Aku berkesempatan
berkunjung ke bumi Jakarta, kota metropolitan yang amat terkenal dengan kesibukan
dan kesesakannya. Bersama para delegasi aku merasai layanan bertaraf VIP, berkenderaan
mewah Alphard siap dengan polis pengiring dan menghuni hotel mewah Four Seasons,
Jakarta.
Aku tidak
mengambil mudah tugasan ke Kota Jakarta ini kerana aku sedar bahawa aku
terpilih atas tanggungjawab yang bukan kecil. Tentunya, selain liputan
pemberitaan pasti aku perlu membuat laporan atas apa yang berlaku sepanjang
kunjungan tersebut. Tentunya ia bukan tugas yang mudah apatah lagi ia
membabitkan urusan bersama dengan partai-partai campuran di Indonesia. Dalam
kecetekan akalku menjangkau situasi politik di Indonesia aku merasai betapa
berbezanya pandangan mereka dengan suasana masyarakat Malaysia. Namun paling
penting, hubungan serumpun dua negara menjadi pengikat, budaya dan agama yang
sama tidak akan dapat memisahkan dua negara bersempadan.




