Friday, 28 October 2016

Tetamu Penyeri Kediaman Kami

Rumah kami sentiasa ada pengunjung. Ada saja orang yang datang bersama-sama menjadikan rumah kami begitu meriah dan ceria. Biasanya hujung minggu silih berganti mereka yang datang. Ada adik-beradik sendiri, dari kakak, abang Maili, abang Hakim dan abang Bullah yang kerap bermalam dan kemudiannya sesekali ada juga adik-beradik Mr Hubby yang datang dari Utara.

Alhamdulillah, tak putus tetamu menghiasi rumah kami, dari depan hinggalah ke ceruk dapur akan ada saja tawa ria menyulam perbualan sesama kami. Memang sejak bapak tinggal bersama kami, masa hujung minggu banyak dihabiskan di rumah. Macam-macam aktiviti yang ada, masak-memasak dan kemudian makan beramai-ramai.


Syukur, rumah kami tidak pernah sunyi sebaliknya canda tawa menjadi penghuni, anak-anak berlarian, bergurau senda, sesekali ada juga tangisan bergema tetapi tak lama. Ada yang berbasikal di laman rumah, ada yang bermain bola, ada juga yang main anak patung di ruang atas. Bapak pun nampak makin kuat, wajahnya juga nampak segar dan tubuhnya tidak longlai. 


Sebagai tuan rumah, kami amat menghargai tetamu. Rasa seronok rumah kami penuh dengan pelbagai cerita. Sungguh hebat orang yang bergelar tetamu. Dalam Islam juga kita amat disarankan untuk memuliakan tetamu sehinggakan nilai keimanan kita juga diambil kira dalam melayan tetamu yang datang. 

Islam itu indah, meletakkan tetamu ditempat yang tinggi dan itulah yang sentiasa kami utamakan. Sebagai tuan rumah, tentunya menjadi tanggungjawab kami memberikan layanan terbaik agar mereka pulang dengan berlapang dada dan gembira sepanjang bersama kami. Apa-apa rezeki kami kongsikan bersama dan alhamdulillah, biarpun masakan yang dihidang amat ringkas namun selalunya habis dimakan bersama. 

Datanglah lagi ke rumah kami, bersama-sama berbual dan beramah mesra, saling bertukar pendapat, berkongsi rasa dan mendengar suara hati kerana pengalaman hidup antara kita saling berbeza. 

Semoga Allah SWT merahmati kita semua dengan rezeki yang sentiasa ada untuk kita kongsi bersama.     









No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers