Monday, 28 November 2016

Afrina Jalani Ujian Darjah 1

Afrina enam tahun, tahun depan darjah satu. Sekolahnya sudah didaftarkan, sama dengan sekolah kakak dan abangnya di SKS1BK. Kali ini sekolahnya adakan ujian penentuan kelas untuk darjah satu awal, selepas sahaja berakhir sesi persekolahan 2016. Permintaan Nina mahukan abah dan mama ada bersama dan tentunya bagi aku juga tidak mahu melepaskan peluang ini biarpun tugasan di pejabat amat banyak. 
Nina memang bersemangat. Sejak seminggu yang lalu dia sudah sememangnya tidak sabar untuk bersekolah. Mujur barangan sekolah Mr Hubby sudah sediakan awal, beg sekolah, kasut dan stoking sementara baju Meah jahitkan.

Nina bersiap segera, Amira pula masih ada kelas tambahan untuk persediaan berdepan UPSR tahun hadapan. Nina tak banyak celoteh, barangkali gementar tetapi dia cukup tenang. Nina akan menduduki peperiksaan. Tiga kertas semuanya bagi menempatkan dia di kelas berdasarkan kepada markah yang diperolehnya. Ada sembilan kelas semuanya untuk darjah satu, dan untuk kelas sementara Nina di kelas Nilam. Pukul 8.30 pagi peperiksaan bahasa Malaysia, kemudian Matematik dan selepas rehat bahasa Inggeris. 

Aduhai anak, dalam usia yang masih kecil sudah berdepan saingan untuk memasuki darjah satu. Harapan aku Nina dapat buat yang terbaik, namun tidak pula aku paksa dia. Rasanya keterlaluan untuk mendesak anak sekecil ini menghadapi peperiksaan dalam ruang yang terhad sekadar untuk kelas darjah satu. 

Sementara anak-anak ditempatkan di dalam kelas dan menghadapi peperiksaan, ibu bapa pula diminta masuk ke dalam dewan untuk taklimat daripada guru bertugas dan kemudiannya sesi motivasi.  

Keputusan peperiksaan akan dimaklumkan pada penghujung Disember nanti pada hari orentasi pelajar tahun satu. Ketika itu kelas sebenar untuk anak-anak dan mereka akan mula berkenalan dengan rakan masing-masing. 

 


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers