Menyantuni perjalanan akhir kak Chik sarat dengan rasa hiba. Betapa perancangan kami tak terjangkau janji Ilahi. Kesihatan kak Chik sememangnya telah merudum lantaran penyakit kencing manis yang dideritai; menuntutnya menghuni di Hospital Sungai Petani sejak awal bulan Nov. Kemudian dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan pakar yang kesemuanya berjaya dilalui namun dalam proses untuk sembuh jangkitan kuman berlaku hinggakan organ dalaman gagal lagi berfungsi.
Perancangan awal kami akan pulang ke Utara beberapa hari kemudian namun panggilan yang diterima Mr Hubby petang Isnin memaklumkan kak Chik kritikal. Sungguh Mr Hubby akrab dengan kak Chik, kakak yang amat prihatin dan gemar berkongsi ilmu malah ada-ada saja ingatannya agar tingkah kami bertambah baik dalam menjalani kehidupan.
Malam itu kami bertolak ke Penang setelah selesai berkemas. Ameer tinggal dulu dan akan menyusul dengan bas pada Rabu kerana ada tuntutan lain. Ayyash ditinggal dengan kak Hamda dan kami meneruskan perjalanan, ambil Ammar dan Amani di Gombak dan pukul 5.00 pagi sampai ke rumah Zura di Perai... terima kasih Zura yang menunda perancangan balik KL kerana keberadaan kami. Sebelum tengahari kami bertolak ke hospital untuk waktu melawat.
Melihat kak Chik yang terbaring berselimut rapi di katil hospital maka teringat arwah mak yang juga melalui perjalanan akhir hampir sama. Bunyi mesin yang bersahutan sedang tubuh berselirat dengan wayar-wayar bersambungan. Kaku... tiada kata dapat diucap, rasa syahdu menyelimuti bercampur dengan pelbagai kenangan kelibat ceria kak Chik yang acapkali ramah bersamaku. Sungguh, mengenalinya dari kala pertama kali Mr Hubby membawa ke Kedah hinggalah ke saat akhir, kak Chik sentiasa mesra dan melayaniku tanpa rasa canggung. Aku juga adikknya yang merasai kesedihan lantaran kasih teramat yang tamat di sini namun tetap abadi dalam hati.
Pulangnya kak Chik ke rumah abadi selepas subuh Khamis dengan keberadaan kami dan adik-beradik, abang Mat yang sentiasa disisinya, anak-anak dan menantunya. Kata kak Ngah, mak dah pergi jumpa kak Long... ya anak sulong kak Chik yang mendahului sembilan tahun lalu akibat kemalangan. Ku raih kak Ngah dalam dakapan, betapa kesedihan bersatu tanpa kata. Memujuknya ibarat berkata pada diri sendiri ... redha atas segala ketentuan-Nya. Allah SWT lebih menyayangi dan melunaskan kesakitan yang ditanggung.
Menuntun tangan Kak pula seakan mengimbau masa-masa lampau bersama arwah mak... usia tua namun semangat tidak pernah pudar. Kasih saudara membawa ke syurga... kata Kak... "Kak yang sulung tapi adik yang pergi dulu." Aduhaiii...
Kami menyusur Jambatan Pulau Pinang mengiring van jenazah yang meluncur laju. Dalam kereta saling bertukar kenangan lampau antara Kak, Mr Hubby dan juga kak Pah. Aku diam mencerna kasih yang tak bertepi dari para saudara. Kak Cik yang berkelana ke serata tanah air selepas berumahtangga lantaran tugas abang Mat sebagai anggota tentera menjarakkan keberadaan namun tidak pernah sesekali merenggangkan hubungan kekeluargaan. Cerita Mr Hubby tentang baju Melayu jahitan kak Chik menjadi canda antara kami mengubat kerinduan, pastinya seakan baru semalam berlaku sedang kini kak Chik dah menerima jemputan Ilahi.
Dari rumah, jenazah kak Chik dibawa ke masjid untuk urusan akhir. Lapan beradik Mr Hubby semua ada menyantuni dengan kasih ... sementara sanak saudara dari jauh dan dekat berkumpul di sini. Lancarnya urusan dan indahnya perjalanan sedang cuaca juga cerah memudahkan urusan. Wajah kak Chik tenang dan lembut. Kucupan akhir mengiring kak Chik sebelum kain kafan ditutup rapi.
Dikuburan juga pelaksanaan dilakukan dengan tenang mengiring jasad kak Chik ke persemadian. Liang ditutup dan tanah dikambus menjarakkan alam kami dengan kak Chik. Perginya mendahului kami menyahut panggilan Ilahi dan kehibaan yang terasa bersatu dalam doa sebagai hadiah untuk kak Chik di alam sana.
Jiran tetangga kak Chik juga ramai yang berkumpul malah memasak makanan untuk kami waris terdekat. Kata mereka, cucur udang kak Chik terbaik... kak Chik rajin masak... dan macam-macam lagi cerita-cerita kebaikan kak Chik yang sesungguhnya amat menyebakkan dada, mensyukuri hal-hal kebaikan yang ditinggalkan sebagai kenangan.
Sememangnya air tangan kak Chik memang sedap terutamanya cucur udang kuah kacang... tiap kali makan dimana-mana tidak tertanding dengan buatan kak Chik tapi sayangnya Mr Hubby tak sempat berguru. Janji kak Chik bila Mr Hubby pulang ke kampung nanti diberitahu tapi rupanya kak Chik yang pulang dahulu kepada pencipta Ya Rabb.
Sememangnya kak Chik tangkas di dapur... dalam tempoh masa aku mengenalinya sememangnya dia tidak pernah kering tangan menyingsing lengan tiap kali ada, tak kiralah sama ada di kampung atau di rumahnya sendiri. Ada-ada saja juadah dihidang malah tak pernah kami pulang dengan perut kosong ditambah pula dengan buah tangan yang macam-macam... hinggakan ada pinggan mangkuk sekali.
Itu rasaku... bagaimana pula adik beradik, suami dan anak-anaknya. Jika aku yang hanya lebih dua dekad mengenali sudah sedemikian, maka tentunya rasa nyilu lebih dirasai mereka. Damailah kak Chik di alam sana dan kelak kami akan menyusul juga. Untuk ahli keluarga, sememangnya mengiringi kepulangan menyahut panggilan Ilahi ibarat satu penyatuan kebersamaan bagi yang ada dalam menilai kasih sayang yang tak pernah terlafaz. Kita yang tinggal, kasih tak pernah pudar malah makin mendalam dan moga segala kebaikan juga kita lakukan untuk bekalan amal di alam sana kelak. Al-Fatihah untuk kak Chik Jemayah Binti Ibrahim.


No comments:
Post a Comment