang sejak pak sakit, mood Mr Hubby ke laut...hehehe, namun aku memahaminya. Anak manakah yang tidak akan gundah gulana apabila orang tersayang terlantar sakit sebagaimana pak.

Sememangnya sepanjang aku mengenali pak, amat jarang aku melihat pak terlantar sakit sedemikian, dalam tempoh yang panjang pula tu. Sebelum ini sakitnya pak semasa Syawal 2013 namun kemudiannya pak kembali sihat dan bertenaga.

Pak seorang yang sangat rajin, jarang benar nampak pak duduk diam tanpa berkemas. Selama aku mengenalinya, pak akan bangkit sebelum azan subuh berkumandang. Bersiap-siap menunggu laungan azan dan kemudian menunaikan solat, selepas itu mengaji sehinggalah cuaca cerah. Tak habis di situ, pak akan membersihkan sekeliling rumah, habis daun-daun kering yang bertaburan semuanya disapunya, rumput-rumput liar dicabut, sampah sarap dikutip dan di bakar. Pelbagai pokok yang pak tanam sendiri disiram, ada pokok bunga dan daunan herba. Pak kata kalau kita tak makan tapi orang lain makan pun kita akan dapat pahala. Ayam itik pak beri makan, ada juga beberapa ekor kucing pak bela dan pak tak pernah lupa memberinya makan.

Tak habis di luar rumah, di dalam rumah pun begitu juga. Pak tak suka tengok rumah bersepah. Pak tak mahu ada pinggan mangkuk dalam sinki, periuk belanga yang kotor dan kain baju yang berselerak. Semuanya pak akan bersihkan. Pak akan kemaskan rumah yang bersepah, pinggan mangkuk pak akan cuci tanpa banyak bicara. Pak tak pernah duduk diam. Makan pak juga amat mudah. Waktu pagi cukuplah ada air kopi+milo dan kuih sahaja, makan nasi pula kalau ada ikan pekasam atau ikan goreng dan sayur pun sudah memadai, barangkali Mr Hubby mengikut pak?

Layanan pak juga pada anak menantu sangat-sangat diambil berat. Aku sendiri merasai kasihnya tiap kali pulang ke desa, betapa pak menitikberatkan tempat tidurku, makan minumku ditanya, juga anak-anak akan diperhatinya.

Dalam keuzuran atas usianya yang telah lanjut - entah berapa... telah melebih usia 80, barangkali menjangkau 90 dan lewat 80-an - semoga dipermudahkan segala kesulitan, diringankan apa-apa yang berat sementara bagi anak-anak pula semoga kesempatan yang ada akan dijadikan ruang untuk terus berbakti.



bersama Ameer - 2008


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers