Tuesday, 31 December 2013

Menjelang Tahun Baru 2014

Apakah perkara utama apabila menjelang tahun baru? Keadaan tentunya berbeza, dari usia kanak-kanak, remaja dan alam rumah tangga. Bagi diriku yang sudah mempunyai anak-anak maka tentunya alam persekolahan mereka menjadi keutamaan. Persediaan untuk sesi persekolahan baru adalah satu kemestian. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Dikongsi bersama Mr. Hubby untuk melakukan yang terbaik kepada anak-anak. Namun barangkali benar, wanita terlalu cerewet... sedangkan kaum Adam lebih santai dan bersahaja walhal banyak perkara yang masih belum selesai....


Baju sekolah Amira telah diuruskan awal dengan tempah dua pasang ke Pipah. Ameer juga telah selesai pendaftarannya sementara Nina bakal memasuki sekolah tadika, turut teruja untuk menyertai abangnya. Banyak sebenarnya yang perlu difikirkan...lebih utama utama untuk dibelanjakan. Dari pakaian, kasut, tudung sehinggalah ke stokin, alat tulis, beg sekolah (guna sahaja yang lama) termasuklah buku-buku sekolah. Ini belum lagi urusan bas sekolah anak-anak namun untuk tahun 2014, Ameer dan Nina akan aku hantar sendiri sementara pulangnya Mr Hubby akan uruskan. Dapatlah berjimat juga barang sedikit kan... Jika dijumlahkan semuanya memang berpeluh jugalah apatah lagi ditambah dengan yuran persekolahan Ameer dan Nina, sekolah kafa Amira dan duit pengangkutan. Namun demi anak-anak mana-mana ibu bapa pun akan bertungkus lumus untuk melunaskan segalanya dan memastikan anak-anak mendapat yang terbaik untuk proses pembelajaran mereka.

Dalam keadaan tersebut, dapat aku bayangkan bagaimana peritnya bagi ibu bapa yang menanggung anak-anak dalam jumlah yang ramai sedangkan hari ini nilai barangan semakin tinggi, kos hidup semakin bertambah. Nilai wang sudah tidak setanding dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Terlalu rendah rasanya dan terlalu banyak yang perlu diketengahkan. Memang, sebagai pengguna kita perlu berlaku bijak namun setiap manusia mempunyai kehendak yang melampau. Setakat manakah kita mampu mengawal kehendak ini?

Dalam memahami keperitan ini aku imbas semula zaman kanak-kanakku lalu. Teringat pada bapak yang hanya seorang buruh kasar, pengangkutan seharian ke tempat kerja hanyalah dengan berbasikal. Tidak kiralah jaraknya berapa jauh, malah terpaksa pula meredah panas dan hujan. Memang bapak akan sediakan topi dan baju hujan untuk berdepan hari-hari sedemikian. Arwah mak yang akan uruskan kami adik-beradik. Biasanya barang keperluan untuk persekolahan yang utama adalah buku-buku sekolah selain dari yuran sekolah yang akan dilunaskan awal. Untuk beg sekolah, jarang sekali kami bertukar yang baru untuk setiap tahun. Mana-mana barang yang masih boleh diguna akan terus dipakai biarpun sesi persekolahan bertukar baru. Baju sekolah juga, biasanya amat jarang juga aku memakai baju sekolah yang baru terutamanya ketika aku bersekolah rendah. Arwah mak aturkan semua untuk kami dan anak-anak semua jarang sekali yang akan menolak atau mengeluh. Semuanya diterima dengan redha tanpa keluh kesah. Mungkin ketika itu yang bernasib sedemikian bukanlah keluarga kami sahaja sebaliknya ramai lagi rakan-rakan lain yang senasib, maka keadaan tersebut seakan menjadi satu kebiasaan.

Zaman telah berubah, masa silih berganti menjadikan generasi hari ini terlalu banyak pilihan, berdepan dengan realiti perlulah bijak mengukur baju di badan sendiri. Nampak mewah namun tentunya tidak sama dengan tempat pembelian barangan yang ada sedangkan anak-anak perlu diasuh sedari kecil bagi membiasaka
n diri dengan kepayahan. Belajar berjimat, membeli hanya barang yang perlu, tidak bersikap cerewet dan menerima setiap pemberian perlulah diterapkan. Saban tahun pula, pasti ada sahaja kenaikan harga barang yang sedikit sebanyak memberi tekanan kepada rakyat. Penghujung tahun diumumkan harga itu ini akan naik sedangkan dalam masa yang sama rakyat memerlukan perbelanjaan yang lebih untuk sesi persekolahan, manalah tidak menjadi tekanan. Wujud pula rasa tidak puas hati, mula rasa marah dan berkecil hati dengan tindakan pemimpin yang gagal menyelami hati rakyat. Lebih teruk jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab 'cucuk jarum' mula lakukan propaganda kononnya nak guling kerajaan. Seteruk inikah sehinggakan kerajaan yang ada perlu digulingkan. Benar, ramai yang tidak setuju dengan tindakan pelbagai barangan yang naik harga tapi ini bukan bermakna mahu membawa demonstrasi jalanan sebagai pilihan utama. Terasa dangkalnya mereka yang bersikap sedemikian, memilih untuk melakukan huru-hara sedangkan banyak perkara belum pun dimuktamadkan oleh kerajaan.

Pada pemimpin berharap untuk mereka benar-benar realisasikan berjiwa rakyat dan bukannya darah bangsawan hanya pandai bercakap tetapi gagal melaksanakan apa yang dikata. Pada rakyat pula, perlulah bijak membuat tindakan, janganlah pula hanya kerana seekor nyamuk maka habis kelambu dibakar... kan natijahnya diri sendiri akan mendapat bahana....!

Apa pun, hidup perlu diteruskan. Dalam pahit masih ada senyuman. Selamat Tahun Baru 2014.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers