Tidak semua individu menilai disebalik apa yang berlaku. Kepuasan yang terbit apabila tugas dilaksana dengan sempurna tanpa ada tersembunyi niat selain daripada keikhlasan dan keredhaan atas kurnia-Nya. Alhamdulillah, aku bersyukur mempunyai kerjaya, diberikan minda yang dapat melaksanakan tugas berbeza dengan insan lain, kemahiran dalam penulisan adalah satu anugerah yang tinggi nilainya. Lebih dari itu, kebertanggungjawapan terhadap bahan penulisan yang kemudiannya akan dibaca oleh pihak lain dan memberikan kefahaman kepada mereka, tentunya itu lebih indah.
Namun, betapa hati terasa gundah dengan segelintir pihak yang mengambil mudah berkaitan kerjaya yang ada. Mungkin mereka melaksanakan kerja yang diberi tetapi hanya sekadar melakukannya, bukan memberikan yang terbaik atas tugasan yang ada. Lebih senang jika dikatakan 'janji siap'. Ada juga segelintir yang gagal menghormati peraturan yang termaktub dalam sesebuah organisasi. Datang lambat atau balik awal sudah menjadi kebiasaan, atau jika tidak pun muncul dipejabat awal pagi untuk rekod kemasukan dan kemudian menghilangkan diri. Memang kerja diarah dilaksanakan, tetapi gagal mencapai tahap kepuasan sebenar lantas apabila waktu pulang rekod juga bertanda sebagaimana wajarnya.
Aku bukan pekerja cemerlang tetapi tentunya aku mahu yang terbaik untuk hari-hariku. Aku menghargai kerja yang aku lakukan. Aku tidak pernah menganggur. Aku tidak pernah tidak mempunyai kerja. Prinsipku mudah, biar susah atau bukan tugasanku namun sekiranya itu adalah berkait dengan amanah serta kebertanggungjawapanku maka akan aku cuba laksanakan. Biarlah orang lain gagal menghargai apa yang dilakukan atau apa yang diberikan kepada mereka kerana itulah yang membezakan antara aku dengan orang lain.
Ada juga insan yang lebih mendambakan jawatan berbanding nilai tanggungjawab yang akan dipikul. Belum dilantik tetapi sudah mencanang diri untuk menduduki jawatan itu ini, berdamping dengan orang besar dan dengan mudah pula 'petik sana petik sini' kononnya baik dengan orang itu ini. Aduhai, sungguh kasihan mereka ini sedangkan diri aku mohon agar mereka ini diberi kesedaran dengan aku sendiri dijauhkan sifat angkuh sedemikian.
Benar, adakalanya aku gagal mengawal emosi. Aku lantang bersuara hingga seringkali meluah kata tanpa simpati pada pendengarnya. Barangkali ada yang luluh hatinya tetapi aku memohon kebenaran ditegakkan. Aku mahukan keadilan pada mereka yang seakan tertindas lantaran ada segelintir individu yang 'lepas tangan' dan tidak mengambil berat berkaitan tugasan diberi. Atas kuasa, pihak atasan perlulah adil memberikan amanahnya janganlah hanya orang yang tahu buat kerja sahaja maka dilonggokkan diatasnya walhal pihak yang sepatutnya melaksanakan tanggungjawab terbabit bersifat 'tidak ambil tahu'.
Apa saja tugas yang dilaksanakan maka ia adalah satu amanah, tidak kiralah walau telah bekerja di pejabat besar, di bangunan tinggi, di Ibu Kota, kakitangan syarikat besar, parti politik waima tugasnya hanya sebagai pencuci bangunan atau pemotong rumput sekalipun maka mereka ini ada tanggungjawab besar.
Meminjam kata-kata pakar motivasi yang seringkali tersemat dihati bahawa keredhaan Allah SWT adalah yang utama. Kita bekerja dengan ikhlas maka kita akan mendapat pulangannya kerana ada individu yang gagal melakukan kerja dengan baik maka rezekinya Allah SWT tarik kembali. Mungkin dalam bentuk lain misalnya, anak sakit, kereta rosak, diri tidak sihat dan macam-macam lagi. Namun jangan mudah pula menjatuhkan hukuman kepada insan lain atas kesusahan yang berlaku kepada mereka sebaliknya ambil sebagai iktibar dan mendoakan mereka agar sejahtera.
Sesungguhnya, kesyukuran kepada Allah SWT sentiasa mengiringiku. Allah SWT memberikan pelbagai anugerah kepadaku dan keluarga. Alhamdulillah. Sebagai hambanya, tidak salah aku memasang impian dan cita-cita untuk kejayaan yang lain dan semoga dipermudahkan-Nya.
No comments:
Post a Comment