Sunday, 31 July 2016

Raya Lagi... Eratkan Silaturrahim

Hari raya terus diraikan. Syawal sebulan maka ruang yang ada dimanfaatkan untuk bersama-sama mengeratkan jalinan silaturrahim. Indahnya jalinan yang dibuat apabila yang jauh dapat didekatkan, yang dekat terus diraikan dan kemesraan sedia berlanjutan.

Syawal ini, paling menyentuh hati apabila dapat bersua dengan anak-anak arwah abang Daili. Memang saban tahun mereka akan menziarahi bapak tetapi aku tidak pernah berkesempatan bersua dengan mereka. Tahun ini, bapak ada dirumahku jadi aku meraikan kehadiran mereka dengan penuh rasa ceria. Dengan Fizi aku pernah bersua dengannya tahun lalu ketika dia melawat bapak di hospital. Dengan Uun pun ada juga dalam lima enam tahun lalu rasanya, tetapi dengan Zura, barangkali telah lebih 10 tahun.

Pertemuan terakhir antara kami diakhiri dengan suasana yang kurang nyaman, ada yang terbuku di hati namun gagal diselesaikan dengan kepuasan. Hilang begitu sahaja, ada talian tapi tidak pernah berhubungan lantas pertemuan di Syawal ini ibarat penyatuan kami kembali yang suatu ketika dahulu amat akrab. Memang waktu dulu antara aku dan Zura ibarat adik-beradik yang akan tetap bersama, apatah lagi aku sentiasa dibawa kemana-mana oleh arwah abang Daili, namun akhirnya hilang begitu sahaja.


Abang Daili sudah 17 tahun bersemadi, dan kini anak-anaknya yang menjadi pengikat kami. Aidilfitri ini menjernihkan semuanya, tanpa kami enggan lagi menyebut apa-apa berkaitan kisah lalu. Biarlah, yang buruk menjadi sempadan untuk kami meneruskan kehidupan namun ikatan persaudaraan tidak akan mungkin terputus sebegitu mudah. Alhamdulillah. 

Anak-anak pun meriah, berhari raya dan saling mengeratkan kemesraan yang ada. Indahnya Syawal apabila dirai dengan ketulusan hati dan kejernihan jiwa. Semoga ikatan yang ada akan berlanjutan hingga ke akhir hayat dan kemudiannya doa saling mengiringi antara kita semua.  









1 comment:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers