1.0 PENGENALAN - Seorang Tua Di Kaki Gunung
Karya
sastera yang hebat mampu menjadi cermin kepada identiti dan kebudayaan sesebuah
masyarakat malah ada yang mampu mengangkat bangsanya menjadi bangsa terkenal di
peringkat antarabangsa. Karya yang hebat boleh dianggap hebat apabila
diperbincangkan dan menjadi polemik dalam pelbagai bidang sama ada mencakupi
dunia sastera itu sentiri atau merentas tema yang dipersembahkan sehingga boleh
menghasilkan satu idea baru.
Sesungguhnya amat kurang buku-buku bermutu yang mampu menjadi cermin kepada
masyarakat dalam sesebuah negara apatah lagi untuk dilukiskan dalam bentuk
karya kreatif. Cuba lihat pula lambakan pasaran buku hari ini. Penerbit buku
kini lebih ghairah menerbitkan buku-buku yang bertemakan cinta dengan jalan
cerita picisan. Kesannya, adakah tidak terlihat bagaimana perlakuan anak bangsa
sekarang ini, walaupun secara tidak langsung masih ada juga segelintir yang
masih terpelihara. Jadi, tidak cukupkah kita hanya berhibur, berhibur dan
berhibur hingga tiada suatu pun yang kita tinggalkan untuk ruang berfikir
ataupun ruang penafsiran sebagai warisan untuk dipusakai oleh anak
bangsa.
Sastera
pula bukan sekadar buku cerita, bukan sekadar puisi atau bukan sekadar naskah
murahan yang dilahirkan oleh insan bergelandangan. Karya sastera yang agung
sesungguhnya mampu memperlihatkan bukti luas mengenai akar-akar dalam
tradisi budaya atau sejarah budaya dari komuniti.
Karya agung ini akan berjaya meninggalkan
kesan seni, budaya dan pemikiran luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu
bangsa. Karya ini dianggap warisan bangsa dalam erti kata bahawa ia
mewakili ‘minda’ dan pengalaman bersama bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana
yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi ilmu, adat,
bahasa, seni, dan pekerti budaya dan sosial yang membentuk citra identiti
ketamadunan bangsa itu.
2.1 KARYA : Azizi Haji Abdullah
Cetakan Pertama: 1982
Novel yang memenangi tempat kedua dalam sayembara Hadiah
Novel GAPENA-Yayasan Sabah II 1981.
Penerbit: Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP)
Halaman: 165 hlm.
Jumlah bab: 16
Cetakan:
Pertama 1982
Kedua 1984
Ketiga 1984
Keempat
1986
2.2 PENULIS
Azizi
Abdullah adalah penulis prolifik tanah air yang konsisten sejak dari zaman
remajanya. Beliau dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah
pada 4 April 1942. Beliau pernah dilabelkan sebagai penulis sayembara berikutan
kejayaan beliau yang cenderung memenangi anugerah dalam beberapa pertandingan
menulis secara berturut-turut.
Azizi
berkhidmat sebagai guru agama dari 1966 hingga 1997 sebelum menjawat Ketua
Editor Utusan Pengguna (CAP) Pulau Pinang. Beliau mula terbabit dalam dunia
penulisan sejak 1963 apabila rencana pertamanya mengenai buruk baik wanita
bermain bola sepak disiarkan dalam Warta Negara, Pulau Pinang. Beliau juga
sering menggunakan nama-nama samaran seperti Jarnong, Qalam Adly, Arita,
Shahrul Manjarisyah dan Tukya iaitu nama watak utama dalam novel Seorang Tua di
Kaki Gunung.
Sehingga
kini Azizi telah menghasilkan lebih 200 cerpen, 30 novel, beberapa antologi
puisi, artikel drama radio dan tv. Beliau juga begitu prolifik menghasilkan
dalam penulisan rencana selain menjadi kolumnis di beberapa buah majalah dan
akhbar. Azizi telah menerima anugerah Ahli Mangku Negara dan penerima S.E.A
Write Award dari kerajaan Thailand pada tahun 1988. Novel satira Kawin-Kawin
telah berjaya merangkul tempat pertama Hadiah Sako (2001) setelah menduduki
tempat ketiga dengan novel Wi & William pada tahun 1995.
Kebolehan
yang tidak boleh dinafikan, Azizi sangat sensitif terhadap masalah sosial dan
kecenderungan bahasa, selalu meluahkan emosi dalam penulisannya dan ia
disampaikan dalam bentuk bahasa mudah tetapi sopan untuk difahami. Beliau tidak
pernah menunjukkan tanda-tanda akan berundur dalam dunia penulisan meskipun
usianya semakin bertambah.
Sebagai
penulis, Azizi tidak pernah mengalah dengan peredaran masa malah beliau adalah
antara penulis yang mengikuti perkembangan dunia penulisan dalam dunia siber.
Terkini, Azizi turut bergelar blogger apabila aktif dalam lamannya iaitu http://aziziabdullah.blogspot.com/.
Setiap perkembangan beliau ditulis dalam blog tersebut seakan ia sebuah diari
bergambar seorang seniman.
2.3 NOVEL-NOVEL KARYA
AZIZI HAJI ABDULLAH
Garis
Lintang Anak Haram. Kuala Lumpur : Pustaka Sari,
1968.
Senja
Belum Berakhir. Singapura : Pustaka Nasional, 1971.
Bila
Hujan Malam. Kuala Lumpur : Amir Enterprise, 1976.
Sami
Mekong. Kuala Lumpur : Penerbitan Utusan
Melayu, 1976.
Tini.
Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor, 1977.
Ayah
Bonda. Kuala Lumpur : Pustaka Sistem
Pelajaran, 1978.
Di
Kolam Mulhamah. Kuala Lumpur : Garis Cinta Books,
1978.
Gadis
Itu Bernama Ina. Petaling Jaya : Karya Pub. House,
1978.
Seorang
Tua di Kaki Gunung. Kuala Lumpur : DBP, 1982.
Debu
Takdir. Subang Jaya : Tra-Tra Publishing, 1982.
Dee.
Shah Alam : Marwilis Publisher, 1987.
Melukut
Kota. Kuala Lumpur : Penerbitan Azam , 1987.
Asyraq.
Kuala Lumpur : Penerbitan Azam , 1987.
Juak.
Kuala Lumpur : DBP, 1989.
Yang
Merusuh. Kuala Lumpur : Penerbitan Kintan, 1991.
Tukcai.
Petaling Jaya : Fajar Bakti, 1991.
Menebus
Maruah. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1991.
Beruk.
Kuala Lumpur : Penerbitan Kintan, 1991.
Anak
Kampung Kuala Raga. Kuala Lumpur: DBP, 1991.
Anak
Belantara Tropika. Shah Alam : Marwilis, 1992.
Cahaya
di Pedalaman. Kuala Lumpur: DBP, 1992.
Dunia
Bukan Syurga. Kuala Lumpur : Creative Enterprise,
1993
Sinappapal.
Kuala Lumpur: DBP, 1993.
Suriati. Kuala Lumpur :
Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, 1993.
Hoi!.
Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1994.
Wi
dan Wiliam. Seri Kembangan: Utusan Publications,
1995.
Buih.
Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1995.
Atiek
Puraba. Kuala Lumpur : Creative Enterprise,
1996.
Ayahanda.
Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1997.
Pencinta
Alam. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1998.
Kawin
Kawin. Seri Kembangan: Utusan Publications , 2002.
Sangeetha.
Kuala Lumpur: DBP, 2006.
Memoir
Seorang Guru. Selangor: Alaf 21, 2007.
Harga
Sebuah Maruah. Kuala Lumpur: DBP, 2007.
Zikir
Rindu. Shah Alam: Alaf 21, 2009.
Daerah
Beta. Kuala Lumpur: DBP, 2009.
2.4. Terjemahan dan
Adaptasi
2.4.1
Terjemahan
Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi ini adalah antara
novel-novel yang disenaraikan sebagai novel Abad 20 dan antara siri sastera
Malaysia. Novel tersebut telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh Thaiyibah
Sulaiman dengan judul The
Old Man of the Foot of the Mountion dan kemudiannya diterjemahkan pula ke Bahasa Jepun oleh
Dr. Fujimuray iaitu seorang pensyarah dari Universiti Tokyo, Jepun. Terjemahan
buku ini diusahakan oleh Yayasan Dokaido.
2.4.2
Teks Sekolah
Novel ini dijadikan teks yang wajib
dibaca oleh pelajar tingkatan 5 aliran sastera yang dimasukkan sebagai silibus
mata pelajaran Kesasteraan Melayu.
2.4.2
Adaptasi
Novel Seorang Tua di Kaki Gunung telah diadaptasi kepada sebuah drama
bertajuk dengan tajuk yang sama pada penghujung tahun 1980-an untuk siaran RTM
oleh Allahyarham Ahmadi Hassan, di bawah Syarikat Penerbitan Asasi.
Skrip untuk drama ini ditulis sendiri
oleh Azizi Haji Abdullah dengan kupasan setiap watak yang sangat tajam. Pengarahnya
pula adalah Omar Rojik yang menampilkan barisan pelakon handalan tanah air. Pelakon
watak Tukya ialah Tamam Idris dan Besah ialah Mahyun Ismail, watak Fikri
didukung oleh Zulkifli Zain manakala watak Lamin ialah Opie Zami.
2.5 Sinopsis
Buku
ini mengisahkan kehidupan Tukya, seorang
tua yang tinggal di Kaki Gunung bongsu, Kedah bersama isterinya, Besah. Mereka
mempunyai seorang anak yang bernama Fikri. Biarpun kehidupan mereka terlalu
rigid dengan desan tetapi Fikri telah berjaya dalam pelajaran hingga
melanjutkan pengajiannya ke luar negara. Namun begitu, apabila Fikri kembali ke
tanah air, dia telah bernikah dengan Fatimah, iaitu seorang anak kota. Mereka
tinggal di Kuala Lumpur yang segala-galanya begitu asing bagi Tukya.
Tukya
memiliki dua orang cucu, iaitu anak kepada Fikri - Farid dan Lamin. Ditakdirkan,
semangat dan jiwa Tukya banyak tertumpah kepada Lamin sementara Farid menolak
kehidupan tradisional yang telah sebati dalam diri Tukya. Pertentangan
kehidupan antara desa dan kota mewujudkan jurang yang menyemat tekad kepada
Tukya.
Sifatnya
yang tegas dan keras sukar dilembutkan oleh sesiapapun malahan kehidupannya di
desa menjadikan dirinya tetap berpegang teguh pada tradisi. Ejekan daripada
Farid yang seringkali memandang rendah kehidupan desa telah menguatkan tekad
Tukya untuk membuktikan kehidupan sebenar kepada anak cucunya.
3. ANALISIS TEKS
3.1
Tema
3.1.1 Kekeluargaan
Hubungan antara Tukya dan Besah (suami
dan isteri), Tukya dan Fikri (bapa dan anak), Tukya dan Lamin (datuk dan cucu).
Biarpun kehidupan terasing antara kota dan desa tetapi ikatan kekeluargaan
jelas terserlah. Kasih Fikri pada ayahnya sanggup menghantar Lamin ke desa
apabila tibanya cuti persekolahan biarpun perjalanan jauh ditempuh.
3.1.2
Kasih
Sayang
Kasih dan sayang bukan perlu ditonjolkan
dengan kata-kata sebaliknya sikap prihatin dan perhatian. Contohnya semasa
Tukya sakit kerana disengat tebuan, Besah menjaga Tukya sepenuhnya. Kepada
anaknya juga, Besah sentiasa menyediakan bekalan atau oleh-oleh kepada Fikri
untuk dibawa pulang ke kota, tidak kiralah walaupun hanya beras huma, jering
atau petai.
Bukan sahaja sesama manusia tetapi
kepada alam sekeliling juga. Penulis mendedahkan bagaimana hormatnya Tukya
kepada alam sekeling hinggakan tidak akan menebang pokok biarpun telah
diputuskan sekiranya tidak mengikut waktu yang ditetapkan.
3.1.3
Kemanusiaan
Sikap tolong menolong sesama jiran,
sakit pening diambil tahu termasuk berkongsi sama kesusahan. Ini dapat dilihat ketika
Tukya sakit akibat disengat tebuan, orang-orang kampung beramai-ramai berusaha untuk
membawa Tukya ke hospital biarpun ketika itu sudah larut malam dan hospital
terletak jauh dari kawasan tempat tinggal mereka.
3.2 Mesej
3.2.1 Generasi lama dan
baru
Kesedaran pengarang melihat kelompangan
dalam susur galur kehidupan anak bangsanya iaitu kehidupan generasi muda atau
golongan manusia akan datang dengan jurang generasi yang perlu ditampil-lapik.
Kehidupan Fikri yang mendapat pendidikan
tinggi, berjawatan besar, berkereta dan beristeri orang kota berbanding dengan
Tukya yang rigid dengan kehidupan desa dan jakun dengan bandar. Golongan muda
anggap orang tua enggan menerima pembangunan manakala golongan tua melihat
generasi muda lupa asal usul dan tidak menghargai masa lalunya.
3.2.2 Keagamaan
Menyelitkan unsur keagamaan apabila
merujuk kepada solat yang dilakukan oleh Tukya walaupun berada jauh di dalam
hutan dengan mengambil wudhuk menggunakan kaedah tayammum, dan sentiasa
mendirikan solat subuh secara berjamaah bersama Besah selain berjemaah di surau
pada waktu malam.
3.2.3 Hidup Muafakat
Kehidupan harmoni dan tolong menolong di
antara penduduk kampung. Keakraban bersama dalam satu kelompok ibarat satu
keluarga besar dalam satu kampung. Ini dapat dilihat semasa Tukya ditimpa
tragedi ditimpa batang cengal yang mengakibatkan kematiannya, orang kampung
jugalah bekerjasama membawa jenazah Tukya keluar dari hutan tersebut.
Mereka
hidup sebagai kelompok yang terasing. Rumah-rumah mereka berselerak tetapi
terhimpun atas nama satu surau, dan mereka dapat berhimpun bilamana kenduri
atau sakit mati
Mereka
mencari makan sendiri-sendiri, tetapi saling bantu-membantu. Mereka akan menuju
ke utara, menuju ke selatan, mendaki gunung, masuk rimba, menuruni lurah dan
curam. Dan pada hari-hari tertentu pula, kadangkala mereka bersatu, seperti air
yang mengalir dari hulu membelok ke kiri ke kanan melanda batu dan lumut, lalu
bertemu di muara.
3.2.4 Adat dan Pantang
Larang
Penulis mengetengahkan kehidupan desa
dan tradisi yang penuh pantang larang dalam membuat sesuatu kerja. Bagi mereka
setiap apa yang mahu dilakukan ada peraturan dan menganggap setiap kerja sangat
mulia dan patut dihormati. Dalam novel tersebut menunjukkan jelas bagaimana
Tukya berpegang teguh sehinggakan dia sanggup membatalkan niatnya untuk
menebang pokok cengal meskipun ketika itu telah berada di tengah hutan rimba
hanya kerana ia tidak dilaksanakan pagi-pagi. Petua-petua lain turut digunakan
misalnya petua untuk memilih pokok yang baik, dan pantang larang untuk
mendirikan rumah.
Misalnya dapat dilihat dalam contoh di
bawah:
Bermula
jika mendirikan rumah pada bulan Muharam jadi huru-hara atau penyakit empunya
rumah itu dan barang siapa mendirikan rumah pada bulan Safar nescaya banyak
beroleh harta atau ilmu....
3.2.5 Memperkenalkan
kehidupan di dalam rimba
Teks Seorang
Tua di Kaki Gunung ini memperlihatkan bagaimana rapatnya penulis dengan
alam semula jadi. Melalui watak Tukya, penulis bersemangat mencurahkan segala
ilmu hutannya kepada Lamin, sehingga hampir maut disengat lebah rimba.
Keghairahan Tukya untuk memberi tunjuk
ajar kepada cucunya tergambar jelas dengan membawa Lamin ke dalam hutan rimba,
diajarnya anak kota itu dengan kehidupan desa seperti melastik burung dan
memanggil pelanduk menari.
3.2
Teknik
Plot
3.3.1 Imbas kembali
Seorang
Tua di Kaki Gunung ini menggunakan teknik imbas
kembali apabila Tukya teringatkan kehidupannya semasa muda hingga membawanya
berhijrah ke kaki Gunung Bongsu. Pengarang menceritakan latar hidup Tukya
bersama isteri Besah dan kemudian mendapat anak tunggal iaitu Fikri dengan serba
lengkap menggunakan kaedah tersebut.
3.3.2.
Imbas
muka
Pengarang dapat menggambar secara jelas
bagaiman wajah tua Tukya bersama isteri Besah. Walaupun Besah telah beberapa
kali menolak ajakan Fikri dan menantunya Faridah selepas kematian Tukya, namun diakhirannya ada persoalan yang
belum selesai.
3.3.3 Konflik
Teks Seorang
Tua di Kaki Gunung memperlihatkan sikap golongan tua yang tetap keras dalam
usahanya mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi.
Bagi
mereka:
Kicau
burung, desir angin dan bunyi kuang atau cengkerik adalah muzik asli yang tidak
pernah berhenti. Jalan becak, denai-denai yang berlopak, jambatan dari buluh
dan batang balak yang tumbang adalah pintu rezeki.
Kedegilan dan ketegasan pendirian
seorang tua begitu menyerlah dan sampai ke kemuncaknya apabila Tukya berhasrat
membina sebuah rumah baru dengan menebang sebatang cengal sebesar dua setengah
pemeluk. Ini ekoran daripada rumah lamanya yang sudah lama tersergam dan
memberi jasa itu menjadi ejekan cucunya, Farid.
“Rumah atuk buruk, rumah atuk senget,
rumah atuk tepi hutan.”
Rumah Tukya
adalah berdinding pelupuh buluh, atap bertam dan lantai kayu. Upih kering pula
diguna untuk menampal atap bocor yang seringkali berlaku apabila hujan lebat.
Malahan jika Farid pulang ke kampung pun, dia selalu tarik muka masam. Belum
pun sempat sehari semalam Farid akan mengajak bapanya balik ke Kuala
Lumpur.
3.3.4
Klimaks
Pengarang meletakkan kedegilan watak
Tukya dengan penamatnya adalah apabila batang cengal yang sebesar lebih dua
pemeluk orang dewasa menimpanya. Pada
bab akhir ini Tukya telah meminta Besah menggergaji kakinya. Sememangnya
pengarang berjaya menyerlahkan rasa gerun, ngeri, tragis saat Besah memotong
kaki Tukya menggunakan gergaji pokok.
3.4
Latar
3.4.1
Latar tempat
Kaki Gunung Bongsu,
Kulim, Kedah
3.4.2
Latar Masa
Realiti masyarakat di sekitar tahun
1970-80 an yang tinggal jauh di pedalaman. Golongan ini sangat akrab dengan
desan dan hutan.
3.5 Teknik Kreatif
Teknik penceritaannya mampu mendorong
pembaca masuk ke alam semula jadi, dengan estetika ilmu kehutanan yang begitu
memegunkan. Pembaca akan menjadi akrab dengan watak Tukya sekaligus akan
mengenali kehidupannya di kaki Gunung Bongsu. Usaha yang
bersungguh-sungguh menggambarkan latar alam, melakar watak yang sarat dengan
emosi seorang tua menggambarkan daya cipta dan kreativiti pengarang yang besar.
3.5
Cara
Hidup, Nilai dan Sudut Pandang
Pengarang telah memperlihatkan usaha
yang bersungguh-sungguh dalam melukiskan gambaran alam hutan untuk menimbulkan
perhubungan erat dan selari antara usia Tukya dengan kehidupan tradisi yang
dianggap murni. Tukya adalah lambang seorang manusia yang gigih dalam usaha
mempertahankan pendiriannya hingga ke akhir hayat.
Kegigihan seorang tua dalam
mempertahankan pendirian dan ledakan perasaannya merupakan lambang ketokohan
yang wajar dihormati. Pengarang telah berjaya melakar watak Tukya sebagai
seorang legenda yang tidak akan dilupakan oleh pembacanya.
2 comments:
Tuan ad jual Tak buku ini?
Maaf... tak ada. Ini simpanan sendiri...
Post a Comment