Saturday 20 January 2024

Meraikan Ulang Tahun Di Zoo Negara


Lamanya tak ke Zoo Negara dan kali ini kami sekeluarga menjejak kaki di sini kerana Amira. Mengambil sempena tiket percuma kepada mereka yang meraikan ulang tahun dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kelahiran maka Amira mahu memanfaatkannya. Apa lagi, tarikh kelahiran Ammar dan Amani pun masih dalam lingkungan tempoh terbabit yang maknanya tiga orang dapat tiket percuma. Dengan harga tiket seorang RM37 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak maka ruang dan peluang yang ada kami aplikasi sepenuhnya. Sekeluarga bersama kak Hamda dan Humaira yang kesemuanya sembilan orang. 

Thursday 31 August 2023

Camping... Meraikan Kemerdekaan Ke-66

Cuti Hari Merdeka... nak kemana? Mr Hubby merancang dan kami menjayakan. Kali ini kebersamaan dilaksana dalam keluarga tiga beradik - aku, abang Hakim & abang Bullah - satu kebiasaan bagi kami bersama-sama. Namun kali ini tempatnya berbeza kerana penginapan kami adalah dengan berkhemah.

Monday 17 April 2023

Qatam Al-Quran Quran Buddies 2023... Alhamdulillah

Rutin tahunan Ramadan Kareem dgn qatam al-Quran mengikat silaturrahim, mengukuh persaudaraan, menjadi asbab kebersamaan kita demi Lillahi Taala. 

Moga jalinan terus akrab utk kita sama2 mengumpul pahala dlm laluan hidup menuju kepada-Nya. 

Monday 3 April 2023

 Terdiam. Tiada kata mampu diluah saat perkara sama berulang kali berlaku. Bukan tak bercakap, bukan tak bersuara, bukan langsung tak dijadikan keutamaan … secara serius dengan matang diajak bicara, juga dalam senda sesekali diluah mengelak amarah malah dalam kemanjaan pun acapkali juga diperkata minta diri tidak dipersenda. Memang, ini bukan lelocon, bukan sandiwara juga bukan mainan sebaliknya ia adalah hakikat yang perlu diangkat menjadi satu keutamaan demi kemaslahatan masa hadapan.

Saturday 2 July 2022

Usia 45... Mensyukuri Rahmat-Nya

Dalam usia genap 45 tahun, bukanlah keraian yang didambakan malah dalam usia yang semakin 'larut' ini doa-doa diharap dari semua untuk keberkatan kehidupan hingga ke alam abadi. Apatah lagi terlalu banyak cabaran menjengah dengan kehilangan insan-insan tersayang, dari mak dan bapak juga abang-abang yang dah mendahului. Benar, 'kepulangan' yang dikasihi ke negeri abadi menjadikan diri lebih menghargai setiap yang ada di sisi malah semua yang dilakukan termasuklah amanah agar sempurna semuanya. 

Sunday 19 June 2022

Percutian Yang Tertangguh, Gegirls di Tanjung Hills

Dah lama team gegirls tak berkumpul dalam percutian keluarga. Kalau ikutkan memang lebih setahun lalu iaitu selepas usainya kenduri Erin tapi keadaan tak mengizinkan. COVID-19 masih bermaharaja dan darurat pula terlaksana. Tangguh demi tangguh, tempat percutian dah dipilih dengan Filza yang booking. Persetujuan antara geng dicapai khususnya kak Long. Apa-apa dah tentu kita dahulukan yang 'makan garam' apatah lagi kebersamaan ini adalah percutian yang tertangguh. Tak perlu pun jauh, hanya di Kg Janda Baik iaitu di Tanjung Hills. Ikutkan awal tahun ini tapi banjir yang belanda Kg Janda Baik turut menjejaskan kawasan terbabit lantas kami tangguh lagi. 

Monday 7 March 2022

Sakitnya Angkara COVID

Terkena jangkitan COVID-19. Sungguh bukan perkara main-main malah seringkali aku elakkan. Kesihatan jadi keutamaan, kebersihan dengan makan minum terjaga bukanlah sesuatu yang remeh. Siapa mahu sakit apatah lagi dengan terkena jangkitan COVID-19. Tak mahu, sungguh... biarpun diri dah ada vaksin tapi itu hanya untuk mengurangkan impak COVID, bukan untuk mengelakkan sepenuhnya. Bertugas jauh dari keluarga dalam tempoh yang berbelas hari bukanlah sesuatu yang mudah, ditambah pula ada yang terkena jangkitan COVID, namun sikap positif tetap tersemat di minda ... aku sihat, aku perlu sihat, aku mesti sihat dan COVID perlu dijauhkan. 

Saturday 12 February 2022

Selamat Pengantin Baru Ija & Aqil

Meraikan pengantin baharu... kenduri yang tertangguh akibat COVID-19 yang melanda negara. Nor Hafidzah & Aqil dah nikah pada 21 Mei tahun lalu. Acara pernikahan yang hanya boleh dihadiri oleh wali dan saksi kini dirai dalam ruang bersama keluarga biarpun dalam kuantiti tetamu yang terhad. Tentunya abang Maili, abang sulongku mahu meraikan puteri bongsunya dalam majlis yang meriah bersama adik-beradik, sanak saudara dan para kenalan. 

Monday 10 January 2022

Jalan-jalan Perak - Kapal Korek Tin Dredge Heritage & Kellies Castle

Nak hantar Amira balik asrama... sambil-sambil menjengah ruangan pelancongan di Negeri Perak. Memang selama bermertuakan orang Utara maka Negeri Perak menjadi laluan wajib namun tak pernah pula menjadi pelancong di negeri ini. Adalah sekali dua apabila singgah di rumah Bang Leh yang kami ke Zoo Taiping namun kali ini lain. Bezanya, nak cari tempat-tempat yang tular dalam laman media sosial. 

Saturday 1 January 2022

Selamat Tahun Baharu 2022

Tahun baharu 2022... meninggalkan 2021 sbg memori, nostalgia kehidupan sbg tauladan kerana dlm hidup ini tidak ada kebetulan selain smuanya telah ditulis Ilahi...

Alhamdulillah... mensyukuri nikmat namun bukan hanya dgn duduk tanpa usaha atau cuma diam tanpa suara... 

Saturday 18 December 2021

Anak Berkhatan... Ammar Yang Cekal

Hari ini Ammar bersunat. Satu-satunya anak yang berkhatan dalam usia yang sudah faham itu ini sedangkan Ameer semasa dalam pantang. Memang tak susah pun melaksanakan khatan Ammar kerana itu sendiri adalah kemahuannya. Dia yang ceria sentiasa dan tak sabar menunggu harinya. 

Mr Hubby dah daftarkan Ammar untuk berkhatan di klinik Qistina. Alhamdulillah semua lancar dan mudah malah lebih menarik ada tempat utk sesi bergambar di klinik ini. Ammar memang cekal berdepan rasa kesakitan... tiada jeritan, tangisan atau keluhan biarpun wajah tergaris kebimbangan... 

Sunday 12 December 2021

Ulang Tahun Perkahwinan Ke-18

Alhamdulillah 12.12.2003 ikatan terpatri atas anugerah bergelar isteri... 

18 tahun perjalanan berumahtangga dengan ditambah dua tahun perkenalan yang mengenapkan hubungan perkenalan dengan Mr Hubby dua dasawarsa.

Permulaan dalam berkeluarga ... bertaut kasih menyulam kisah dalam setiap detik nafas

Adanya dalam setiap denyut nadi

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers