Ramai yang datang bertandang hingga rasa tak menang tangan. Dari adik-beradik, sanak saudara dan jiran tetangga. Terasa lelah namun penuh gembira. Alhamdulillah ramai yang berkunjung, bertemu bapak yang semakin tua.
Selepas Asar aku bersiap-siap untuk ke kampung halaman Mr. Hubby. Sememangnya rutin saban tahun, menyambut Syawal di rumah bapak dan kemudian menghabiskan keseluruhan cuti di Negeri Jelapang Padi. Tiada apa-apa perjanjian, juga tiada pertelagahan tapi wujudnya persefahaman antara aku dan Mr Hubby. Bermula dengan tugas Mr Hubby yang menuntut ruang untuk bekerja di hari raya dan kemudian menjadi kebiasaan. Kebetulan keluarga Mr Hubby akan berkumpul pada hari raya kedua. Lewat tengah malam kami sampai di Kampung Mempelam, Mergong dengan perjalanan yang tidak aku sedari lantaran keletihan sepanjang hari bersama tetamu. Aku dan anak-anak lena sepanjang perjalanan...maaf ye Mr Hubby sebab tak dapat menemani berceloteh bersama sambil memandu.
Pak di kampung pun tak sihat namun masih gagahkan diri untuk berpuasa enam. Di hari raya kedua kami bersama keluarga bang Leh ke rumah kak Pah dan ke rumah kak Mah di Ayer Itam. Kemudian ke rumah Pak Su di Perlis dan singgah di Tunjang rumah mertua Chaq. Namun kemudian Mr. Hubby dapat panggilan telefon sakit pak makin melarat. Kami bersegera kembali mendapatkan pak. Pak dirujuk ke hospital Sultanah Bahiyah dan terpaksa mendapat rawatan lanjut di wad. Seakan berulang kembali peristiwa tahun lalu apabila Aidilfitri dirai di hospital. Jika tahun lalu bapak di Hospital Selayang kerana ulser perutnya melarat dan tahun ini pak pula di hospital ekoran terdapat jangkitan di paru-parunya. Kasihan pak, dalam usia tua berdepan kesihatan yang semakin menyusut tapi pak tak patah semangat malah berpesan pada anak cucunya untuk terus ceria dan meraikan Aidilfitri. Mr Hubby mengambil peluang menjaga pak bersama-sama adik-beradiknya. Perancangan untuk makan-makan adik-beradik pada hari raya ketiga bertukar majlis doa selamat dengan pak dirawat di hospital.
Aidilfitri ini, tiada kunjungan ke rumah sanak saudara yang lain seperti selalu. Ala kadar sahaja lantaran kesihatan pak yang perlukan rawatan lanjut. Bagi anak-anak ia seakan tiada bezanya. Amira bijak menyesuaikan diri, tertanam jiwanya untuk menyelami kehidupan desa. Biarpun tidak berhari raya kemana-mana sebagaimana kebiasaan namun Amira tidak mengeluh sebaliknya menggunakan sepenuhnya ruang yang ada dengan kehidupan di kampung. Amira gemar berbasikal, dari awal pagi hinggalah ke lewat senja habis dijelajahnya dari hujung lorong sini hingga ke hujung sana. Tidak endah pada panas atau becak jalan selepas hujan. Ameer juga begitu, tidak cerewet malah mudah pula berkawan dengan anak-anak jiran tetangga sementara Nina yang penuh manja juga tidak banyak kerenah; cuma sesekali Nina menuntut perhatian lantaran ras terbiar dari kakak dan abangnya.
Dalam ruang yang terbatas, Mr Hubby masih mengisi ruang hari raya keempat untuk berkumpul bersama-sama rakan-rakan sekolahnya. Kali ini lokasinya di Darul Aman Golf Country Club. Cantik juga tempatnya, ruang santai terbuka yang bersebelahan kolam renang. Apa lagi, tentunya anak-anak ingin merasa segarnya bermandian di kolam ini. Amira tidak turut bersama kerana mahu bermain basikal lagi. Hanya Ameer dan Nina sahaja namun kami tidak menunggu sehingga tamat kesemunya sebagaimana saban tahun lantaran bergegas untuk mengejar masa lawatan di hospital untuk bertemu dengan pak. Keuzuran pak nampak sangat serius. Mr. Hubby bergilir bersama aadik-beradiknya menjaga pak. Kesempatan yang terlalu indah untuk anak-anak bersama ayahanda yang uzur. Pak demam, ada jangkitan kuman di peparunya, kata Mr Hubby paru-paru pak hanya satu kerana satu lagi sudah rosak lantaran kesakitan suatu masa lalu. Mr Hubby tak banyak bicara seakan biasa, memang sifatnya dikala gundah dan aku memahaminya. Enggan mendesak sebarang keputusan. Semoga pak beransur sembuh dan dapat terus ceria melayani cucu-cucunya yang sudah berpuluh malah sudah bercicit pun....
No comments:
Post a Comment