Saturday 20 January 2024

Meraikan Ulang Tahun Di Zoo Negara


Lamanya tak ke Zoo Negara dan kali ini kami sekeluarga menjejak kaki di sini kerana Amira. Mengambil sempena tiket percuma kepada mereka yang meraikan ulang tahun dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kelahiran maka Amira mahu memanfaatkannya. Apa lagi, tarikh kelahiran Ammar dan Amani pun masih dalam lingkungan tempoh terbabit yang maknanya tiga orang dapat tiket percuma. Dengan harga tiket seorang RM37 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak maka ruang dan peluang yang ada kami aplikasi sepenuhnya. Sekeluarga bersama kak Hamda dan Humaira yang kesemuanya sembilan orang. 

Zoo Negara dibuka pukul 9.00 pagi dan sekitar pukul 9.15 kami sudah di pintu masuk. Letak kenderaan di pintu masuk B, bahagian belakang. Tebus tiket hari jadi untuk kemasukan percuma bagi tiga orang sementara yang lain telah aku beli melalui dalam talian kerana harganya lebih murah dan lebih mudah. Laluan masuk terus ke tempat peguin. Ada pula pameran dan aktiviti ringkas yang mudah untuk anak-anak ikuti. 

Kemudian masuk ke aquarium melihat ikan-ikan pelbagai warna, saiz dan jenis. Sungguh anak-anak kecil yang teruja. Dari situ ke tempat badak air yang sentiasa berendam. Bersebelahan ada rusa, kijang, kancil, tapir dan pelbagai haiwan rimba. Meninjan pelbagai spesis ular yang warna-warnanya amat cantik, dari kuning, hijau, merah dan macam-macam lagi. Kemudian kami berkeliling ke laluan monyet, kera, beruk dan yang seangkatan sebelum menghala ke pentas pertunjukan bagi menyaksikan gelagat haiwan-haiwan dipentas tersedia. 

Tepat pukul 11.00 pagi perbarisan masuk flamingo dan ayam... eh... ayam pun berbaris lalu di hadapan para penonton, gelagat yang mencuit hati. Kami menyaksikan pertunjukan burung kakak tua dan melihat kelincahan singa laut yang aktif di dalam air dan di darat juga. Turut sama bertepuk dan bermain bola. 

Kami meneruskan perjalanan ke kawasan hidupan liar, buaya, singa, harimau, harimau kumbang, seladang, gajah, unta, orang utan dan zirafah. Seterusnya memasuki rumah panda. Besar dan tegap tapi pemalas... nak tidur saja, dah la tak boleh bunyi bising. Bangun-bangun nak makan dan kemudian membuang. Alahai kegebuan yang comel tapi sangat manja, nasib baik jauh kalau dekat mau dicubit-cubitnya. 

Keluar dari sini anak-anak dah mula lelah. Amani sendiri mula moody ... konon tak larat berjalan, walaupun tak rewel tapi masih menuntut perhatian. Nasib baik tak ditinggal dengan panda yang malas nak jalan juga. Bekalan makanan dan habis, air seorang sebotol, kacang, roti, keropok dan coklat semua dan clear. Maklumlah dah berjalan sekitar lima jam berkeliling Zoo Negara yang luas. Cuaca pula amat baik, tak hujan, redup dan panasnya pun tak terik tapi letih berjalan mengundang peuh bercucuran.  

Selesai berkeliling melihat pelbagai jenis haiwan sambil-sambil menggamit kenangan lampau yang saban tahun pastinya akan ke sini bersama arwah abang Daili dan abang Cici. Kisah lalu dan Zoo Negara hari ini untuk momen kepada anak-anak yang semakin meningkat usia. Mereka adalah anak kota yang tandus dengan maklumat berkaitan haiwan rimba kecuali daripada pembacaan di buku-buku maka Zoo Negara adalah ruang terbaik untuk anak-anak ini. 

Alhamdulillah, ruang dan peluang yang ada mesti dimanfaat sepenuhnya. Kami ibu bapa menyokong hasrat dan impian anak-anak kerana pemikiran mereka hari ini amat berbeza dengan kedewasaan kami yang lalu. Terima kasih Mr Hubby yang bersama kami merealisasikan impian untuk anak-anak yang acapkali hanya menonton haiwan rimba dari kaca tv atau makluman dari buku-buku yang ada. Juga pada anak-anak, kalian sememangnya penguat semangat dalam mengaplikasi hitam putih kehidupan menjadi warna-warna pelangi nan indah. 















  

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers