Thursday, 31 August 2023

Camping... Meraikan Kemerdekaan Ke-66

Cuti Hari Merdeka... nak kemana? Mr Hubby merancang dan kami menjayakan. Kali ini kebersamaan dilaksana dalam keluarga tiga beradik - aku, abang Hakim & abang Bullah - satu kebiasaan bagi kami bersama-sama. Namun kali ini tempatnya berbeza kerana penginapan kami adalah dengan berkhemah.

 

Ini semua Mr Hubby punya pasal... barang khemah terkumpul lama tak dimanfaat, lagilah pula ada tempat yang pernah dia pergi bersama dengan rakannya sebelum ini, tapi tak salah pula untuk kami menyambut pelawaan yang dibuat kan... Merealitikan untuk berkhemah sebenarnya bukanlah perkara yang mudah bagi aku, ishhh sebenarnya macam-macam yang ada dalam kepala... ala-ala tipikal anak kota yang enggan berpanas, berkotor, bermacam-macam lah ... tapi apa salahnya kan melaksanakan aktiviti berbeza bersama keluarga sedangkan suatu waktu dulu semasa kecil hutan bukit dan sungai memang tak asing bagi aku. 

Perancangan bercuti tiga hari dua malam. 20 orang kesemuanya, dari keluarga aku, abang Hakim dan abang Bullah. Kawasan Kaki Bukit Genting di Batang Kali. Kali kedua bagi Mr Hubby yang sebelum ini bersama Ameer dan Ammar. Empat khemah didirikan dengan sebuah gazebo ada ditempah. Kami sampai dalam tengahari. Tapak perkhemahan perlu menyeberang sungai yang luas dengan barangan perlu dimasukkan ke dalam tangki dan kami membawanya menyeberang. Lebih dari itu, memunggah barang khemah ke kereta tolak dan membawanya di kawasan yang beralun, berbukit bukan sesuatu yang mudah, melelahkan dan mencabar. Eh, belum dirikan khemah dah penat dah masing-masing... tapi semangat tak pudar. 

Anak-anak kecil lebih awal bermandi di sungai sementara yang remaja menolong memunggah barang dan memasang khemah. Bunyian air, unggas dan desiran dedaun buluh memenuhi ruang persekitaran kami. Seronok pula tengok kakak-kakak ipar berkeliling di pohon-pohon buluh, rupanya mencari rebung dipersekitaran. Apa yang pasti, keizinan dari tuan tanah dah dapat jadi pokok-pokok rebung tak sempat nak tumbuh menjadi buluh, awal-awal dah dipangkas dan menjadi menu masakan kami, rebung masak manis kata Kak Ima...

Abag Hakim dan abang Bullah pula membuat unggun api. Kayu-kayu di kawasan sekitar dikumpul dan unggun api kami bertahan tanpa padam, dari malam sampai ke pagi malah siang pun masih menyala. Menu masakan ada macam-macam, seorang sedikit bila dikumpul menjadi banyak. Makan-makan tanpa henti, kenyang perut suka hati... anak-anak pun ceria. Malam Kemerdekaan pula, pengurus tapak perkhemahan memasang bunga api, malam merdeka jauh dari keriuhan hiruk-pikuk dan kesibukan kota. Moga memberi manfaat kepada anak-anak yang membesar dalam arus dunia teknologi moden. Alhamdulillah.   

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers