Thursday, 30 September 2010

Karya Agung - Seorang Tua Di Kaki Gunung

1.0 PENGENALAN - Seorang Tua Di Kaki Gunung

Karya sastera yang hebat mampu menjadi cermin kepada identiti dan kebudayaan sesebuah masyarakat malah ada yang mampu mengangkat bangsanya menjadi bangsa terkenal di peringkat antarabangsa. Karya yang hebat boleh dianggap hebat apabila diperbincangkan dan menjadi polemik dalam pelbagai bidang sama ada mencakupi dunia sastera itu sentiri atau merentas tema yang dipersembahkan sehingga boleh menghasilkan satu idea baru.



Sesungguhnya amat kurang buku-buku bermutu yang mampu menjadi cermin kepada masyarakat dalam sesebuah negara apatah lagi untuk dilukiskan dalam bentuk karya kreatif. Cuba lihat pula lambakan pasaran buku hari ini. Penerbit buku kini lebih ghairah menerbitkan buku-buku yang bertemakan cinta dengan jalan cerita picisan. Kesannya, adakah tidak terlihat bagaimana perlakuan anak bangsa sekarang ini, walaupun secara tidak langsung masih ada juga segelintir yang masih terpelihara. Jadi, tidak cukupkah kita hanya berhibur, berhibur dan berhibur hingga tiada suatu pun yang kita tinggalkan untuk ruang berfikir ataupun ruang  penafsiran sebagai warisan untuk dipusakai oleh anak bangsa.
 

Sastera pula bukan sekadar buku cerita, bukan sekadar puisi atau bukan sekadar naskah murahan yang dilahirkan oleh insan bergelandangan. Karya sastera yang agung sesungguhnya mampu memperlihatkan bukti luas mengenai akar-akar dalam tradisi budaya atau sejarah budaya dari komuniti. 

Karya agung ini akan berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa.  Karya ini dianggap warisan bangsa dalam erti kata bahawa ia mewakili ‘minda’ dan pengalaman bersama bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi ilmu, adat, bahasa, seni, dan pekerti budaya dan sosial yang membentuk citra identiti ketamadunan bangsa itu.


2.1 KARYA : Azizi Haji Abdullah
Cetakan Pertama: 1982
Novel yang memenangi tempat kedua dalam sayembara Hadiah Novel GAPENA-Yayasan Sabah II 1981.
  Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
  Halaman: 165 hlm.
  Jumlah bab: 16
  Cetakan:    Pertama 1982
                  Kedua             1984
                  Ketiga             1984
      Keempat         1986

2.2 PENULIS
Azizi Abdullah adalah penulis prolifik tanah air yang konsisten sejak dari zaman remajanya. Beliau dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah pada 4 April 1942. Beliau pernah dilabelkan sebagai penulis sayembara berikutan kejayaan beliau yang cenderung memenangi anugerah dalam beberapa pertandingan menulis secara berturut-turut.

Azizi berkhidmat sebagai guru agama dari 1966 hingga 1997 sebelum menjawat Ketua Editor Utusan Pengguna (CAP) Pulau Pinang. Beliau mula terbabit dalam dunia penulisan sejak 1963 apabila rencana pertamanya mengenai buruk baik wanita bermain bola sepak disiarkan dalam Warta Negara, Pulau Pinang. Beliau juga sering menggunakan nama-nama samaran seperti Jarnong, Qalam Adly, Arita, Shahrul Manjarisyah dan Tukya iaitu nama watak utama dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung.

Sehingga kini Azizi telah menghasilkan lebih 200 cerpen, 30 novel, beberapa antologi puisi, artikel drama radio dan tv. Beliau juga begitu prolifik menghasilkan dalam penulisan rencana selain menjadi kolumnis di beberapa buah majalah dan akhbar. Azizi telah menerima anugerah Ahli Mangku Negara dan penerima S.E.A Write Award dari kerajaan Thailand pada tahun 1988. Novel satira Kawin-Kawin telah berjaya merangkul tempat pertama Hadiah Sako (2001) setelah menduduki tempat ketiga dengan novel Wi & William pada tahun 1995.

Kebolehan yang tidak boleh dinafikan, Azizi sangat sensitif terhadap masalah sosial dan kecenderungan bahasa, selalu meluahkan emosi dalam penulisannya dan ia disampaikan dalam bentuk bahasa mudah tetapi sopan untuk difahami. Beliau tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan berundur dalam dunia penulisan meskipun usianya semakin bertambah.

Sebagai penulis, Azizi tidak pernah mengalah dengan peredaran masa malah beliau adalah antara penulis yang mengikuti perkembangan dunia penulisan dalam dunia siber. Terkini, Azizi turut bergelar blogger apabila aktif dalam lamannya iaitu http://aziziabdullah.blogspot.com/. Setiap perkembangan beliau ditulis dalam blog tersebut seakan ia sebuah diari bergambar seorang seniman.

 

2.3 NOVEL-NOVEL KARYA AZIZI HAJI ABDULLAH
Garis Lintang Anak Haram. Kuala Lumpur : Pustaka Sari, 1968.
Senja Belum Berakhir. Singapura : Pustaka Nasional, 1971.
Bila Hujan Malam. Kuala Lumpur : Amir Enterprise, 1976.
Sami Mekong. Kuala Lumpur : Penerbitan Utusan Melayu, 1976.
Tini. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor, 1977.
Ayah Bonda. Kuala Lumpur : Pustaka Sistem Pelajaran, 1978.
Di Kolam Mulhamah. Kuala Lumpur : Garis Cinta Books, 1978.
Gadis Itu Bernama Ina. Petaling Jaya : Karya Pub. House, 1978.
Seorang Tua di Kaki Gunung. Kuala Lumpur : DBP, 1982.
Debu Takdir. Subang Jaya : Tra-Tra Publishing, 1982.
Dee. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1987.
Melukut Kota. Kuala Lumpur : Penerbitan Azam , 1987.
Asyraq. Kuala Lumpur : Penerbitan Azam , 1987.
Juak. Kuala Lumpur : DBP, 1989.
Yang Merusuh. Kuala Lumpur : Penerbitan Kintan, 1991.
Tukcai. Petaling Jaya : Fajar Bakti, 1991.
Menebus Maruah. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1991.
Beruk. Kuala Lumpur : Penerbitan Kintan, 1991.
Anak Kampung Kuala Raga. Kuala Lumpur: DBP, 1991.
Anak Belantara Tropika. Shah Alam : Marwilis, 1992.
Cahaya di Pedalaman. Kuala Lumpur: DBP, 1992.
Dunia Bukan Syurga. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1993
Sinappapal. Kuala Lumpur: DBP, 1993.
Suriati.  Kuala Lumpur : Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, 1993.
Hoi!. Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1994.
Wi dan Wiliam. Seri Kembangan: Utusan Publications, 1995.
Buih. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1995.
Atiek Puraba. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1996.
Ayahanda. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1997.
Pencinta Alam. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1998.
Kawin Kawin. Seri Kembangan: Utusan Publications , 2002.
Sangeetha. Kuala Lumpur: DBP, 2006.
Memoir Seorang Guru. Selangor: Alaf 21, 2007.
Harga Sebuah Maruah. Kuala Lumpur: DBP, 2007.
Zikir Rindu. Shah Alam: Alaf 21, 2009.
Daerah Beta. Kuala Lumpur: DBP, 2009.

2.4. Terjemahan dan Adaptasi
2.4.1        Terjemahan
Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi ini adalah antara novel-novel yang disenaraikan sebagai novel Abad 20 dan antara siri sastera Malaysia. Novel tersebut telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh Thaiyibah Sulaiman dengan judul The Old Man of the Foot of the Mountion dan kemudiannya diterjemahkan pula ke Bahasa Jepun oleh Dr. Fujimuray iaitu seorang pensyarah dari Universiti Tokyo, Jepun. Terjemahan buku ini diusahakan oleh Yayasan Dokaido.

2.4.2    Teks Sekolah
Novel ini dijadikan teks yang wajib dibaca oleh pelajar tingkatan 5 aliran sastera yang dimasukkan sebagai silibus mata pelajaran Kesasteraan Melayu.

2.4.2              Adaptasi
Novel Seorang Tua di Kaki Gunung telah diadaptasi kepada sebuah drama bertajuk dengan tajuk yang sama pada penghujung tahun 1980-an untuk siaran RTM oleh Allahyarham Ahmadi Hassan, di bawah Syarikat Penerbitan Asasi. 

Skrip untuk drama ini ditulis sendiri oleh Azizi Haji Abdullah dengan kupasan setiap watak yang sangat tajam. Pengarahnya pula adalah Omar Rojik yang menampilkan barisan pelakon handalan tanah air. Pelakon watak Tukya ialah Tamam Idris dan Besah ialah Mahyun Ismail, watak Fikri didukung oleh Zulkifli Zain manakala watak Lamin ialah Opie Zami.

2.5 Sinopsis
Buku ini mengisahkan kehidupan Tukya,  seorang tua yang tinggal di Kaki Gunung bongsu, Kedah bersama isterinya, Besah. Mereka mempunyai seorang anak yang bernama Fikri. Biarpun kehidupan mereka terlalu rigid dengan desan tetapi Fikri telah berjaya dalam pelajaran hingga melanjutkan pengajiannya ke luar negara. Namun begitu, apabila Fikri kembali ke tanah air, dia telah bernikah dengan Fatimah, iaitu seorang anak kota. Mereka tinggal di Kuala Lumpur yang segala-galanya begitu asing bagi Tukya.

Tukya memiliki dua orang cucu, iaitu anak kepada Fikri - Farid dan Lamin. Ditakdirkan, semangat dan jiwa Tukya banyak tertumpah kepada Lamin sementara Farid menolak kehidupan tradisional yang telah sebati dalam diri Tukya. Pertentangan kehidupan antara desa dan kota mewujudkan jurang yang menyemat tekad kepada Tukya.

Sifatnya yang tegas dan keras sukar dilembutkan oleh sesiapapun malahan kehidupannya di desa menjadikan dirinya tetap berpegang teguh pada tradisi. Ejekan daripada Farid yang seringkali memandang rendah kehidupan desa telah menguatkan tekad Tukya untuk membuktikan kehidupan sebenar kepada anak cucunya.

3. ANALISIS TEKS
3.1  Tema
3.1.1 Kekeluargaan
Hubungan antara Tukya dan Besah (suami dan isteri), Tukya dan Fikri (bapa dan anak), Tukya dan Lamin (datuk dan cucu). Biarpun kehidupan terasing antara kota dan desa tetapi ikatan kekeluargaan jelas terserlah. Kasih Fikri pada ayahnya sanggup menghantar Lamin ke desa apabila tibanya cuti persekolahan biarpun perjalanan jauh ditempuh.

3.1.2        Kasih Sayang
Kasih dan sayang bukan perlu ditonjolkan dengan kata-kata sebaliknya sikap prihatin dan perhatian. Contohnya semasa Tukya sakit kerana disengat tebuan, Besah menjaga Tukya sepenuhnya. Kepada anaknya juga, Besah sentiasa menyediakan bekalan atau oleh-oleh kepada Fikri untuk dibawa pulang ke kota, tidak kiralah walaupun hanya beras huma, jering atau petai.

Bukan sahaja sesama manusia tetapi kepada alam sekeliling juga. Penulis mendedahkan bagaimana hormatnya Tukya kepada alam sekeling hinggakan tidak akan menebang pokok biarpun telah diputuskan sekiranya tidak mengikut waktu yang ditetapkan.

3.1.3        Kemanusiaan
Sikap tolong menolong sesama jiran, sakit pening diambil tahu termasuk berkongsi sama kesusahan. Ini dapat dilihat ketika Tukya sakit akibat disengat tebuan, orang-orang kampung beramai-ramai berusaha untuk membawa Tukya ke hospital biarpun ketika itu sudah larut malam dan hospital terletak jauh dari kawasan tempat tinggal mereka.  
  
3.2 Mesej
3.2.1 Generasi lama dan baru
Kesedaran pengarang melihat kelompangan dalam susur galur kehidupan anak bangsanya iaitu kehidupan generasi muda atau golongan manusia akan datang dengan jurang generasi yang perlu ditampil-lapik.

Kehidupan Fikri yang mendapat pendidikan tinggi, berjawatan besar, berkereta dan beristeri orang kota berbanding dengan Tukya yang rigid dengan kehidupan desa dan jakun dengan bandar. Golongan muda anggap orang tua enggan menerima pembangunan manakala golongan tua melihat generasi muda lupa asal usul dan tidak menghargai masa lalunya.

3.2.2 Keagamaan
Menyelitkan unsur keagamaan apabila merujuk kepada solat yang dilakukan oleh Tukya walaupun berada jauh di dalam hutan dengan mengambil wudhuk menggunakan kaedah tayammum, dan sentiasa mendirikan solat subuh secara berjamaah bersama Besah selain berjemaah di surau pada waktu malam.
  
3.2.3 Hidup Muafakat
Kehidupan harmoni dan tolong menolong di antara penduduk kampung. Keakraban bersama dalam satu kelompok ibarat satu keluarga besar dalam satu kampung. Ini dapat dilihat semasa Tukya ditimpa tragedi ditimpa batang cengal yang mengakibatkan kematiannya, orang kampung jugalah bekerjasama membawa jenazah Tukya keluar dari hutan tersebut.

Mereka hidup sebagai kelompok yang terasing. Rumah-rumah mereka berselerak tetapi terhimpun atas nama satu surau, dan mereka dapat berhimpun bilamana kenduri atau sakit mati
Mereka mencari makan sendiri-sendiri, tetapi saling bantu-membantu. Mereka akan menuju ke utara, menuju ke selatan, mendaki gunung, masuk rimba, menuruni lurah dan curam. Dan pada hari-hari tertentu pula, kadangkala mereka bersatu, seperti air yang mengalir dari hulu membelok ke kiri ke kanan melanda batu dan lumut, lalu bertemu di muara.

3.2.4 Adat dan Pantang Larang
Penulis mengetengahkan kehidupan desa dan tradisi yang penuh pantang larang dalam membuat sesuatu kerja. Bagi mereka setiap apa yang mahu dilakukan ada peraturan dan menganggap setiap kerja sangat mulia dan patut dihormati. Dalam novel tersebut menunjukkan jelas bagaimana Tukya berpegang teguh sehinggakan dia sanggup membatalkan niatnya untuk menebang pokok cengal meskipun ketika itu telah berada di tengah hutan rimba hanya kerana ia tidak dilaksanakan pagi-pagi. Petua-petua lain turut digunakan misalnya petua untuk memilih pokok yang baik, dan pantang larang untuk mendirikan rumah.

Misalnya dapat dilihat dalam contoh di bawah:
Bermula jika mendirikan rumah pada bulan Muharam jadi huru-hara atau penyakit empunya rumah itu dan barang siapa mendirikan rumah pada bulan Safar nescaya banyak beroleh harta atau ilmu....

3.2.5 Memperkenalkan kehidupan di dalam rimba
Teks Seorang Tua di Kaki Gunung ini memperlihatkan bagaimana rapatnya penulis dengan alam semula jadi. Melalui watak Tukya, penulis bersemangat mencurahkan segala ilmu hutannya kepada Lamin, sehingga hampir maut disengat lebah rimba.

Keghairahan Tukya untuk memberi tunjuk ajar kepada cucunya tergambar jelas dengan membawa Lamin ke dalam hutan rimba, diajarnya anak kota itu dengan kehidupan desa seperti melastik burung dan memanggil pelanduk menari.

3.2      Teknik Plot
3.3.1 Imbas kembali
Seorang Tua di Kaki Gunung ini menggunakan teknik imbas kembali apabila Tukya teringatkan kehidupannya semasa muda hingga membawanya berhijrah ke kaki Gunung Bongsu. Pengarang menceritakan latar hidup Tukya bersama isteri Besah dan kemudian mendapat anak tunggal iaitu Fikri dengan serba lengkap menggunakan kaedah tersebut.

3.3.2.      Imbas muka
Pengarang dapat menggambar secara jelas bagaiman wajah tua Tukya bersama isteri Besah. Walaupun Besah telah beberapa kali menolak ajakan Fikri dan menantunya Faridah selepas kematian Tukya, namun diakhirannya ada persoalan yang belum selesai.

3.3.3 Konflik
Teks Seorang Tua di Kaki Gunung memperlihatkan sikap golongan tua yang tetap keras dalam usahanya mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi.
Bagi mereka:
Kicau burung, desir angin dan bunyi kuang atau cengkerik adalah muzik asli yang tidak pernah berhenti. Jalan becak, denai-denai yang berlopak, jambatan dari buluh dan batang balak yang tumbang adalah pintu rezeki.

Kedegilan dan ketegasan pendirian seorang tua begitu menyerlah dan sampai ke kemuncaknya apabila Tukya berhasrat membina sebuah rumah baru dengan menebang sebatang cengal sebesar dua setengah pemeluk. Ini ekoran daripada rumah lamanya yang sudah lama tersergam dan memberi jasa itu menjadi ejekan cucunya, Farid. 

“Rumah atuk buruk, rumah atuk senget, rumah atuk tepi hutan.”
           
Rumah Tukya adalah berdinding pelupuh buluh, atap bertam dan lantai kayu. Upih kering pula diguna untuk menampal atap bocor yang seringkali berlaku apabila hujan lebat. Malahan jika Farid pulang ke kampung pun, dia selalu tarik muka masam. Belum pun sempat sehari semalam Farid akan mengajak bapanya balik ke Kuala Lumpur. 

3.3.4        Klimaks
Pengarang meletakkan kedegilan watak Tukya dengan penamatnya adalah apabila batang cengal yang sebesar lebih dua pemeluk orang dewasa menimpanya.  Pada bab akhir ini Tukya telah meminta Besah menggergaji kakinya. Sememangnya pengarang berjaya menyerlahkan rasa gerun, ngeri, tragis saat Besah memotong kaki Tukya menggunakan gergaji pokok.

3.4      Latar
3.4.1 Latar tempat
                        Kaki Gunung Bongsu, Kulim, Kedah

            3.4.2 Latar Masa
Realiti masyarakat di sekitar tahun 1970-80 an yang tinggal jauh di pedalaman. Golongan ini sangat akrab dengan desan dan hutan.

      3.5 Teknik Kreatif
Teknik penceritaannya mampu mendorong pembaca masuk ke alam semula jadi, dengan estetika ilmu kehutanan yang begitu memegunkan. Pembaca akan menjadi akrab dengan watak Tukya sekaligus akan mengenali kehidupannya di kaki Gunung Bongsu.  Usaha yang bersungguh-sungguh menggambarkan latar alam, melakar watak yang sarat dengan emosi seorang tua menggambarkan daya cipta dan kreativiti pengarang yang besar.

3.5      Cara Hidup, Nilai dan Sudut Pandang
Pengarang telah memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam melukiskan gambaran alam hutan untuk menimbulkan perhubungan erat dan selari antara usia Tukya dengan kehidupan tradisi yang dianggap murni. Tukya adalah lambang seorang manusia yang gigih dalam usaha mempertahankan pendiriannya hingga ke akhir hayat. 

Kegigihan seorang tua dalam mempertahankan pendirian dan ledakan perasaannya merupakan lambang ketokohan yang wajar dihormati. Pengarang telah berjaya melakar watak Tukya sebagai seorang legenda yang tidak akan dilupakan oleh pembacanya.  

2 comments:

Unknown said...

Tuan ad jual Tak buku ini?

airikamalek said...

Maaf... tak ada. Ini simpanan sendiri...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers