Tuesday, 18 July 2017

Mak... nak ngadu pada mak

Beruntungnya pada mereka yang masih memiliki mak.... Tentunya banyak perkara dikongsi bersama mak. Bagi aku kerinduan teramat pada mak... lagi-lagi apabila aku berdepan kegagalan dalam menyempurnakan amanah yang ada di bahuku. Aduhai mak... biarpun perginya sudah lebih sembilan tahun namun terasa pelukan eratku pada tubuh mak di saat nafas terakhirnya masih ada. Akulah itu, insan terakhir yang memeluk mak, memimpin bacaan syahadah ditelinganya sehingga kemudian bahuku digamit untuk melepaskan pelukan mak.

Hari ini aku berpagian di kuburan mak... bersendirian dengan sepoi angin dan cahaya matahari pagi menyinar. Sayu dan rindu menjadi satu. Menatap batu nisan kaku bertulis nama Hajah Karimah Binti Mashur. Pelbagai perkara menyerbu minda minta diceritakan pada mak... lalu airmataku membasahi pipi...bercucuran laju tanpa henti sedang hati tak tahu bagaimana peritnya.

Sunyi sekeliling melenyapkan aku bersama mak... hanya terdengar sayup bunyi mesin rumput pekerja kuburan jauh di sebelah sana. Sesekali ada kenderaan berlaluan di jalan bersebelahan kuburan mak. Cantik pusara mak, redup dengan pepohon semarak sedangkan bunga-bunga menguningnya bertaburan menghiasi sekitar kuburan mak. 

Surah al-fatihah bersama bacaan Yassin aku kirimkan pada mak di sana... kemudian aku perihal diriku yang alpa, tentang anak-anakku dan kehidupanku terutamanya mengenai bapak. Mak... bapak ada bersamaku kini, aku menjaganya, menangani makan minumnya, menjaga ubat-ubatannya, menghantarnya ke hospital, melayan sikapnya, tingkahnya, permintaannya dan pelbagai lagi mengenai bapak... mak kan tahu macam mana keadaan bapak. 


Memang antara mak dan bapak maka bapak yang kerap sakit. Bapak yang kerap mengaduh itu ini pada mak juga semasa hayatnya. Waktu mak masih ada, bapak pernah diserang strok mujurlah terus dapat rawatan awal dan bapak diusung ke hospital lantas pulih seperti sediakala. Mak pun tahu bapak kerap ke klinik juga, demam sikit bapak ke klinik, bapak tak takut ubat dan tak takut jarum suntikan... tak macam mak... mak tahu semua itu. Mak juga yang selalu picit belakang bapak, selalu layan kerenah bapak, malah mak marah bapak kalau bapak minta anak-anak hantarkan ke klinik sedangkan anak-anak baru saja balik bekerja. Mak suruh biarkan anak-anak masuk, mandi dan makan dahulu kemudian barulah adukan rasa sakitnya... bapak dengar cakap mak.... Mak suruh makan jangan cerewet, jangan memilih dan makanlah apa yang ada... 

Mak pergi mendahului bapak... tentunya bapak terasa dengan ketiadaan mak... sebagaimana aku yang juga mahu mengadu pada mak maka bapak juga tentunya banyak nak cakap pada mak tentang sikap aku yang selalu tak selari dengan kehendak bapak... mak, kadang-kadang tak tahu bagaimana nak menanganinya tapi mahu atau tidak aku yang mesti berdepan dan lakukan sahaja apa yang aku rasakan betul. Aku mahukan kesabaran mak, aku impikan kelembutan kata-kata mak dalam tubuhku malah aku idamkan sifat mak yang sederhana dan tak cerewet, tak banyak cakap dan mudah membantu.

Mak... damailah mak di sana... tenanglah mak... Semoga Allah SWT angkat roh mak untuk bersama-sama mereka yang beriman di sisi-Nya - Al-fatihah.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers