Dah lama team gegirls tak berkumpul dalam percutian keluarga. Kalau ikutkan memang lebih setahun lalu iaitu selepas usainya kenduri Erin tapi keadaan tak mengizinkan. COVID-19 masih bermaharaja dan darurat pula terlaksana. Tangguh demi tangguh, tempat percutian dah dipilih dengan Filza yang booking. Persetujuan antara geng dicapai khususnya kak Long. Apa-apa dah tentu kita dahulukan yang 'makan garam' apatah lagi kebersamaan ini adalah percutian yang tertangguh. Tak perlu pun jauh, hanya di Kg Janda Baik iaitu di Tanjung Hills. Ikutkan awal tahun ini tapi banjir yang belanda Kg Janda Baik turut menjejaskan kawasan terbabit lantas kami tangguh lagi.
Kali ini kata sepakat diperoleh. Tetap tempat yang sama. Ada tapak khemah dan ada chalet untuk keselesaan. Berkumpul lebih awal di 'istana hinggap' Filza di sana sementara menunggu check-in pukul 2.00 petang. Amboi..., Wan dah masak macam-macam yang sememangnya amat menyelerakan. Wan jamu kami semua dengan lauk-pauk kampung, gulai lemak daging, ayam goreng, ulam-ulam yang dipetik di kawasan sekitar dan sambal belacan. Siap ada pencuci mulut lagi tu, ada bubur nangka dan sagu mata ikan.Kemudian selepas check-in dan golongan bapa memasang khemah, kami lebih santai di tepi sungai. Mandi manda dan bermain air, yang tak masuk sungai memilih duduk-duduk di tepian. Nurul masak laksa dan Umi Lin serta Zila buat pisang goreng. Siapa yang memilih nak makan nasi memang Umi Lin dan siapkan pun dengan ikan masin, ada gulai lemak daging Filza serta sambal meletup papa.
Malam, waktu Mahgrib kami berjemaah bersama-sama di serambi depan chalet yang tersedia. Keluarga besar bersama dalam ruang waktu mengadap Ilahi. Kemudian masa untuk bakar-bakar. Air tangan Mr Hubby untuk kambing dan ayam, ditambah sos black paper dan mushroom. Ada juga sosej untuk pilihan budak-budak.Nurul pula bawa mercun dan bunga api. Sungguh, cuaca yang lembap dan hujan tak halang keseronokan bersantai bersama-sama. Golongan bapa yang bakar-bakar dan kaum ibu memilih berkumpul sambil saling bercerita. Cuma sesekali terganggu dengan bekalan elektrik yang terpadam. Tadi petang pula tekanan air rendah tapi itu semua tak melunturkan keceriaan masing-masing. Anak-anak dah mula berkawan, walaupun tak lengakp semua kerana Alia ada urusan kerja, Amira di Gerik dan Anasz di Ipoh yang berasrama sementara Qaed ada kem di sekolahnya. Benar, makin berlalu masa maka makin berbeza kehidupan kita namun ikatan silaturrahim harus terus disemai apatah lagi persahabatan yang dah belasan tahun terpatri.
Seusai makan malam, tak habis di situ. Dalam hujan rintik dan tanah yang lecak basah, kami masih mahu turun ke tepi sungai. Berkumpul di tapak khemah di depan unggun api yang menyala biarpun gerimis tak berhenti. Tiga khemah didirikan, Filza dan Fazli serta Adib manakala Nuha memilih tidur di chalet. Khemah kedua Mr Hubby dengan Ameer dan Ammar sementara khemah ketiga Faiz, papa & Aish.
Kemudian gegirls (tanpa Filza yang dah dibuai mimpi dalam khemah) menyambung borak di serambi chalet. Saling bercerita ibarat 'membayar hutang masa' yang selama ini tak dapat bersama lantaran tuntutan berbeza dan ruang kerja tak sama. Sedar tak sedar rupanya sampai ke pukul 3.00 pagi. Hambikkk... 😅
Pagi berikutnya, suasana cerah, berkabus dan sejuk angin perbukitan menjadikan diri amat manja mengulit selimut bantal. Sedang pula, kak Shida dan Lin berjalan di kawasan sekitar. Kemudian masing-masing ambil tempat di dapur, misi untuk sarapan menghabiskan apa-apa makanan yang ada. Filza masak nasi goreng, kak Shida dan Umi Lin dengan pisang goreng, Zila cekodok ikan bilis & Nurul pula laksa goreng manakala Farah ala-ala western rebus sosej yang tentunya jadi rebutan anak-anak. Aku... aktiviti pilihan bukan masak tapi merakam aksi mereka yang lincah ligat di dapur. Tak apa kan, asalkan tolong makan kemudiannya....Anak-anak pula ada yang dah berendam di sungai selepas sahaja solat subuh... tahan sungguh kulit mereka dengan sejuk terutama anak Filza dan anak Lin. Bawa pisang goreng ke tepi sungai sekelip mata saja licin ... itu sangat membahagiakan bagi kaum ibu yang memasak kan. Paling best sesi foto malah kaum bapa pasrah sahaja menurut permintaan gegirls yang macam-macam perangai.
Sungguh, kebersamaan bukanlah bermakna setiap masa di sisi namun keberadaan dalam mengharungi suka duka, saling menghargai, menyayangi dan menghormati walau sesekali ada juga ruang tak 'sekepala'. Memang lumrah, perbezaan kamilah yang menyatukan malah menyulam ikatan dalam waktu yang sangat panjang.... Sahabat juga adalah keluarga, keakraban melingkari ... mencetus ikatan persaudaraan yang disemai agar terus hakiki, malah senda tawa anak-anak dalam bergurau sesama mereka mengikat kasih terus subur dan mekar.
Terima kasih untuk ruang waktu yang ada, keceriaan mengisi masa untuk menambah lagi momen indah dalam perjalanan kita. Soalan bukan kemana atau dimana kerana dimana saja kita kan mampu merasai bahagia. Hingga kita berjumpa lagi untuk momen indah kelak. Terima kasih abang Wan dan kak Shida... juga Ina dan Erin yang melayani adik-adik kecil. Sayang semua.
No comments:
Post a Comment