Thursday, 31 August 2017
KL2017 - Sukan SEA Kuala Lumpur
Selepas 16 tahun, Sukan SEA, KL2017 kembali berlangsung di Kuala Lumpur. Bermula dari 19 hingga 30 Ogos dengan acara penutupnya diadakan secara gilang-gemilang sempena sambutan ambang Merdeka, 31 Ogos. Tentunya aku dan anak-anak tak mahu ketinggalan, mahu menyaksikan sendiri di depan mata, apatah lagi Stadium Bukit Jalil pun dekat saja dari rumah.
Mr. Hubby nampak kurang berminat, maklumlah bukan acara bola sepak yang sememangnya dia tidak pernah ketinggalan ke stadium bersama rakan-rakannya. Keterujaan aku pula untuk membawa anak-anak apatah lagi mereka kerap bertanya itu dan ini berkaitan sukan SEA dan pada sebelah malamnya menyaksikan siaran langsung di tv. Kasihan pula... dan Mr Hubby beralah menemani kami bersama-sama di petang hujung minggu.
Kami menaiki LRT, terus berjalan-jalan di sekitar arena Bukit Jalil dan kemudiannya menyaksikan perlawanan hoki separuh akhir. Bersemangat anak-anak lantaran pertama kali menyaksikan sorakan sedemikian. Amira sendiri yang tidak berminat dengan sukan pun turut teruja. Kemudiannya dua hari kemudian, Amira meminta untuk datang kembali bersama rakan-rakannya ditemani ibu Nisa, bersama Adele dan Farhah. Kebetulan pula cuti sekolah. Aku dari pejabat membawa sekali Ameer dan Afrina terus ke Stadium Hoki menyaksikan perlawanan akhir Malaysia vs Myanmar. Wow... 14-0 Myanmar kena.
Acara penutup, kami kembali lagi. Kali ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Dalam keadaan aku berbadan dua, semangat tetap kental biarpun mendaki hingga ke tingkat lima sebagaimana tiket yang kami milik. Mujurlah, Filza dan kak Shida sampai seawal pukul 4.00 petang dan tempat duduk untuk geng sudah disediakan. Filza, kak Shida, Farah, Lin sekeluarga bersama-sama menikmati acara yang penuh gemilang.
Sungguh, rasa bangga dengan atlet negara yang memungut 145 pingat melangkaui jangkaan menerajui gemilang berada di tempat teratas antara 11 negara bertanding. Inilah acara dwi-tahunan yang gemilang dan seterusnya akan berlangsung di Filipina pula. Tahniah untuk kejayaan Sukan SEA KL2017 & Selamat Hari Merdeka ke-60.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment