Thursday, 10 August 2017

Hamil Usia 40... Apa Salahnya?

Hamil pada usia 40 tahun...? Bukan satu perancangan namun anugerah dari Ilahi akan datang dalam pelbagai bentuk termasuklah zuriat yang tidak disangka-sangka. Memang antara aku dan Mr Hubby tidak pernah membincangkan bilangan anak, malah untuk setiap kelahiran pun bukanlah bergantung pada usia namun mengetahui diri hamil pada umur 40 tahun adalah sesuatu yang boleh dianggap mengejutkan bagiku...

Apabila aku maklumkan pada Mr Hubby... jawabnya, Alhamdulillah, itu namanya rezeki dari Allah. Kita minta macam-macam rezeki, dalam setiap doa, dalam solat dan dalam apa jua yang kita lakukan. Allah makbulkan permintaan kita dengan memberikan anugerah dalam bentuk yang kita tak sangka-sangka. Inilah kehamilan kelimaku pada usiaku genap 40 tahun.

Apa rasanya hamil pada usia ini...? Tiada sebarang keanehan pada diriku, malah pada trimester pertama pun aku tidak mengalami sebarang alahan, tiada morning sickness, tiada rasa pening-pening dan selera makanku juga seperti biasa - tidak berlebih dan tidak berkurang.

Dari segi emosi... ya pada mulanya aku terasa sedikit terganggu lantaran usiaku yang sudah 40 sedangkan anak keempat baru sahaja menjengah dua tahun, namun kata-kata semangat Mr Hubby sangat positif dan sentiasa menyokongku.

Katanya, Che Ta (Rozita Che Wan) pun bersalin umur lebih 40, tak ada masalah pun. Arwah mak Aishah bersalinkan adik bongsunya, Chaq pun sekitar 41 tahun, maka apabila aku tinjau kembali arwah mak pun bersalinkan aku pada usianya sekitar diriku juga... dan aku dapat bersamanya sehinggalah usiaku 30 tahun apabila mak meninggal dalam umur 70 tahun.

Apabila usia kandunganku memasuki tiga bulan aku berkunjung menemui pakar O&G. Dr Daud bukan asing untukku kerana dialah yang merawatku sejak kandungan keduaku pada 2007, menyambut kelahiran Ameer, Afrina dan juga Ammar. Dia juga ucapkan tahniah atas kehamilan yang aku lalui ini malah katanya usia bukanlah satu masalah kerana yang penting adalah sejarah kesihatan dan penjagaan sepanjang kehamilan ini. Aku sihat, tidak pernah ada masalah kesihatan, baik dari segi kencing manis, darah tinggi atau penyakit kronik lain malahan aku sentiasa aktif sama ada dalam bersukan atau dalam aktiviti seharian.

Usia 40 tahun tidak menghalang seseorang itu untuk menambah cahayamata asalkan tahu menjaga pemakanan untuk kesihatan tubuh badan diri sendiri dan juga bayi. Malangnya Dr Daud tidak dapat meneruskan rawatannya terhadapku lantaran beliau akan bersara. Sudahnya aku perlu menukar pakar O&G yang lain.

Pemeriksaan kedua dengan Dr Asmah Yun, kali pertama aku menemuinya. Aku maklumkan padanya bahawa usiaku 40 tahun. Jawabnya lembut, "so... apa masalahnya umur 40 tahun? Sedangkan Rasulullah pun mengahwini Khadijah yang berusia 40 tahun dan kemudian dapat melahirkan zuriat yang ramai untuk Baginda. Jangan kita terpedaya dengan mitos atau kepercayaan karut yang dicanangkan oleh Yahudi untuk mengurangkan umat Islam, selagi sihat dan tidak mempunyai sejarah kesihatan yang kritikal maka tidak ada masalahnya untuk hamil pada usia melebihi 40 tahun.

Sambil Dr Asmah Yun melakukan pemeriksaan dan scan bayi dalam kandunganku, dia terus bercakap. Dr Asmah Yun menceritakan lagi beberapa kisah isteri para Nabi yang hamil pada usia lanjut, malah ada yang hamil pada usia 70 tahun pun sedangkan pada zaman itu tidak ada sebarang teknologi sebagaimana hari ini yang boleh melihat zuriat di dalam rahim secara nyata, memeriksa denyut nadinya dengan mendengar bunyi jantungnya, raut wajahnya, sifat-sifatnya, melihat keseluruhan rahim dan meninjau perkembangannya saban minggu. Malahan zuriat yang lahir membawa cahaya dan rezeki yang melimpah ruah kepada para Nabi terbabit.

Tuturnya lembut, jangan ada rasa segan atau rasa down dengan kehamilan pada umur 40 tahun. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan selagi mana tidak pernah mempunyai masalah kesihatan lampau atau sejarah kehamilan yang bermasalah. Jangan terpedaya dengan kata-kata mitos orang Barat yang kononnya usia 40 tahun tidak boleh hamil atau banyak bahayanya kerana semuanya Allah yang tentukan. Kita sebagai Islam perlu lebih yakin pada ketentuan Allah SWT.

Maklumnya, bayiku sudah 18 minggu, sihat dan normal. Kedudukan dan perkembangannya juga tidak ada sebarang masalah, jadi tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Aku hanya perlu menjalani rutin harian seperti biasa dan memastikan kesihatan berada di tahap terbaik. InsyaAllah aku dijangka akan bersal;in sekitar pertengahan Januari 2018 nanti.

Pada rakan-rakan sekitarku pula, tidak ramai yang mengetahuinya pada trimester pertama, kerana aku maklumkan pada mereka selepas usia kehamilanku melepasi tiga bulan. Kebanyakkannya seakan tak percaya, termasuklah rakan-rakan di pejabat yang anggap aku sekadar bergurau kerana aku tidak pernah menunjukkan tanda-tanda kehamilan, sama ada muntah-muntah, loya atau pening-pening selain tidak pernah mengambil cuti sakit pun.

Secara logiknya, aku perlu berbangga kerana dalam usia 40 tahun ini aku masih sihat dan dapat menjalani tempoh kehamilan sebagaimana empat anakku terdahulu dan semoga ianya dipermudahkan sehinggalah kelahirannya kelak.. Segalanya atas nama Allah SWT, Allahuakhbar.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers