Thursday, 1 January 2026

Selamat Tahun Baru 2026


Selamat Tahun Baru 2026.
Menjengah tahun baru menjadikan diri menoleh ke belakang. Betapa perjalanan masa menuntun diri mengamati tiap ruang yang telah berlalu. Sungguh, sepanjang tahun 2025 ada banyak liku dan rasa hiba dalam dada. Cabaran pada hati agar tidak tercalar biarpun ada yang membuat luka. Persekitaran yang menuntut diri untuk sentiasa berlapang dada, berjiwa besar dan menyemai kesabaran dalam perlakuan mereka yang sumbang. Bisik pada hati: ikhlaskan diri dan redhalah atas tiap apa yang dilalu.... Syukurlah keluarga banyak menyokong tiap kali ada gurisan-gurisan yang tersimbah. Mr Hubby terutamanya, selalu menyejukkan tatkala hati rawan dengan tingkah mereka yang sangat lancang tanpa memikirkan aib yang selama ini tersimpan. 

Hati bukan tak terasa, jiwa bukan tak meronta namun akal selalu dikedepankan dengan kemaslahatan menjalani kehidupan jadi keutamaan. Dipujuk diri agar tetap sabar kerana masa sukar pastinya berlalu. Sungguh, sepanjang tahun 2025 ada kata-kata malah perlakuan tak kena cara sedangkan kami sekeluarga memberikan yang terbaik dalam memelihara keharmonian dan kebersamaan. Barangkali inilah peribahasa 'susu diberi dibalas tuba' lantaran kasih yang disemai dianggap perlakuan salah dan dipersalahkan. 

Tak apalah... berlapang dada dan diamkan saja. Jalani kehidupan hari-hari tanpa rasa luka ... seakan tidak ada apa-apa namun sesungguhnya jiwa ini sarat dengan rasa gundah. Betapa mereka tergamak memperlakukan sedemikian walhal bantuan yang diberi dianggap pula satu kesalahan. Pujuk hati lagi... usah ada rasa terluka tapi jalanilah tiap ruang bersama dengan ceria. Kami tertawa, ada canda dan hilangkan rasa resah. Kata Mr Hubby ini adalah sebahagian dalam perjalanan hidup kita. Alhamdulillah. 

Apa yang pasti, cabaran dan dugaan yang ada menjadikan kami sekeluarga teguh terikat sepakat bersama, saat ada yang marah maka ada pula yang mendamaikan; jika ada yang terluah maka ada pula yang mendengar, rasa lara tidak pernah terbiar parah malah kebersamaan kami melengkapi kekosongan yang cuba mereka tinggalkan... kerana kami tak kosong sabaliknya sarat terisi dan saling melengkapi. 

Justeru untuk tahun baru 2026... kami buka lembaran baru dengan kegembiraan yang terlakar dalam tiap wajah lantas menyatu di jiwa. Permulaan tahun baru kami sekeluarga berada jauh di Utara, menikmati keindahan alam, bermandi manda di sungai yang ibaratnya menghayutkan segala kelelahan; mengharung tepian pantai bagaikan melontar segala keresahan dan mata melepas jauh menikmati pemandangan menghijau sawah terbentang dengan mensyukuri tiap ruang, masa dan peluang yang ada. 

Sungguh, keluarga adalah pelengkap kehidupan dan kalian segalanya asbab duka menjadi ceria, lara bertukar suka dan hiba akhirnya dijadikan canda. Betapa pun cabaran dan rintangan dari persekitaran, kebersamaan dan keteguhan dalam keluarga adalah penguat untuk kita saling percaya diri lantas melangkah ke hadapan untuk menjulang jaya pada masa hadapan. Terima kasih Mr Hubby dan anak-anak penguat semangat! 


No comments: