Pagi-pagi sebangunnya dari tidur, Ameer yang terlebih dahulu mengingatkan aku bahawa hari tersebut adalah hari jadinya. Dia erat merangkul leherku meminta pelukan, kemudian mengucup pipiku lantas aku ucapkan selamat hari lahir. Ameer semakin besar. Tubuhnya semakin meninggi menampakkan dia lebih kurus. Sememangnya amat berbeza dengan keadaannya di awal kelahiran enam tahun lalu, dengan tubuh tembam, lengan berketak-ketak dan dagu berbelah. Ada lesung pipit di pipinya.
Ameer memang ceria, perwatakannya amat berbeza dengan kaka dan adiknya. Ameer gemar mengusik, suka bersenda namun mudah pula terusik. Jiwanya halus dan amat senang tersentuh dengan perkara-perkara yang menyedihkan. Ameer juga lebih terbuka dan mudah untuk membantu. Semoga kelak, perwatakannya yang baik ini semakin bercambah dan bersemi menjadi leluhur dalam kehidupan, insan ikhlas yang akan membantu aku dan Mr Hubby ke syurga. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment