Saturday, 20 August 2016

Puncak Broga Bersama Anak-anak

Hujung minggu mendaki lagi Bukit Broga. Kali ini aku dan Mr Hubby berteman Ameer dan Nina yang sangat ghairah untuk mendaki. Awal pagi mereka bangun dari tidur dan terus bersiap-siap untuk bersama-sama kami mendaki bukit. Dalam usia lapan dan enam tahun mereka bersama-sama bersemangat untuk mendaki bukit.

Amira enggan bersama mengikut kami. Dia tidak lasak, apatah lagi untuk memanjat bukit dan mendaki sebagaimana Ameer dan Nina. Bagi Ameer dan Nina, memang bukan hanya semangat mereka sahaja yang membara tetapi tenaga dan keletahnya juga amat membuat kami turut teruja. Mereka mendaki tanpa mengeluh, berseronok sepanjang laluan, sesekali berpimpin tangan, sesekali bebas memanjat sendiri tanpa rasa kekok.


Dua tiga kali juga berhenti di laluan, mengelap peluh yang memercik membasah dan minum air sambil melepas lelah seketika. Ameer tak banyak bicara berbanding dengan Nina yang sangat becok. Ada-ada sahaja yang diperkatakannya. Gemar juga bergambar tapi dia lebih teringatkan kakaknya yang suka pemandangan cantik.


Kami tak lama berada di puncak. Selepas bergambar, minum dan duduk seketika kami terus turun. Nyata laluan turun lebih bahaya kerana bentuknya yang curam. Namun membawa Ameer dan Nina tidak susah. Mereka tetap berwaspada dan ceria. Lain kali mereka mahu kembali lagi ke Broga untuk bersama-sama mendaki.












No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers