Dalam meniti usia dewasa kini, tentunya alam remaja adalah yang terindah apatah lagi bersama para sahabat di alam persekolahan. Sewaktu sekolah menengah, rakan-rakan sekelas menjadi penceria harian, khususnya 5A3. Rasanya aku akrab dengan semua rakan-rakan dalam kelasku, apatah lagi berjawatan ketua tingkatan hasil lantikan dari guru kelas Puan Zabariah. Rakan-rakan pula sentiasa memberi sokongan dan kerjasama.
Tempat dudukku, di depan sekali, tengah, mengadap papan tulis. Tempat favorite guru-guru untuk mengajar, sesekali menjadikan mejaku tempat duduk bersandar sambil mengajar dengan aku di depannya pasrah menadah sekali dua percikan air liur mereka, terpaksa juga menyisihkan diri rapat ke rakan sebelah. Paling suka duduk di situ Puan Fazilah (sejarah) dan cikgu SC Lee (ekonomi yang digelar long bean).
Dengan duduk di depan, sekurang-kurangnya jika aku malas belajar, aku akan dapat ilmu free kerana tumpuan penuh yang terpaksa aku lakukan di dalam kelas. Ini kerana jika duduk di belakang, tentunya aku lalai sebagaimana aku di tingkatan dua dan tingkatan tiga yang memilih duduk di barisan belakang sekali. Lagi-lagi apabila subjek matematik, mujur sungguh duduk di depan mudah faham dengan ajaran cikgu Rokiah. Ada cikgu Norsita (geografi), cikgu Norazah (perdagangan), cikgu Norazuwan (BM), teacher Rohaya (BI) dan ustazah Rahimah.
Aku duduk bersebelah dengan Malini, juga sahabat sejak darjah satu, rumah dekat, naik bas sekolah sama dan saling berkongsi cerita, cuma Malini terlalu dramatis... hehehe. Pengawas yang popular dan akrab dengan kisah cinta yang bersulam rasa... akulah juga pendengarnya.
Di belakangku ada Thana dan Ruku, gadis India yang turut akrab berkongsi budaya masyarakatnya malah merekalah yang sering menjadi rujukanku untuk subjek matematik. Duduk di belakangnya ada Thilages dan Azura yang ayu pendiam. Kemudian team lelaki, Cina dan Melayu.
Sebaris dengan aku ada Lin dan Lily. Lin riuhnya samalah denganku... suara nyaring dengan gelak tawa yang sentiasa mengiringi, sementara Lily lebih banyak diam, orangnya pembersih dan kemas dan di belakangnya duduk Intan dan Kamsiah. Intan ulat buku, gemarkan hal-hal kreatif dan suka membaca sementara Kamsiah yang sentiasa sekelas denganku sejak tingkatan satu agak serius orangnya. Baris belakangnya duduk gadis Sarawak berbangsa Punan, Sedukupa dan berteman Rozita... kemudian gadis Cina, Saw Wai dan siapa yer namanya...
Yati dan Tini duduk di barisan kanan sebelah tingkap. Mereka antara yang terpandai dalam kelasku, tak banyak cakap, senyum selalu tapi mudah menolong. Linda dan Ida di belakang mereka kemudiannya Kamisah, Rozifa, kak Sally, Noraziana dan kak Wan. Geng lelaki duduk barisan tengah belakang, ada Zuhaili, Badrol, Shahrizal, Hairul, Naza, Aziz.
Ada juga pelajar cina, 16 orang rasanya, enam orang pelajar India... semuanya ada 44 orang... (akukan ketua tingkatan, mestilah ingat - entah betul ke tidak?). Geng lelaki Cina siapa yer... Chee Pang, Soon Seng, Kim Yau, Hsien Long... itu yang aku ingat kerana mereka antara nama-nama yang aku kerap tulis dalam buku rekod... (buku yang perlu ditandatangani oleh setiap guru selepas habis mengajar dengan rekod kehadiran pelajar termasuk yang ponteng kelas).
Meriah kelas kami, pernah jadi kelas terbersih dalam tingkatan dan pernah juga dianugerah kelas terkotor... kiranya dapatlah merasa. Aku bukanlah pelajar yang cemerlang namun bukan juga ketinggalan, tak pernah dapat nombor satu tapi tak pernah juga jejak puluh-puluh. Kiranya biasa-biasa sahaja, tambahan pula aku turut aktif dalam lain-lain hal, cuma di dalam kelas aku bukan juga jenis pendiam apatah lagi bila ada geng yang sekepala.
Geng netball, dengan Malini, Lin, kak Sally dan Kamisah. Jadi juga perpustakawan dengan Intan dan Kamsiah... siapa lagi ya... jadi PRS. Tapi waktu rehat aku dan Intan join Rodiah dan Shila di kelas 5A1 sebab Malini, Lin, Lily pengawas. Aku pernah join forum wakil sekolah dengan Lin dan Intan, juga pernah wakil sekolah untuk pidato dengan Hazrian 5A5. Pernah juga merasa dipanggil waktu perhimpunan dan berbaris di hadapan kerana kes ponteng kelas (tanpa sengaja... opsss tak kira!).
Itulah padahnya balik awal lepas ujian lisan maka marahlah cikgu Norazah, sudahnya Malini yang tulis semua nama yang tak ada dalam kelas termasuklah aku, Intan, Linda, serta Lin dan Lily yang bergelar pengawas... malu weiii... mana nak letak muka!
Entah bagaimana juga, aku terjebak dalam geng yang meminati rap... KRU dan 4U2C. Memang itu zaman mereka dan aku turut terpengaruh. Sebenarnya bukan fanatik pun (memang taklah aku nak ngaku sebab aku rock kapak, suka lagu mendayu bersama Malini) jika dibandingkan dengan Linda yang siap bercerpen bagai, puisi, lagu, gambar sebagaimana Intan dan Lily juga. Linda memang pro part menulis tentang kisah adik-beradik KRU. Lagu-lagu mereka pun siap dihafal satu persatu. Lin taklah terlalu taksub kerana dia budak sport, namun kami ada cerita. Terjoin pula untuk fan club 4U2C yang akan berkumpul saban petang Jumaat di Ampang Park. Dapatlah juga bergambar dengan AC, Azam, Adikz, Joe... siapa lagi ya... (tengok... dah kata terjebak so tak hafal pun nama-nama semua).
Aku ada juga bertiusyen di Institut Sal, Jalan Silang. Tiusyen dengan Rodiah 5A1 setiap Selasa dan Khamis, bermula pukul 6-9 malam, tapi rasanya ilmu lebih banyak aku peroleh di sekolah.
Kami berdepan SPM, cikgu bersungguh mengajar tapi masih ada antara kami yang buat tak kisah. Masih ada yang culas, sambil cikgu mengajar boleh makan dalam kelas, ada juga yang tidur atau tak hadir ke sekolah. Namun begitu, ramai juga dari kelas 5A3 yang dapat menyambung pengajian kerana pelajarnya pun pandai-pandai. Antara kami cuma aku yang menyambung ke tingkatan enam bersama Thana dan Ruku. Yang lain memang tak mahu ambil STPM, hanya aku yang selamba... cabaran STPM lagi payah (memang susah pun, tapi nasib baik aku lepas). Lagilah ada yang sambung belajar ke tempat lain, UPM, UiTM dan lain-lain. Ada juga yang pilih untuk terus bekerja dan ada pula yang berkahwin pun.
Selepas peperiksaan SPM ada antara kami yang berkumpul beramai-ramai di Carls Jr Ampang Point. Itu yang terakhir, tak semua pun tapi berbaloi juga. Beberapa kali terjumpa Lin, ada juga keluar dengan Lily dan Intan kemudiannya. Hanya dengan Malini selalu berhubung tetapi taklah sekerap zaman sekolah pun.
Kini, selepas 23 tahun, kami bersama semula dalam group whats app. Meriahnya apabila kami saling bertanya khabar dan bertukar cerita. Tak semua pun, ramai juga yang tak dapat di kesan. Antara kami, sudah banyak perubahan. Ada yang berkerjaya, menjadi profesional, peniaga berjaya malah yang bersuri rumah pun tak duduk diam, dari menjahit hinggalah memasak semua dibuatnya.
Alhamdulillah, jalinan persahabatan terus terpatri bersama imbasan kenangan untuk saling mendoakan. Semoga kita semua terus diberkati-Nya dengan ukhwah berpanjangan.
selepas 23 tahun - Intan, Lin, Lily dan Linda |
2 comments:
About to cry when reading this post Pikah. Flashback to our good old days.. Missing it definitely! We had a good time together. Friends forever till Jannah inshaAllah!
Selamat maju jaya untuk semua rakan-rakan...
Post a Comment