Sunday, 4 December 2016

Berkunjung ke MAHA 2016

Hujung minggu bersama-sama anak-anak dan keluarga, merancang ke Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian (Maeps) Serdang. Selesai solat Zuhor kami bertolak dari rumah, dua kereta berserta Angah yang membawa anak-anak dara Miss Kecoh... semuanya ada 14 orang.

Lantaran hujung minggu dan pameran yang mendapat sambutan amat memberansangkan, maka perjalanan yang sepatutnya hanya memakan masa 20 minit bertukar kepada satu jam ekoran kesesakan jalan. Sudahnya kami meletakkan kereta jauh dari kawasan tapak pameran... barangkali 3 km.


Dengan bertemakan 'Makanan Masa Hadapan Kita', kami menjelajah terus ke ruang pameran yang menempatkan produk makanan sejuk beku. Sambil-sambil berjalan, menikmati makanan percuma, menjamu mata, ada juga membeli keropok lekor dan karipap. Kemudian kami terus menghala ke Kampung Durian Runtuh, kampung Upin Ipin yang tentunya amat berbaloi dengan keluarga yang membawa anak-anak kecil yang ramai. 

Bayaran untuk masuk ke Kampung Upin Ipin ini ialah RM25 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak. Ruang yang luas tersedia untuk anak-anak berlarian, menikmati kehijauan suasana desa yang dikelilingi pelbagai tanaman. Dengan setiap tiket yang dibeli, kami diberikan satu pasu kecil yangkemudiannya kami berpeluang untuk bercucuk tanam. Pasu diisi tanah gambut, memilih sendiri biji benih untuk ditanam, disiram sedikit air dan terus di bawa pulang. Antara kami, ada yang memilih benih bunga raya, kacang hijau, kacang soya, jagung, kacang merah dan macam-macam lagi. 

Ada juga replika rumah Upin Ipin yang dapat kami nikmati lamannya. Menghijau tanaman di laman rumah, ada pokok bunga raya, dan di sebelah rumah deretan pokok pisang... barangkali opah yang menanamnya, mungkin juga kak Ros... ☺

Kemudian kami berjalan lagi menikmati pemandangan di Kampung Durian Runtuh. Ada juga sawah padi menghijau dan deretan tanaman menghiasi ladang. Banyak tanaman buah-buahan terutamanya tembikai cina. Ada juga jambatan, mungkin di jambatan inilah Raju jatuh ke dalam sungai sebagaimana dalam filem Upin Ipin Geng: Pengembaraan. ☁

Paling menarik adalah persembahan Upin Ipin dan kawan-kawan yang muncul di pentas dengan lagu tema mereka dan juga 'Sahabat Selamanya'. Anak-anak semakin ceria, setelah bebas berlarian maka menyaksikan pula Upin Ipin di depan mata dengan kawan-kawannya selain Opah dan Tok Dalang bersama.

Keluarnya kami dari Kampung Durian Runtuh, kami masuk ke ruang pameran lagi yang menempatkan pelbagai hasil tanaman. Kami memborong buah-buahan, jambu, limau, mangga dan nenas. Mr Hubby membeli tiga pokok orkid bagi menghiasi laman rumah.

Fuhhh... kaki terasa lenguh tetapi puas berjalan dengan meninjau pengalaman baru bersama-sama anak-anak. Banyak lagi ruang pameran lain yang kami tidak kunjungi lantaran besarnya kawasan yang ada termasuklah ruang ternakan. Namun anak-anak semua rasa seronok bersama biarpun mereka juga keletihan. Tidak ada yang mengeluh atau meragam termasuklah si kecil Ammar. OK, lain kali boleh jalan-jalan lagi. ☕














 



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers