Tuesday, 31 December 2013

Menjelang Tahun Baru 2014

Apakah perkara utama apabila menjelang tahun baru? Keadaan tentunya berbeza, dari usia kanak-kanak, remaja dan alam rumah tangga. Bagi diriku yang sudah mempunyai anak-anak maka tentunya alam persekolahan mereka menjadi keutamaan. Persediaan untuk sesi persekolahan baru adalah satu kemestian. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Dikongsi bersama Mr. Hubby untuk melakukan yang terbaik kepada anak-anak. Namun barangkali benar, wanita terlalu cerewet... sedangkan kaum Adam lebih santai dan bersahaja walhal banyak perkara yang masih belum selesai....

Sunday, 22 December 2013

Percutian ke Krabi - Hatyai & Phuket

Perancangan bercuti menjadi agenda penting Disember ini. Seperti biasa, apabila pulang ke kampung Mr. Hubby di Utara maka pasti ada rancangan untuk bercuti. Segalanya berlangsung lancar. Mr Hubby yang menguruskan perancangan bersama-sama kawan-kawannya. Konvoi bersama lima buah kereta untuk ke Krabi. Katanya, percutian inilah hadiah sempena 10 tahun ulang tahun perkahwinan kami. Seusai subuh, kami berkumpul dan berkonvoi ke Bukit Kayu Hitam. Awal pagi bertolak tapi banyak kenderaan yang berderetan di imegresen menuju ke sempadan.

Thursday, 12 December 2013

Sedekad Berlalu...

Genap 10 tahun, suatu waktu yang bukan sekejap... Melalui kehidupan dalam satu perkongsian, sepanjang sedekad bersama-sama. Dalam kedukaan, dalam kepahitan, dalam penderitaan... apabila berjaya melaluinya maka itulah kemanisan, kegembiraan dan kebahagiaan. Kepercayaan yang diberikan adalah satu pengiktirafan terindah buat seorang isteri juga kepada Sang Suami. Memberi dan menerima, tanpa ada salah sangka, apatah lagi untuk mengharapkan yang sempurna kerana akur bahawa inilah pasangan terbaik dari Ilahi. Alhamdulillah.

Saturday, 30 November 2013

Selamat Pengantin Baru Pudin...

Majlis perkahwinan anak tunggal lelaki kakak berlangsung juga di Gombak. Selepas bertanggung kerana kakak dan abang menegerjakan haji, akhirnya ia berlangsung dengan lancar. Majlis ini ibarat mengumpulkan sanak-saudara, dekat dan jauh yang kemudiannya bersama-sama meraikan raja sehari. Dalam kesibukan dengan kerja sebagaimana hujung tahun yang sememangnya amat padat, aku masih berkesempatan mencuri masa untuk bersama-sama dalam majlis ini. Namun, Mr. Hubby dan Nina tak sihat. Kasihan mereka, ketika majlis belum tamat terpaksa pulang ke rumah untuk berehat.

Thursday, 28 November 2013

Adik Pun Demam

Memang kebiasaan...selalunya demam akan berantai antara adik beradik dan kemudian Mr Hubby. Selepas Ameer, Nina pula ambil tempat. Kasihan dia, mukanya merah, badan panas dan asyik merengek. Cuma bezanya kali dia nak berkepit dengan abah saja...selamat mama tapi kasihan pada abah yang juga tidak sihat. Inilah penangan darah sama antara abah dan anak-anak. Tak ada seorang pun yang ikut dadah mama, maknanya baka abah terlebih pada anak-anak sehinggakan bengkal tonsil pun diwarisi mereka juga. Dalam aku bergelumang kesibukan yang menuntut pelbagai perhatian di pejabat bagi berdepan persidangan besar, maka keluarga juga mohon perhatian. Kasihan anak-anak yang tidak sihat namun sykur kerana ragam mereka tidaklah keterlaluan.

Monday, 25 November 2013

Tonsil...Abang janji tak nakal lagi...

Ameer demam. Kali pertama demam teruk sejak bertahun-tahun... tak ingat kali terakhir Ameer demam. Bila ke klinik buat pemeriksaan rupanya ada tonsil yang membengkak. Kasihan dia...panas badannya, merah mukanya, matanya berair. Tapi masih ada celotehnya... Kali pertama Ameer diserang tonsil walhal sebelum ini hanya Amira yang selalu mendapat tonsil. Aku pujuk Ameer minum air masak banyak-banyak, makan aiskrim vanila, makan ubat dan makan nasi juga. Seleranya patah... tak macam selalu namun memujuknya tidak susah. Semakin lewat malam maka semakin tinggi pula panas Ameer. Cool fever seakan tak jalan... aku  pujuk dia untuk kerap minum air masak.

Sunday, 17 November 2013

Ameer Graduation & Concert 2013

Hari ini konsert dan gaduasi Smart Reader Kids Puncak Jalil. Hari yang ditunggu-tunggu oleh Amer. Saban waktu dia menghitung hari menantikan tarikh konsertnya. Kali ini tempatnya di Cyberjaya pula. Namun Ameer langsung tak ceria. Tiada segaris senyum pun tergambar di wajahnya. Memang sejak malam tadi Ameer sudah tidak sihat. Badannya panas sedikit tapi tidak melarat. Seawal pagi dia bangun dari tur tanpa dikejutkan, semua orang di dalam rumah dikejutnya agar tidak lewat untuk ke konsertnya. Tetapi kemudian Ameer nampak lemah, dirinya lesu... enggan menjamah sarapan namun setelah dipujuk ada juga dua tiga suap masuk ke mulutnya. Sebelum itu dia telah muntah tiga kali...tidak banyak. Tapi Ameer berkeras juga mahu ke konsertnya. Aku memahami situasinya. Mr. Hubby pada awalnya berkeras juga mahu membatalkan hasrat untuk meneruskan perancangan pagi ini namun melihat semangat Ameer maka kami pergi juga. Ameer tak muntah-muntah lagi tapi tidak aktif. Dia yakin untuk buat persembahan. Maklumlah... berhari-hari telah berlatih, berhari-hari juga dihitung menjelang hari tersebut maka inilah masanya. Inilah Ameer yang keletah tapi menjadi kental hari ini. Walaupun tanpa senyuman tapi masih berjaya laksanakan persembahan dengan jayanya. Nina kata Ameer anak abah... tapi Ameer juga anak mama...

Thursday, 14 November 2013

Mengharap Terbaik Bermula Dari Diri Sendiri

Apa yang kita harapkan dari sekeliling kita? Pada keluarga, pada sahabat handai, pada rakan-rakan dan keseluruahnnya untuk orang di sekeliling. Tentunya yang terbaik menjadi harapan, perlukan layanan yang positif, kata-kata yang mesra dan wajah yang manis namun sesungguhnya ia perlu dimulakan oleh diri sendiri. Melakukan perubahan, melaksanakan impian dan mahukan kejayaan. Bukan semudah berkata tetapi perlu ada tindakan untuk mendapat kesudahan yang diinginkan. Apa jua yang diharapkan pada orang lain perlulah dimulakan dengan keupayaan diri sendiri. Inginkan kesempurnaan pada keluarga tetapi terlupa kesempurnaan pada diri sendiri tidak dilaksana. Memang, kesempurnaan itu tidak akan dapat diperoleh tetapi sekurang-kurangnya kita berupaya untuk menambahbaik dan mengurangi kelompongan yang ada. Berusaha untuk menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.

Wednesday, 6 November 2013

Ke Bukit Merah Lake Town Resort

Selepas PRK Sungai Limau, bermalam di Alor Setar bertemu pak mertua yang semakin lanjut usianya. Kemudian kami ke Bukit Merah Lake Town Resort. Sememangnya sudah lama merancang untuk ke pusat peranginan ini namun acapkali percituan dirancang maka tentunya tempat ini sudah penuh ditempah. Kebetulan, perancangan dibuat dipertengahan minggu dan orang pun tak ramai yang bercuti. Kami sampai sekitar pukul 4.00 petang, dan selepas urusan check-in terus menuju ke Eco Park. Macam-macam haiwan ada di dalamnya dengan keterujaan anak-anak menikmati kehijauan alam sekitar.

Tuesday, 5 November 2013

Salam Maal Hijrah 1435H

1 Muharam detik permulaan... tahun baru hijrah yang disambut bersama keluarga di Kedah. Alhamdulillah. Satu permulaan yang baik bagi merencana masa hadapan. Semoga apa yang tersirat dalam fikiran akan dapat disuratkan menjadi realiti kelak, impian bersama keluarga adalah keutamaan dan perancangan sejak bertahun lalu semakin membayang di depan mata. Semoga Allah SWT memperkenan impian kami sekeluarga...

Sunday, 3 November 2013

Sungai Limau...

Esok, genap dua minggu berkampung di Sungai Limau... Dewan Undangan Negeri yang berdepan dengan pilihan raya kecil lantaran kematian penyandangnya, allahyarham Tan Sri Azizan. Tugasan tergalas diterima dengan senang hati apatah lagi Mr. Hubby turut teruja lantaran diakhir tugasan beliau dan anak-anak akan menyusul aku ke negeri kelahirannya. Sungai Limau, nama yang bukan asing bagi aku. Menyebut nama kampung ini maka akan terimbas kenangan wawancara dengan allahyarham seniman, Datuk Ibrahim Hussein yang tersohor dengan karya seninya. Lukisan beliau merentas seantero dunia. Juga abang-abangnya yang turut terbilang melalui karya mereka, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein - aku pernah berguru ilmu penulisan dengan beliau di UM - dan Budayawan Prof. Tan Sri Ismail Hussein yang kesemuanya dilahirkan di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah.

Friday, 1 November 2013

Entah...

Entah... apa perasaan yang ada dalam diri. Adakalanya terlalu mudah dan seakan sentiasa memahami namun ada masa pula terlalu ikut emosi, mudah tersentuh dan marah-marah. Hati... tentunya mahukan yang terbaik, luhur dan ikhlas dalam melaksanakan apa sahaja termasuklah amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Memang... mencari keikhlasan bukan mudah. Belajar memahami bukan senang, juga untuk meletakkan diri dalam keadaan yang terbaik dengan kesesuaian suasana sekeliling juga adalah suatu kepayahan.

Sesungguhnya, aku bermohon pada-Mu Ilahi. Permudahkan segala urusan, huraikan kekusutan, hindarkan kegelapan, dan jadikanlah diri ini tetap teguh dengan kesetiaan, cekal untuk terus berusaha dengan segala impian menjadi matlamat utama. Tanpa-Mu, tiada upaya diri ini untuk melaksanakan tanggungjawab tergalas, keutamaan sebagai isteri, selaku ibu kepada anak-anak yang sempurna, menjadi wanita berkerjaya dengan tugasan tergalas... hanya pada-Mu Ya Ilahi. Allahu Akhbar...

Thursday, 17 October 2013

Menu Kulit Lembu

Hari Raya Korban maka sembelihan lembu dilaksana. Sebelum ini aku hanya mendengar menu kulit lembu namun kali ini berkesempatan melihat sendiri proses pembersihan. Abang Bullah memang gemar dengan makanan eksotik malah saban tahun ada saja yang dibuatnya. Berkunjung ke rumahnya tahun lalu abang Bullah sibuk dengan kaki lembu dan kali ini sibuk pula dengan kulit lembu. Pernah juga dengan perut lembu dan entah apa-apa lagi. Memang sedari kecil abang Bullah tidak cerewet tentang makanan, apa sahaja terhidang dia akan makan. Jauh berbeza jika dibanding dengan abang Hakim yang sedari kecil amat memilih soal ikan dan dewasanya langsung tak makan ikan pula. Aku... belasah saja apa yang ada.

Wednesday, 16 October 2013

Aidiladha 1434H

Hari Raya Korban...tiada apa yang istimewa untuk diraikan tahun ini. Kamu sekeluarga pulang ke Gombak selepas perancangan untuk balik kampung terbatal lantaran aku tidak ada cuti. Kasihan Mr. Hubby yang tentunya syahdu kerana tidak dapat berkumpul bersama adik-beradiknya yang menyambut korban di rumah sebagaimana tahun yang lalu. Kebetulannya Mr. Hubby dan aku sendiri turut sama berkorban, namun pengorbanan Mr Hubby yang memahami kerjaya aku lebih bererti. Sokongan dan dorongan yang tidak pernah padam. Sememangnya, bagi seorang isteri yang berkerja, restu dan keredhaan suami akan memudahkan lagi urusan dalam kehidupanku seharian. Aku melalui hari-hari tanpa rasa resah dan gelisah hanya kerana aku akur bahawa Mr Hubby sentiasa di sisiku.

Cuti hari raya haji aku habiskan dengan bermalas-malasan di hadapan tv sedang anak-anak mengikut abang Hakim ke surau. Di sebelah petangnya barulah kami ke Padang Balang berkunjung ke rumah mamang Dollah dan kemudian ke Ampang sebelum pulang ke rumah. Cukuplah untuk Aidiladha ini kerana aku perlu terus bekerja.

Wednesday, 2 October 2013

Labbaikallahumma Labbaik...

 Alhamdulillah. Kegembiraan berganda-ganda mengiringi perjalanan suci kakak Yeye ke tanah suci Mekah. Sekian lama menanti akhirnya berpenghujung apabila khabar gembira dimaklumkan kepadaku. Sememangnya, aku teruja untuk bersama-sama mengahantar kakak dan abang ke Kompleks Tabung Haji. Tugasan di pejabat aku langsaikan dengan segera dan bersama Mr. Hubby kami berkumpul mengiringi perjalanan kakak dan abang.

Sunday, 22 September 2013

Sematkan Patriotisme Di Hari ATM ke-80

Sememangnya apabila ada pemeran melibatkan anggota keselamatan, aku yang lebih teruja untuk membawa anak-anak mendekatinya. Apatah lagi, Ameer dan Nina sangat suka dengan badan beruniform sehinggakan acapkali cita-cita yang diluah adalah membabitkan polis dan bomba. Aku tidak kisah... apa sahaja cita-cita anak-anakku akan aku sokong, dengan cita-cita terbabit mereka akan menyemai sifat patriotik dalam jiwa dan memahami tanggungjawab kepada bangsa dan negara. 

Tuesday, 17 September 2013

Rumah Raksasa dan Dinosaur di Marina Putrajaya

 Aku tertarik dengan iklan Pameran Rumah Raksasa dan Dinosaur di Putrajaya lantas kunjungan bersama keluarga dibuat pada cuti Hari Malaysia 16 September 2013. Pameran ini telah bermula sejak 31 Ogos lalu dan akan berakhir pada 28 Februari 2014 dengan mendedahkan kepada orang ramai mengenai pendidikan prasejarah dan saintifik.

Monday, 16 September 2013

Wanita: Kisah dan Tauladan

Telah lama niat untuk dikongsi kisah para wanita di sekelilingku yang mempunyai kisah hidup memeritkan, kecewa dan derita namun hidup tetap diteruskan. Bagi mereka, hidup adalah satu perjuangan... dan kekuatan utama adalah anak-anak yang menjadi azimat. Berat mata memandang manakan sama dengan berat baru yang memikul. Dalam kepayahan melalui liku-liku kehidupan, keluhan tidak pernah diluah, airmata jarang sekali dihambur malah di bibir tetap senyuman yang tersulam. Sebagai wanita, sebagai isteri dan sebagai ibu.... sungguh aku amat terharu melihat penderitaan para wanita ini. Dalam kehidupanku sendiri, aku merasa syukur atas limpahan kurnia-Nya padaku. Aku insaf, barangkali nikmat kesenangan yang dilimpahkan padaku perlu dikongsi dengan mereka... aku perlu bersama-sama mereka, memberi sokongan dan menghulur pertolongan agar beban tergalas mampu jua dibantu serba sedikit. Mohon pada-Mu Ilahi, kuatkanlah iman para wanita ini dan tabahkan hati mereka atas segala ujian yang diberi....

Wednesday, 11 September 2013

Gold Coast Morib - Kami Datang...

Kerapkali percutian dibuat tanpa perancangan rapi dan kemudiannya itulah yang menjadi realiti. Sememangnya, perancangan untuk ke taman tema Gold Coast Morib telah lama dibuat, malah tempahan terbuka untuk tiga bilik telah dilakukan sejak awal Januari lalu namun asyik tertangguh. Memang pasti pergi tetapi tak tahu bila. Dari keterujaan anak-anak dan kemudiannya tenggelam lantaran terlalu lama janji tidak ditepati maka ia menjadi realiti dikala para pelajar darjah enam berdepan UPSR. Bercuti bukan dihujung minggu memang berbeza, suasana sunyi...nyaman dan tidak ramai pengunjung. Riuh-rendah hanya suara kami sekeluarga.

Saturday, 31 August 2013

Lipatan Kenangan Aidilfitri

Semakin bertambah usia, terasa pelbagai kenangan lalu amat berharga. Setiap detik terasa mahu diulit satu persatu. Indah-indah belaka. Dari alam kanak-kanak, usia remaja dan meniti dewasa hinggalah ke alam rumahtangga dan dunia kerjaya. Kesemuanya mempunyai nilai yang amat tinggi. Setiap saat adalah memori yang bermain difikiran. Tatapan pada foto yang ada tidak cukup untuk melepaskan kerinduan kerana setiap saat, ada sahaja peristiwanya yang tetap segar diingatan.

Tuesday, 27 August 2013

Silaturrahim Aidilfitri

Indahnya apabila Aidilfitri diaplikasi dalam suasana kekeluargaan, diterjemah dengan semangat kerjasama dan saling bantu membantu dengan satu tujuan, meraikan tetamu, mempererat silaturrahim dan memperkukuh ukhwah bersama. Dalam kelansungan suasana kerja yang tidak pernah bernoktah, sememangnya apabila ada sesekali pengisian bersifat kerohanian maka tentunya ia memberi manfaat yang cukup bermakna.

Monday, 26 August 2013

Makan-makan Hari Raya

Ramai yang sibuk dengan rumah terbuka Aidilfitri. Aku cuba memenuhi undangan namun tidak semua yang dapat dihadiri kerana mendahulukan yang lebih utama - sanak saudara dan ahli keluarga sendiri. Ramai juga yang menyampaikan hajat untuk bertandang ke rumah, nak berhari raya di Puncak Jalil pula. Antara kata mereka, kononnya rumah aku jauh. Ini kerana ramai adik-beradik dan keluargaku yang bertumpu di Gombak saja. Setelah berbincang dengan Mr. Hubby maka kami pilih hari Ahad, 25 Ogos sebagai tarikh untuk makan-makan hari raya. Bukan rumah terbuka kerana aku tidak buka jemputan kepada semua kenalan, malah rakan-rakan Mr. Hubby pun langsung tak diberi maklum.

Tuesday, 13 August 2013

Duka dan Ceria Syawal 1434

Selepas melalui Ramadan yang terasa terlalu pantas, Syawal menjelma dengan pelbagai suka duka terisi. Ada macam-macam cerita dan tentunya Aidilfitri ini amat berbeza dengan tahun-tahun yang lalu. Pertamanya, perancangan untuk berbaju raya sedondon tidak berlangsung lancar. Puncanya baju raya tak siap. Cuba memahami namun masih ada sekelumit rasa terkilan. Tema yang dipilih tahun ini ialah ungu. Baju aku tak siap, begitu juga baju bapak tapi mujurlah baju Melayu Mr. Hubby dan anak-anak dilunaskan. Penyelesaiannya aku berbaju raya dengan pakaian yang dibeli pada malam raya di Jalan TAR. 

Friday, 2 August 2013

Khabar Gembira Ramadan

Allahuakhbar. Syukur pada-Mu Ilahi.
Indahnya rahmat-Mu apabila menyiramiku satu persatu.
Hari Jumaat terakhir dalam Ramadan ini, terasa amat syahdu.
Terasa sebak di kalbu tatkala menerima khabar gembira, satu persatu singgah yang amat menceriakan.

Sunday, 28 July 2013

Iftar di Kinrara Golf Club

Terasa Ramadan kali ini amat singkat. Ruang bersama keluarga juga amat terhad. Memasuki fasa terakhir Ramadan dengan hari ini adalah hari ke-19 Ramadan. Inilah hasilnya setelah 15 hari berpuasa di Kuala Besut, maka baki yang tinggal terasa pantas berlalu untuk dimanfaatkan bersama keluarga. Alhamdulillah, semalam dapat juga berbuka puasa dan bersahur bersama-sama bapak dan keluarga di Gombak. Kemudiannya aku dan Mr. Hubby mencari ruang menunaikan janji pada Amira yang menuntut untuk berbuka puasa diluar. Katanya, tema 1Malaysia, Janji Ditepati, jadi setiap apa yang dijanjikan perlulah ditunaikan.

Monday, 22 July 2013

Ramadan di Perantauan, Kuala Besut

Bermula 2 Ramadan hinggalah memasuki pertengahan bulan mulia ini, aku terpaksa bertugas di Terengganu. Sememangnya satu negeri yang asing bagi aku malah kali terakhir aku ke sini rasanya ketika masih zaman persekolahan lagi. Terasa syahdu untuk berada di luar Ibu Kota, berjauhan dengan keluarga apatah lagi dalam bulan Ramadan. Untuk meninggalkan anak-anak pelbagai persoalan yang dilontarkan mereka sebelum aku ke luar bandar. Aku akui, Mr. Hubby mampu menguruskan anak-anak dengan baik apatah lagi kak Hamdah juga ada bersama.

Monday, 8 July 2013

Musim Buah di Kampung

Balik kampung. Anak-anak amat teruja apatah lagi Mr. Hubby. Sememangnya siapa yang tidak akan rasa seronok apabila kembali ke kampung halaman bertemu dengan ayahanda dan sanak-saudara. Aku memahami hasrat Mr. Hubby yang secara tidak langsung aku juga gembira sebagaimana istilah 'balik kampung'. Sebelum Ramadan bermula maka ada baiknya berkunjung bertemu dengan orang tua dan sanak saudara selain bersama-sama meluangkan masa yang ada, memohon restu saudara untuk kesejahteraan bersama.

Tuesday, 2 July 2013

Usia 36 Tahun

Apa yang lebih penting dalam kehidupan selain anugerah kesihatan dan kesejahteraan sepanjang usia 36 tahun ini. Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan kepada-Nya atas segala rahmat yang ada. Pengisian usia matang ini sememangnya amat penting dengan kewarasan fikiran melalui pelbagai cabaran hidup. Jika ada rasa getir dan payah berdepan dugaan maka ianya menjadi mudah dengan sokongan Mr. Hubby, keluarga dan rakan-rakan yang sangat memahami.

Monday, 1 July 2013

Hari Sukan Ameer

Tempat: Kompleks Sukan Rakan Muda, Puchong
Tarikh: 30 Jun 2013
Masa: 8.30 - 11.30 am


Amarah...

Rasa di hati...payah diluah dengan kata-kata. Jika kita bergantung pada keputusan insan lain, ada aturan yang perlu diturut dan ada kesakitan yang tertutup. Diluah pun hanya tanpa kata, perbuatan tanpa ikhlas, melangkah dalam paksa dan hati gundah jadinya.  

Apa yang mampu dilakukan andainya laluan tiada lagi terlihat. Enggan dalam paksa meluah rasa tanpa kata. Dalam sendu cuba mencermin diri sendiri, muhasabah keadaan diri. Melihat dalam kekurangan tanpa alpa pada keamanan. Rasa angkuh diketepikan. Ego tiada lagi, istigfar atas kelalaian. Allahuakhbar. Indahnya kurnia-Mu Ya Allah. Amarah terlahir lantaran lupa pada nikmat-Mu. Selama ini telah terlalu banyak kurnia-Mu namun seringkali kesempurnaan dimahukan biarpun lumrah manusia tiada yang abadi. 

Sunday, 30 June 2013

Festival Floria Putrajaya 2013

Seakan menjadi acara rutin saban tahun, pastinya kami tidak ketinggalan berkunjung ke Festival Floria Putrajaya 2013. Bezanya kali ini Angah tidak bersama sebaliknya Ijan yang mengganti tempatnya. Indah. Putrajaya dihias bunga-bunga pelbagai warna dan tema kali ini adalah adalah bunga orkid. Acaranya panjang dari pukul 10 pagi hinggalah ke malam. Malam ternyata ada acara menarik dengan perarakan bot berhias menyusur tasik Putrajaya. Kemudian, acara kemuncaknya adalah pertunjukan bunga api pelbagai warna. Wow! sangat menarik....

Saturday, 29 June 2013

Tilawah Al-quran Peringkat Antarabangsa ke-55

Hari ini perasmian Majlis Tilawah Al-quran peringkat antarabangsa yang berlangsung di PWTC. Sememangnya dah lama teringin untuk berada dalam dewan dan menyaksikan sendiri tilawah al-quran. Dengan izin Mr. Hubby yang tidak dapat bersama, aku bawa anak-anak ke Dewan Merdeka, PWTC. Alhamdulillah anak-anak sangat teruja dengan suasana yang ada. Amira terutamanya yang sudah bijak membuat penilaian. Petah mulut anak-anak bertanya itu dan ini sedang aku juga turut rasa terhibur.

Wednesday, 26 June 2013

Jerebu Di Ibu Kota

Kuala Lumpur dilanda Jerebu. Terhasil daripada pembakaran ladang-ladang besar di Indonesia. Dua minggu lalu Singapura yang dilanda jerebu, kemudiannya membawa ke Johor sehinggakan mencapai tahap sangat membahayakan. Sudahnya Muar dan Ledang diisytihar darurat apabila tahap IPU mencecah tahap bacaan 750. Jerebu yang teruk kemudian berterusan ke Melaka, Negeri Sembilan dan ke kawasan Ibu Kota.

Sunday, 16 June 2013

Hari Bapa


Ahad, 16 Jun adalah sambutan hari bapa. Pastinya anak-anak yang teruja untuk meraikannya dan Ameer sendiri sepulangnya dari Smart Reader Kids Jumaat lalu telah menyediakan sekeping kad untuk hari bapa. Amira lebih teruja dan memohon agar diberikan sesuatu untuk Mr. Hubby sempena hari bapa. Sudahnya, sekeping kad kecil dan magnet untuk bapa dimuatkan dalam kotak kecil saja. Memadai untuk anak-anakku meraikannya bersama Mr. Hubby dan melafazkan kata-kata 'selamat hari bapa'.

Saturday, 15 June 2013

Kelas Kreatif Anak-anak

Hujung minggu adalah masa bersama anak-anak. Dalam mencari idea sebagai aktiviti anak-anak kami berkunjung ke Jaya Jusco, Taman Equine. Antara tujuannya adalah membeli barang keperluan yang secara kebetulan ada aktiviti mengecat barangan cenderamata khususnya kepada pelanggan Jusco. Ia digunakan sepenuhnya dengan memberi ruang kepada Amira dan Ameer berkarya. Kebetulannya Nina tidak ikut bersama kerana tidur semasa kami keluar rumah.

Friday, 7 June 2013

Singapura - Perjalanan dan Jalinan Ukhwah

Sepanjang usia perkahwinan selama hampir 10 tahun malah semenjak aku berkerjaya, ini adalah kali pertama buatku melayan impian dan menyusur akar mencari punca ikatan yang ada. Alhamdulillah Mr. Hubby memahami hasratku dan bersama-sama menyokong perjalanan menjejak akar umbi ini. Sememangnya banyak yang bertunas difikiran tetapi ini adalah satu permulaan kerana masih ramai saudaraku yang masih aku belum kenali. Bagi anak-anakku ini adalah percutian tapi bagiku ini adalah pencarian. Sebagai anak bongsu dikalangan adik beradik yang ramai maka tentunya aku hanya mendengar banyak cerita berbanding merasai sendiri apa yang pernah diperkatakan. 

Singapura VI - Ke Kota Batam


Ke Kota Batam, dari Singapura. Tujuan utama ke sana adalah untuk mencari mamang Awwab serta bertemu sanak saudara. Mamang Awwab satu-satunya adik arwah mak yang masih ada. Dengan mamang Awwab kerap juga bertemu kerana mamang Awwab selalu ke KL. Biasanya ketika ada keraian maka tentu saja mamang Awwab ada termasuklah ketika aku berkahwin 10 tahun lalu, malah ketika arwah mak sakit-sakit dan ketika kritikal hinggalah penghujung nyawanya, mamang Awwab ada bersama cuma dengan anak-anaknya aku tak biasa lagi. 

Singapura V - Universal Studio

Bukan hanya anak-anak kecil yang akan teruja untuk berkunjung ke Universal Studio Singapura tetapi golongan dewasa tentunya juga ghairah. Aku dan Mr. Hubby juga teruja dengan perancangan ini. Yayan temani kami bersama cucu kecil kami Zara. Thanks to Yayan, sanggup ambil cuti semata-mata untuk bersama kami. Perancangan awal Angah ikut serta tetapi kerana ada perkara yang tidak dapat dielakkan dan kami memahaminya. Tiket yang telah ditempah awal perlu ada penggantinya dan Yayan bersama kami. Sambil itu boleh juga Yayan jadi pemandu pelancong kami kerana kami ke USS dengan pengangkutan awam sahaja.

Singapura IV - Esplanade Park

Selama ke Singapura tidak pernah menjejakkan kaki ke Esplanade Park biarpun ia adalah kawasan tumpuan pelancong. Dalam waktu yang padat kami cuba mencuri masa ke sini. Tujuan utama untuk menikmati suasana malam yang penuh warna-warni dengan limpahan lampu pelbagai warnan selain berkunjung ke Merlion yang menjadi lambang kebangsaan Singapura atau 'Singa keluar air', kata Ameer.

Thursday, 6 June 2013

Singapura III - Menjejak Saudara


Antara tujuan bercuti di Singapura adalah untuk menziarahi orang-orang tua yang amat akrab dengan arwah mak. Selain itu dapat juga bertemu anak-anak saudara yang kesemuanya telah berkerjaya dan tiga antaranya telah mempunyai keluarga sendiri. Dengan berkampung di rumah Nani, kesemuanya dapat berkumpul bersama. Kak Intama yang amat 'sporting' dan 'caring' sentiasa ada memberi 'nasihat' bagi memastikan perancangan dan perjalanan menjejak kasih ini berlangsung lancar. Sebelum memulakan perjalanan kami singgah di Ang Mo Kio, rumah kak Intama. Hafiz dan Mahirah ada bersama.

Singapura II - Berkunjung ke Pusara Abang Solo

Hari pertama di Singapura, terus pada tujuan asal iaitu menziarah pusara arwah abang Solo di Pusara Abadi Lim Chu Kang Cemetery. Dengan ditemani Yayan, Hafiz dan Mahirah kami berkunjung ke pusara arwah abang. Pusaranya, rapi, ditaburi bebunga menguning. Anak-anaknya yang seramai lima orang sentiasa menziarahi pusara arwah abang Solo.

Sunday, 2 June 2013

Singapura I - Perjalanan

Perancangan untuk bercuti ke Singpura lancar, cuma bezanya kali ini kami ke Kota Singa dengan berkereta sendiri. Inilah pengalaman pertama .  Turut serta dalam percutian ini abang Kamal bersama Lia. Kami bertolak dari rumah sekitar pukul 8.30 pagi, ke Gombak dahulu dan kemudian meneruskan perjalanan ke Selatan tanah air. Alahaiii..jem la pulak. Kebetulan cuti sempena hari keputeraan DYMM Agung. Dari Sungai Besi hinggalah ke Senawang jalan amat sesak dan kemudiannya menuju ke Batu Pahat.

Saturday, 25 May 2013

Ke Pameran Uniform, Festival Belia


Cuti sempena hari wesak, aku bersama anak-anak berkunjung ke Putrajaya sempena Festival Belia Putrajaya 2013. Tiada dalam perancangan tetapi Angah ingin memulangkan kad pelancongan kepada rakannya memandangkan dia sudah tidak lagi bekerja di kementerian terbabit. Lantas akau membawa bersama anak-anak menemai Angah dan kemudian berkunjung ke Festival ini. Biarpun ini kali kedua festival tersebut berlangsung tetapi ini kali pertama aku datang ke sini.

Tuesday, 21 May 2013

Kerjaya: Antara Penilaian dan Penghargaan

Memang adat bekerja, kesibukan akan terus dirasai namun aku sendiri gagal mengerti sifat sesetengah individu yang enggan menghargai amanah yang ada. Aku sedar bahawa tidak semua insan mempunyai perasaan yang sama, bak kata seorang teman kepadaku ' rambut sama hitam tapi hati lain-lain'. Jika dari sudut politik, semua kerja mahukan imbuhan, impikan balasan, inginkan penghargaan dalam bentuk yang zahir, malah bersifat meterial yang dianggap boleh memberi kelapangan hati. Benarkah?

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers