Monday, 7 March 2022

Sakitnya Angkara COVID

Terkena jangkitan COVID-19. Sungguh bukan perkara main-main malah seringkali aku elakkan. Kesihatan jadi keutamaan, kebersihan dengan makan minum terjaga bukanlah sesuatu yang remeh. Siapa mahu sakit apatah lagi dengan terkena jangkitan COVID-19. Tak mahu, sungguh... biarpun diri dah ada vaksin tapi itu hanya untuk mengurangkan impak COVID, bukan untuk mengelakkan sepenuhnya. Bertugas jauh dari keluarga dalam tempoh yang berbelas hari bukanlah sesuatu yang mudah, ditambah pula ada yang terkena jangkitan COVID, namun sikap positif tetap tersemat di minda ... aku sihat, aku perlu sihat, aku mesti sihat dan COVID perlu dijauhkan. 

Namun, sebaik mana pun merancang atau semungkin boleh dielakkan penyakit yang pasti kuasa Allah SWT tak terjangkau dek akal. Allah menganugerahkan aku dengan COVID-19 tatkala kesibukan menguasai ruang. Memang ada yang anggap musibah namun aku jadikan ia azimat untuk diri lebih muhasabah. Benar, aku sentiasa minum air suam, air masak, buah-buahan dan makan minum pada waktunya. Tetapi ruang kerja tertutup dengan rakan sekerja yang ramai... ditambah pula ada orang luar keluar masuk tanpa mengira waktu maka aku tak tahu dimana puncanya. 

Sebelumnya aku sekereta dengan Pie dan abang Man. Bermula dari Pie hari Isnin positif COVID-19 setelah batuk, diikuti abang Man keesokannya. Aku masih bertahan tapi aku dapat rasakan tekak makin perit dan badan terasa sejuk sangat. Lantas keesokannya aku ambil keputusan untuk tidak turun ke kawasan sebaliknya bekerja dari bilik penginapan sahaja. Rakan sebilik awal pagi telah keluar bertugas. Makin masa berlalu makin pula aku dapati kesihatan makin menyusut. Lantas aku lakukan persaiapan, kunjungi farmasi di bawah, lengkapkan segala jenis ubat dari ubat batuk, ubat sakit tekak, ubat demam, ubat selsema, salonpas, minyak panas selain pelbagai makanan dari biskut hinggalah ke roti dan buah-buahan untuk aku asingkan diri tanpa menyusahkan sesiapa. 

Aku buat tempahan bilik lain. Sebelum pindah maka bilik sedia ada dibersihkan, sanitize segala yang ada di dalam bilik itu hinggakan bilik air pun malah dipanggil cleaner untuk mengemaskan semuanya. Sungguh aku tak mahu rakan sebilik terjangkit apatah lagi akibat diriku sendiri. Memang seboleh mungkin aku tak mahu menyusahkan sesiapa apatah lagi kami semua jauh dari keluarga untuk melunaskan tugasan yang diamanah. Jika tak boleh membantu maka jangan sampai membebankan. 

Setelah berada di bilik sendiri yang juga selantai dengan yang lain, barulah aku maklumkan pada rakan-rakan dan juga Mr Hubby keadaan diri. Pada Mr Hubby juga aku enggan menyusahkannya, insyaAllah semuanya OK dan aku akan kuat, berada dalam bilik sendirian berteman semangat dan ketakwaan pada Ilahi. 

Makin masa berlalu tekak makin perit, badan mulai rasa sejuk yang teramat biarpun pendingin hawa langsung tak dihidupkan. Cek suhu, 38.5 jadi memang demam tinggi. Selera yang tumpul tak dipedulikan. Makan minum mesti cukup, setiap masa mesti makan dan minum... lagilah nak makan ubat. Ubat demam, ubat batuk dan kemudian tidur. Rehat perlu cukup, minda perlu kuat dan fikiran mesti sentiasa positif. 

Rupanya hari kedua keadaan lebih parah. Subuh terjaga dalam keadaan sejuk teramat, mata yang amat berat dan badan terasa menggigil, kulit kering serta badan terlalu lemah. Aku cek suhu, mak aiii 39.8.  Patutlah rasa macam teruk sangat Aku pejamkan mata. Lailahaillah... Hasbunallahwanikmalwakil. Aku bergantung pada Ilahi atas segala baik buruk pada diriku namun aku mesti berusaha untuk sihat. Mataku buka. Di luar masih gelap, jam dicapai baru pukul 6.00 rupanya. Aku mesti kuat. Tak ada siapa yang akan bantu aku kecuali diri sendiri lagi pun Allah ada. 

Aku bangkit dengan perlahan, air mineral dituang dalam cerek elektrik, panaskan seketika. Aku bancuh milo panas dan makan dengan roti. Aku perlu isi perut sebelum makan ubat. Segelas milo dihabiskan dengan sekeping roti. Ubat demam ditelan dengan segelas air masak. Kemudian aku merebahkan badan dan pejamkan mata. Enggan berfikir selain istigfar tersemat di kalbu. Nak menggerakkan lidah pun rasanya aku tak mampu lantaran hangat tubuh dengan rasa sejuk menyelubungi. Aku mahu tidur. 

Teringat juga andainya sakit di rumah dah tentu Mr Hubby yang akan maklum akan diriku. Jarang benar sakit tapi apabila sakit biasanya teruk maka kali ini COVID-19. Tapi aku mesti kuat dan balik semula ke pangkuan keluarga. 

Pukul 10 pagi terjaga dalam keadaan peluh membasahi. Dah tak demam. Alhamdulillah tapi batuk yang amat menyesakkan hinggakan sakit rasa dada. Dalam lena boleh terbatuk dan kahak yang berkumpul di dada, perit tekak tak boleh nak cakap, sakit rasanya. Pada rakan dan Mr Hubby juga aku lebih senang berwatsapp. Cuti sekolah, Mr Hubby nak bawa anak-anak pulang ke Utara. Tak mahu kebimbangan mengiringinya kerana aku akan OK, cuma pinta doa sentiasa dari suami. Rakan-rakan pula saling berhubung selain mengirim makanan melimpah ruah, ada yang mengirim ubat-ubatan juga. Aduhai semua... terima kasih atas kasih sayang diberi.  

Hari ketiga selsema menyerang, batuk masih ada, kahak pun banyak hinggakan saban masa aku meludah. Tisu berkotak-kotak habis, mujur memang aku sediakan banyak. Air suam jadi minuman rutin, ubat peneman dengan makan wajib dibuat sebelum ubat diambil. Aku kurangkan tidur waktu siang. Rutin mesti dibuat untuk kembali sihat, bangun subuh dan jangan tidur sehingga selesai Zuhor. Basuh baju tiap hari. Tidur siang jangan lama kerana tak mahu tidur malam terganggu. Ubat jangan tinggal, ikut masa dari ubat demam, ubat batuk, ubat selsema hinggalah ubat tekak. Air masak biar banyak. 

Sungguh COVID-19 bukan penyakit main-main dan simptonnya pun tak sama antara satu sama lain. Ada yang pening-pening sakit badan, tak batuk dan tak selsema. Ada yang cuma sekejap saja sedangkan aku boleh juga dianggap parah, batuk berdarah, berkahak tiap masa terutama waktu pagi yang sampaikan rasa sesak dada. 

Alhamdulillah. Masa tujuh hari berlalu dengan demam dan selsema tidak ada lagi cuma batuk-batuk sesekali menjengah, tapi tak parah. 

Syukur pada-Mu Ilahi, diberikan peluang untuk sakit dan kembali sihat. Merasai deritanya COVID-19 dan mampu berdikari dalam iringan doa insan-insan tersayang, Mr Hubby, keluarga dan rakan-rakan sekalian. Sungguh, sokongan dari semua jadi penguat kala bertarung dengan penyakit. Terima kasih semua. 




No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers