Friday, 31 March 2017

Doa Orang Tua...


Seorang ibu dan bapa mampu membesarkan sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak tidak mungkin mampu untuk membalas jasa sepenuhnya bagi menjaga seorang tua yang uzur. Sebagai ibu bapa, tentunya apa sahaja kemahuan anak-anak akan cuba untuk ditunaikan namun sebagai anak adakah mungkin menzahirkan impian seorang tua yang semakin uzur?

Sesiapa sahaja yang tidak pernah menjaga orang tua tidak akan boleh memahami kerenah dan keadaan orang tua lantas janganlah mudah berlepas kata atau menuding jari pada anak-anak sekiranya gagal menuruti permintaan orang tua kerana tentunya akan ada kewajaran atas alasan yang diberikan. Anak-anak juga tidak mungkin mahu menghampakan permintaan orang tua namun apa-apa sahaja penolakan tentunya dibuat bersebab.
Hati orang tua, memang mudah terguris dan terasa, apatah lagi dengan keuzuran melanda, kudrat makin tiada, daya lemah usaha dan segalanya hanya menanti yang diberi untuk diterima. Suara tanpa kata, hanya mata menanti anak-anak menjelma. Tentunya, satu persatu anak yang ada dihitung, anak yang dijaga dikenang, juga pada cucu cicit yang berbaris. Bilakan dapat bersua?

Bapak... telah lebih setahun bersamaku. Alhamdulillah, aku bersyukur diberikan kesempatan bersama-sama bapak dalam usia emasnya. Keuzurannya yang pasang surut selari dengan usianya yang semakin lanjut. Dipinta keampunan pada bapak, mohon doakanlah anak-anak bapak agar dipermudahkan perjalanan hidup kerana aku akur doa bapak diangkat ke langit oleh para malaikat. 

Betapa ketuaan bapak semakin terserlah, wajah penuh kedut, rambut penuh memutih, mata jauh terperosok ke dalam, tegak pun sudah semakin bongkok, namun bapak masih mampu berjalan ke depan ke belakang bertemankan urine bag yang setia dalam pimpinan tongkatnya.

Bagaimana untuk dibayangkan, ruang waktu bapak yang sepenuhnya di rumah. Dengan daya yang terbatas, bapak enggan kemana-mana.

Cuba diselami perasaannya... tentunya hati bapak terasa rawan, teman bicara bercanda yang berpuluh tahun bersama telah mendahului sejak lebih sembilan tahun lalu. Arwah mak pergi dalam usianya 70 tahun meninggalkan bapak bersama kami. Anak-anak juga ramai yang dah 'pergi'... anak bapak 13 orang, ada yang meninggal semasa lahir, ada yang pergi semasa kanak-kanak... bukan seorang malah antara aku dan abang Hakim sendiri pun berjarak tiga orang.

Kemudiannya anak-anak bapak yang lain menyusul satu-persatu. Bapak berdepan dengan pemergian tragis arwah abang Daili ketika dalam kemeriahan sambutan menjelang Syawal. Setahun selepas pemergian mak pada 2009, abang Solo pula dijemput Ilahi secara mengejut akibat jantung. Tak sudah dengan itu, bapak mengiringi nafas terakhir abang Cici, menuntunnya dalam kalimah Lailahaillahah hingga mata terpejam rapat dikala Ramadan baru menjengah seminggu.

Allahuakhbar, dalam usia tua bapak, anak-anak pula mendahului. Syahdunya hati dengan keredhaan berdepan dugaan. Janji Allah pasti, jemputan Ilahi tanpa mengira sakit atau sihat, tua atau muda... sampai masa maka kembalilah kita kepada-Nya.

Bapak duduk di sofa ruang tamu, saban pagi menanti aku turun sebelum bekerja. Melihat pemergian aku dan anak-anak yang ke sekolah. Petangnya, meninjau pula kepulanganku, jika lambat akan diintai dari jendela melihat kenderaan di luar yang masih belum ada.

Aduhai bapak... dalam kudrat yang semakin terbatas, pemikiran juga tentunya lebih kepada imbasan lampau sebagaimana penceritaannya berkaitan masa lalu, maka soal kesihatan yang sentiasa aku utamakan dianggap sudah kebiasaan.

Bapak jagalah betul-betul makan, air kena ambil banyak... itu tuturku selalu pada bapak. Setiap makan minum dan ubatan bapak dihidang, sarapan pagi makanan berat dan tiga biji ubat termasuk vitamin b dan ubat cair darah dan air garam. Antara ruang makan tengahari bapak boleh makan biskut atau buah-buahan yang ada tetapi kuantitinya tidak boleh banyak. Makan tengahari sekitar pukul 12.30 dan pukul 1.00 tengahari, nasi putih dan ikan, minum petang dan kemudian makan malam dengan dua biji ubat lain. Kuantiti makanan bapak sederhana, tak boleh banyak sebab kesannya sangat besar. Bapak sentiasa mahukan nasi dan mesti ada ikan.

Memang, aku tak mahu bapak sakit biarpun kesakitan itu amat akrab dengan bapak. Aku tetap mahu bapak sihat walaupun nyata kesihatan yang diidam semakin menyusut.

Kalau bapak terlebih makan, makan tanpa hadam, lambat makan atau apa-apa yang salah berkaitan makan maka bapak akan sakit perut, gastik bapak menyerang lebih parah jika ulser atau luka dalam perut kembali, sakit sangat... hingga boleh menyesakkan dada, bila sakit dada mulalah terasa lelah dan bernafas pun tercungap-cungap, mengah... lesu benar.

Kalau bapak kurang minum air, bapak akan sembelit yang sangat serius... saluran kencing bapak tersumbat dan rawatan hanya di hospital, atau gout bapak kembali menyerang sehinggakan tak mampu nak berjalan, terasa amat bisa, tak pun bapak akan demam.

Mujur juga bapak tak ada kencing manis maka pemakanan lebih mudah tetapi perlu elakkan makanan yang mengundang gout. Lebih mudah kerana bapak amat mesra dengan ubat-ubatan. Bapak sentiasa mahukan ubat, sakit sedikit pun bapak perlukan ubat. Berilah bapak ubat jenis apa sekalipun, bentuk cair atau kapsul, kecil atau besar, pahit atau manis maka bapak akan makan tanpa sebarang bicara.

Sesungguhnya aku ingin terus menjaga bapak. Bapak akan bersama-samaku selagi hayatnya ada jika tidak aku yang menyusul dahulu. Doaku, biarlah aku menjaga bapak hingga kepenghujung usianya, semoga dilimpahi kasih sayang antara kami dan diberikan keredhaan atas apa yang kami lakukan...

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers