Alhamdulillah. Kegembiraan berganda-ganda mengiringi perjalanan suci kakak Yeye ke tanah suci Mekah. Sekian lama menanti akhirnya berpenghujung apabila khabar gembira dimaklumkan kepadaku. Sememangnya, aku teruja untuk bersama-sama mengahantar kakak dan abang ke Kompleks Tabung Haji. Tugasan di pejabat aku langsaikan dengan segera dan bersama Mr. Hubby kami berkumpul mengiringi perjalanan kakak dan abang.
Jika diimbas semula, antara aku dan kakak terlalu jauh jarak usia kami. Lebih 24 tahun malah anak-anaknya juga lebih tua dari aku namun aku akui bahawa kakak banyak berkorban untuk kami adik-beradik, terutamanya pada hayat mak dan ketika aku masih kecil malah menjadi pencetus kepada keberadaan kami di bumi bertuah ini. Semoga Allah SWT sahaja yang membalasnya.
Bagi aku, kakak adalah pengganti kepada arwah emak. Setelah arwah emak pergi maka kakaklah wanita yang tua yang aku ada untuk dijadikan rujukan apatah lagi usia kakak juga sudah semakin lanjut. Antara aku dan kakak sememangnya terlalu banyak perbezaan jika mahu diukur, kakak bijak, orangnya cermat dan teliti, sifatnya lembut dan tuturnya juga penuh dengan santun berbanding aku yang lebih banyak bersikap semberono sahaja. Namun kakak seorang yang cepat terasa, jiwanya halus dan penuh dengan seni tetapi sering sahaja bersikap alah dan tidak pernah berhenti menasihati adik-adiknya.
Indahnya perjalanan kakak untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
Berakhir sebuah penantian dalam rencana yang pelbagai melibatkan keluarga. Mujur juga Zura sudah selamat melahirkan namun tarikh pernikahan Din hanya sehari sebelum Aidiladha... tetap jua diteruskan tanpa pindaan dengan majlis kenduri sebelah perempuan pada Ahad berikutnya. Sesungguhnya perancangan Allah mengatasi urusan manusia, kakak mendapat jemputan menjadi tetamu Allah dalam saat-saat akhir. Barangkali inilah nilai dari kesabaran yang selama ini terpendam untuk mengunjungi rumah Allah. Semoga kakak dan abang akan dipelihara Allah dengan dikurniakan kesihatan dan mendapat haji yang mabrur.
Pada diri aku sendiri, tersirat keinginan untuk menjejakkan kaki di Tanah Haram, mengelilingi Kaabah dan mempersembahkan diri kepada Allah SWT dengan Mr.Hubby turut bersama untuk menemai setiap waktu. Semoga hasrat murni ini akan menjadi realiti dan dipermudahkan segala urusan. Amin.
No comments:
Post a Comment