Monday, 23 October 2017

Bapak Berpulang ke Rahmatullah

Hari itu tiba jua... dalam usia lanjut dan keuzuran yang semakin menuntut, akhirnya bapak berpulang jua ke rahmatullah. Sungguh, sejak kebelakangan ini ada-ada sahaja yang tak kena di mata bapak, kesakitan bapak semakin kerap dan akhirnya kembalilah bapak kepangkuan-Nya. Tarikh 21 Oktober 2017 bersamaan 1 Safar 1439H bapak kembali ke sisi-Nya.

Ya, hari itu aku bekerja biarpun hari Sabtu. Ada urusan di pejabat yang menuntut aku bertugas, pulang dalam pukul 4.00 petang dalam lelah lantaran panas menyengat sepanjang pemanduan. Sempat bersua seketika dengan Mr Hubby yang mahu melaksanakan rutin harian di kedai. Kemudian aku merehatkan diri... dan bapak naik ke atas memanggilku, rasa sakit, minta dipanggilkan abang Hakim untuk datang. Aku maklum bahawa abang Hakim sekeluarga akan datang malam ini. Sekali lagi sekitar menghampiri pukul 7.00 petang bapak memanggilku namun aku sedang mandi di bilik air.

Selesai bermaghrib aku menyusur bapak, namun yang aku dapati keadaan bapak yang sudah terpejam rapat... Allahuakhbar. MasyaAllah...Aku panggil-panggil bapak... aku gamit kak Hamda yang baru naik ke atas lantas terus aku hubungi abang Hakim. Abang Hakim baru saja masuk ke kereta untuk datang ke sini, arahnya bawa terus bapa ke hospital dan dia menunggu di sana. Mr Hubby aku hubungi, memang tidaklah untuk aku menunggunya pulang, dia akan terus menyusul ke hospital. Bersama Amira dan kak Hamda kami usung bapak ke kereta, aku memandu sementara Amira menemai bapak dan kak Hamda mengurus anak-anak di rumah.

Usah dikata soal perasaan kerana aku gagal gambarkan apa yang aku rasa. Macam-macam rasa dengan tumpuan terus pada pemanduan... enggan tenggelam dalam keluh resah hinggakan gagal mengawal keadaan. Sambil memandu aku arah Amira hubungi abang Bullah, abang Kamal juga dan minta mereka bersegera ke hospital. Ya, sesampainya aku di hospital mereka semua sudah menanti ketibaanku. Bapak terus diiringi ke zon merah... zon kritikal.

Kemudian, doktor menemuiku, beberapa soalan ditanya berkaitan bapak, ya... doktor telah cuba membantu, memeriksa pernafasan bapak, melakukan CPR juga namun ternyata setakat itulah usia bapak...kembalilah bapak kepada penciptanya.  Innalillahiwainnailahirojiun. Dari Allah dia datang dan kepada-Nya jua kembalinya.

Adik-beradik yang lain dihubungi, juga sanak saudara dan rakan-rakan. Semunya tampil hadir menziarah dan memberikan sokongan moral kepada kami sekeluarga.

Syukur juga, urusan bapak dipermudahkan Ilahi. Dari kematiannya, laporan dan urusan pemandian dilaksanakan dihospital dengan anak-anak bapak kesemuanya ada bersama. Bersih wajah bapak. Selesai kesemuanya jenazah bapak dibawa pulang ke Harmonis, untuk kali yang terakhir dan aku menemani bapak sepanjang perjalanan menaiki van jenazah. Memang janjiku pada bapak dahulu, aku akan menemani bapak hingga ke akhir hayatnya.

Juga urusan pengkebumian berlangsung lancar. Syukur, tempat persemadian bapak sama dengan arwah mak di Tanah Perkuburan Taman Selasih. Biarpun bukan bersebelahan namun masih berdekatan. Pukul 10.00 pagi jenazah keluar dari rumah dan pukul 11.00 pagi semua urusan pengkebumiannya selesai. Alhamdulillah. Terima kasih pada semua yang hadir menziarahi bapak...

Sungguh, dua malam sebelum pemergian bapak aku banyak bersamanya, menemai makan malamnya dan melayani kata-katanya...syukur atas kesempatan yang Allah berikan kepadaku, bapak memilih untuk tinggal bersamaku sekeluarga dan aku dapat menjaga rutinnya. Aduku pada Mr Hubby, kita sudah tidak ada orang tua lagi... "kita ada anak-anak yang jadi amanh kita," jawabnya meruntun jiwa...

Damailah bapak, dalam keredhaan kami sekeluarga mendepani pemergian bapak, semoga segala amalan baik bapak menjadi pendinding di alam sana. Al-fatihah.



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers