Monday, 28 November 2016

Afrina Jalani Ujian Darjah 1

Afrina enam tahun, tahun depan darjah satu. Sekolahnya sudah didaftarkan, sama dengan sekolah kakak dan abangnya di SKS1BK. Kali ini sekolahnya adakan ujian penentuan kelas untuk darjah satu awal, selepas sahaja berakhir sesi persekolahan 2016. Permintaan Nina mahukan abah dan mama ada bersama dan tentunya bagi aku juga tidak mahu melepaskan peluang ini biarpun tugasan di pejabat amat banyak. 
Nina memang bersemangat. Sejak seminggu yang lalu dia sudah sememangnya tidak sabar untuk bersekolah. Mujur barangan sekolah Mr Hubby sudah sediakan awal, beg sekolah, kasut dan stoking sementara baju Meah jahitkan.

Sunday, 13 November 2016

Hari Sukaneka Ameer

Hari Sukaneka di SKS1BK. Amira tak menyertai apa-apa. Memang dia tak pernah menunjukkan minat dalam acara sukan. Ameer yang ada program. Ada persembahan acara dan juga larian baling kacang. Memang Ameer sangat bersemangat apabila bercerita apatah lagi apabila tibanya hari yang dinanti. Seawak pukul 7.15 pagi kami sudah berada di sisni. Hanya bersama Ameer dan Afrina. Ameer terus menyertai kawan-kawannya sementara aku dan Afrina terus menuju ke khemah yang dikhaskan kepada ibu bapa dan tetamu jemputan.

Acara bermula sekitar pukul 8.40 pagi dengan perbarisan daripada empat rumah sukan, Bendahara, Laksamana, Syahbandar dan Temenggung. Tema superhero. Meriah perbarisan mereka. Kemudian acara untuk pra sekolah dan diikuti acara untuk murid tahap 1. Ameer sertai acara dengan lagu Polaroid dan Hang Pi Mana. Begitu bersemangat dia dengan kawan-kawannya.

Saturday, 12 November 2016

Bukit Sri Bintang Didaki

Pagi ini mendaki Bukit Sri Bintang yang terletak di kawasan tersembunyi di Ibu Kota. Ada rupanya bukit di sini untuk didaki. Kali ini aku menyertai team Mr Hubby mendaki bersama Ameer dan Afrina yang memang sentiasa bersemangat. Bukit Sri Bintang terletak berdekatan dengan Desa Park City, tapi jalan menuju ke bukit ini melalui kawasan perumahan di Segambut dan kemudian terus ke Taman Sri Bintang.

Awal pagi kami keluar dari rumah. Sebelum itu pastikan bersarapan dahulu agar perut tak kosong dan perancangan tak terganggu. Bekalan air kosong dan tuala untuk mengelap peluh dibawa bersama. Paling penting pakaian mestilah sesuai dengan perancangan untuk mendaki.

Friday, 28 October 2016

Tetamu Penyeri Kediaman Kami

Rumah kami sentiasa ada pengunjung. Ada saja orang yang datang bersama-sama menjadikan rumah kami begitu meriah dan ceria. Biasanya hujung minggu silih berganti mereka yang datang. Ada adik-beradik sendiri, dari kakak, abang Maili, abang Hakim dan abang Bullah yang kerap bermalam dan kemudiannya sesekali ada juga adik-beradik Mr Hubby yang datang dari Utara.

Alhamdulillah, tak putus tetamu menghiasi rumah kami, dari depan hinggalah ke ceruk dapur akan ada saja tawa ria menyulam perbualan sesama kami. Memang sejak bapak tinggal bersama kami, masa hujung minggu banyak dihabiskan di rumah. Macam-macam aktiviti yang ada, masak-memasak dan kemudian makan beramai-ramai.

Tuesday, 18 October 2016

Hiasan Laman Rumah

Laman rumah bertambah meriah. Kali ini ada tambahan tumbuhan hijau yang berjuntaian. Pelbagai pokok yang digantung meriah menceriakan pandangan mata. Ada juga tambahan pokok ros berwarna pink, juga pokok-pokok orkid yang makin menawan. Tak cukup dengan itu, Mr Hubby upgrade rumah burung... dari dua pintu bertukar menjadi empat pintu. Wahhh... rumah burung pun bertukar wajah, lebih besar dan lebih sesuai untuk burung-burung yang berpasangan di sangkar. Bukan hanya bunyinya yang menyeri laman tetapi warna-warni tubuhnya juga menggamit pandangan. Cantik.

Saturday, 15 October 2016

Ammar Farish Makin Bijak

Ammar Farish dah sepuluh bulan... baru boleh merangkak. Lambat dia tahu merangkak, barangkali kerana tumbuh gigi lebih awal. Kata orang tua-tua jika tumbuh gigi awal lambat tingkah yang lain. Enam batang gigi dah ada. Bermula dengan dua batang gigi bawah dan empat batang kemudiannya di atas.

Sunday, 9 October 2016

Meraikan Kak Chik Sekeluarga

Pertama kali kak Chik dan keluarga bertandang ke rumah kami sejak kami berkediaman sendiri. Sebelum ini, semasa di rumah lama kak Chik pernah datang tapi tak sekeluarga. Di sini kak Ngah pun pernah sampai tapi hanya berdua dengan kawannya, Ida. Kali ini kedatangannya membawa misi iaitu sempena majlis Konvokesyen Iwan di Politeknik Shah Alam.

Kami sangat berbesar hati dapat menerima tetamu dari jauh apatah lagi Mr Hubby yang sememangnya akrab dengan kakaknya ini. Kak Chik sekeluarga datang dari Sungai Petani. Tentunya lelah mengharung perjalanan yang jauh. Jumaat tengah malam baru sampai, manakala majlis konvokesyen berlangsung pada Ahad.

Friday, 30 September 2016

Menghuni Wad Lagi...

Setelah sekian lama bertahan, bapak menghuni wad lagi. Sejak bapak tinggal bersama aku memang bukan tak ada keuzurannya. Sebagaimana usia bapak yang dah lanjut maka tentunya kesihatan bapak juga semakin merosot. Adakala demam, kerap kali kata sakit perut, batuk-batuk dan ada juga sesak nafas. Ubat sudah menjadi kebiasaan untuk bapak. Mujur juga bapak tak kisah dengan ubat-ubatan. Ubat gastrik, ubat batuk dan panadol adalah tambahan kepada tujuh jenis ubatan lain yang bapak perlu ambil saban hari. 
Kali ini batuk bapak berpanjangan. Ubat batuk seakan tak jalan. Minyak yang disapu juga tak mampan. Panadol sudah sebati dengan bapak. Bapak mengah, nampak lesu dan tak tertahan lantas aku berteman Mr Hubby membawa bapak ke hospital ketika melewati tengah malam. Bapak tak tertahan sakitnya.

Wednesday, 14 September 2016

Kisah Aidiladha 1437H / 2016


Hari raya Aidiladha. Tahun ini di rumah sendiri. Bapak bersamaku, dan kami meraikannya dalam suasana yang penuh sederhana. Tidak ada apa-apa perancangan pun selain persediaan untuk pulang ke kampung Mr Hubby di Utara. Pagi Aidiladha tidak kemana-mana. Makan bersama dengan menu nasi arab. Tidak ada kuih muih sebagai hidangan namun aku sediakan chip chocolate, brownies cake, batik cream cheese cake, cream puff dan dadih untuk tetamu yang datang. Juga sebagai buah tangan ke kampung.

Selepas solat Zuhor kami bertolak ke Kedah dengan keterujaan pada anak-anak. Memang, persediaan di kampung adalah untuk mengadakan korban sebagai ibadah bersama selain mengeratkan hubungan silaturrahim dalam keluarga besar arwah Ibrahim. Kak Chik, kak Mah dan Chaq telah mendahului kami sampai di kampung, sementara bang Ad, bang Leh, kak Pah dan Mat tiba pada hari kenduri korban dilakukan.

Sunday, 4 September 2016

Kreativiti Untuk Laman Kecil Kami

Laman kecil berbunga-bunga. Lebih banyak tumbuhan hijau menyejukkan mata tapi ada juga bunga-bunga kecil menghiasi laman. Kemudian Mr Hubby menambah kreativiti dengan botol-botol minuman yang dikumpul, spray cat biru dan kemudian disusun untuk tanaman pokok pukul 10 atau ros Jepun. Ada banyak warna, pink, merah, kuning, oren, peach. Laman rumah berwarna-warni juga dengan kelopaknya dihurung lebah yang menjengah menghisap madu di laman pagi.

Pandangan yang indah untuk cahaya pagi menyinari ros jepun dengan warna pelbagai, dihurung lebah yang hinggap menghirup madu dari satu kelopak beralih kepada kelopak yang lain. Seakan terdengar riang berlagu sambil menjamah manisan. Rezeki serangga di laman rumah kami.

Thursday, 25 August 2016

Afrina & GK Organic Farm

Sesi lawatan untuk Afrina yang berusia enam tahun bersama rakan-rakannya. Kali ini sekolahnya ke ladang organik di Kg Buah. Pembelajaran untuk bermesra dengan alam, menikmati persekitaran yang segar, jauh dari kesibukan kota dan terhindar dari kekotoran asap toksid beracun.

Tentunya Afrina teruja apatah lagi bersama-sama dengan guru-guru dan rakan-rakan sekolahnya. Dengan hanya berselipar, juga dibekalkan pakaian dan tuala sebagai persediaan berdepan kekotoran.

Saturday, 20 August 2016

Puncak Broga Bersama Anak-anak

Hujung minggu mendaki lagi Bukit Broga. Kali ini aku dan Mr Hubby berteman Ameer dan Nina yang sangat ghairah untuk mendaki. Awal pagi mereka bangun dari tidur dan terus bersiap-siap untuk bersama-sama kami mendaki bukit. Dalam usia lapan dan enam tahun mereka bersama-sama bersemangat untuk mendaki bukit.

Amira enggan bersama mengikut kami. Dia tidak lasak, apatah lagi untuk memanjat bukit dan mendaki sebagaimana Ameer dan Nina. Bagi Ameer dan Nina, memang bukan hanya semangat mereka sahaja yang membara tetapi tenaga dan keletahnya juga amat membuat kami turut teruja. Mereka mendaki tanpa mengeluh, berseronok sepanjang laluan, sesekali berpimpin tangan, sesekali bebas memanjat sendiri tanpa rasa kekok.