Salam Ramadan 1438H. Alhamdulillah dapat kembali bertemu Ramadan tahun ini. Esok seluruh umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa, bulan untuk meraih sebanyak-banyaknya pahala untuk dibawa sebagai bekalan kelak. Semoga sebulan berpuasa ini akan berlangsung dengan penuh keberkatan dan dipermudahkan Ilahi dalam menjalani ibadah.
Satu kelainan dirasai, aku berterawih dengan berimamkan bapak kembali, sebagaimana hari-hari lampau ketika usia kanak-kanak dan remajaku. Alhamdulillah... Bapak mengajak Amira bersama dan disertai aku dengan kami berjemaah di ruang tamu rumah. Perlahan suara bapak mengalunkan bacaan, jauh berbeza dengan 30 tahun yang lalu semasa kami di rumah Ampang, dengan arwah emak serta abang-abang bersama sekali.
Bapak berterawih 20 rakaat, walaupun bacaannya perlahan dan tingkahnya juga sudah tidak secergas dahulu namun bapak tetap bersemangat.
Sebelum ini bapak ada juga melahirkan kebimbangannya untuk menjalani ibadah puasa lantaran keuzuran yang dialami namun alhamdulillah apabila menjelangnya Ramadan bapak nampak sihat dan bersemangat.
Sambil aku menghayati alunan bacaan dari suara perlahan bapak, terimbas kenangan lampau di ruang tamu rumah kami saban Ramadan. Berjemaah sedemikian adalah kelaziman dalam keluarga kami malah sesekali ada juga jiran-jiran yang bertandang dan turut serta menjadi makmum. Seringkali aku duduk di sisi emak. Kini, sudah sembilan tahun arwah mak kembali ke rahmatullah, namun ada Amira di sisiku yang bersama-sama mendengar alunan suara bapak.
Alhamdulillah... semoga Ramadan ini membawa sinar yang cemerlang untuk keluargaku.
No comments:
Post a Comment