Ulang tahun perkahwinan ke-21 dengan Mr Hubby. Alhamdulillah untuk laluan perjalanan dalam jalinan hubungan suami-isteri yang tetap terpatri hingga kini. Benar banyak laluan, terlalu banyak sebenarnya cabaran namun syukur kerana paksi pada Ilahi maka kami teguh dalam bahtera rumahtangga ini dan sama-sama mendepani badai.
Hari ini ada sesuatu yang berlaku, walaupun bukan pada diri kami dan keluarga namun ia adalah berkaitan dengan orang terdekat yang amat percaya pada kami. Sungguh, betapa Allah SWT memberikan ujian sebagai laluan untuk mengukur tahap kecekalan dan ketabahan. Bagaimana untuk kami mendepaninya dan bagaimana kami mampu menangani dengan kudrat yang ada bagi membantu mereka yang ada di sekeliling kami.
Dalam kami mensyukuri apa yang ada dengan melunasi pelbagai permasalahan yang kami anggap rumit namun sebanarnya ada pihak lain yang berdepan kesusahan dan mendambakan perhatian... kami redha, kami pasrah dan kami dengan rela hati menghulur tangan membantu sedaya upaya lantaran keberadaan kami juga mendepani ujian....
Sungguh Allah memberikan mereka musibah, lantas Allah juga menduga kami bagaimana untuk membantu menukar musibah ini sebagai anugerah. Sakit perit pada mereka maka kami hulurkan tangan untuk bersama dan cuba memberi penawar sebagai bantuan. Segalanya kami berserah pada Allah... masa hadapan dan bagaimana pun laluan akan ditempuh untuk hari-hari seterusnya kami akan tetap hadap bersama.
Berkongsi rasa, mendepani segala yang ada di depan mata dalam suasana berbeza... berlapang dada dan berbesar hati menerima segala ketentuan-Nya adalah sesuatu yang bukan mudah namun kami sama-sama beradaptasi dan memahami situsai yang berlaku. Yang pasti dalam keredhaan dan kepasrahan kami ada anak-anak yang perlu kami fahamkan suasana yang bakal mengubah segalanya.
Segalanya kami berpaksikan kerana Allah... maka dengan bismillah juga kami terangkan satu persatu pada anak-anak yang amat memahami. Hanya untuk tiga yang besar sementara dua yang bawah masih terlalu kecil untuk faham suasana. Alhamdulillah anak-anak juga amat menyokong apa-apa sahaja keputusan kami, mereka juga akur bakal mendepani suasana yang berbeza kelak namun saling menyambutnya dengan hati yang lapang ... juga hanya kerana Allah. Sesungguhnya kami angkat setiap kesusahan sebagai anugerah yang akan tetap menyatukan kami semua. Terima kasih Mr Hubby juga anak-anak yang amat memahami...
dan kemudian... menjelangnya tengah malam Si Sulung mewakili adik-adiknya mengirimkan warkah melalui alam maya lantaran keberadaannya di kampus. Sungguh hati tersentuh namun semangat berkobar atas dambaan kata yang di susun indah penuh makna... sekali lagi terima kasih dan setiap tingkah kalian amat dihargai...
Surat cinta buat Abah & Mama...
Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-21 buat kesayangan yang tiada galang ganti. Usah bicarakan tentang hebatnya rasa cinta dan pengorbanan kalian, sudah pasti tiada lagi pertikaian yang hendak dikatakan.
Terima kasih mengajar erti kehidupan, kalau hendak dihuraikan pasti tiada hujungnya. Setiap satu detik menjadi kenangan yang tiada jalan untuk kembali. Dengan izin Allah kita bertemu, maka biarlah dengan izin Allah juga kita bersatu di sana kelak.
Buat Abah dan Mama,
Tiada kata penghargaan yang mampu mengungkapkan rasa syukur menjadi anakanda buat kalian berdua. Kalian adalah anugerah terbesar buat diri ini. Patah sayap tanpa diri kalian, tempang kaki tanpa berpapah pada kalian, sesat jalan tanpa didikan agama kalian. Kala hilang arah dan haluan, dakapan kalian yang pasti menjadi tujuan.
Biarpun tiada satu daripada kita yang sempurna, namun setiap satu daripada kita sentiasa berusaha meningkatkan kualiti diri supaya melahirkan diri versi yang terbaik buat satu sama lain. Insya-Allah, anak-anak yang dibesarkan penuh kasih sayang, perhatian ini bakal menjadi insan yang membalas jasa dan memberi kemanisan di balik titis peluh dan air mata sepanjang membesarkan kami.
Tika ini, mungkin dugaan yang melanda berat untuk dipikul, namun berdiri tegap, hulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan. Kalian menjadi modal insan buat kami sebagai anak. Cahaya yang kalian suluhkan memberi semangat untuk kami terus berjalan biarpun terangnya diragut malam.
Bahasa yang mudah namun tuturnya sukar.
Terima kasih tidak terhingga dan sayang yang tiada penghujung.
No comments:
Post a Comment