KOGNISI PENGEMIS TUA- terbit dalam Majalah Tunas Cipta Disember 2005
Kaki lima kedai yang terletak
berhampiran dengan jalan raya disusurinya. Langkahnya perlahan. Lambat-lambat
tetapi masih segak. Sebenarnya dia tidak tahu arah haluannya. Dia sekadar berjalan untuk menghilangkan kebosanan yang menghurung sebentar tadi.
Kesibukan yang dilaluinya sepanjang
kaki lima deretan kedai di bangunan lima tingkat tersebut seakan tidak
meninggalkan kesan. Ternyata percubaannya untuk menghilangkan kecamuk di dalam
fikirannya tidak berjaya.
Orang ramai yang lalu-lalang di
sekelilingnya tidak dihiraukan langsung. Kepanasan suasana juga tidak
diendahkan lagi. Tanpa tahu apa yang akan dilakukannya dan tempat untuk
ditujunya. Akhirnya dia kehilangan punca.
Lantas lelaki itu berdiri di hadapan
sebuah kedai menjual pakaian harian. Longgokan pakaian di tengah-tengah kedai.
Di sampingnya gantungan tanda harga bersama dengan pakaian yang beraneka jenis,
corak dan warna dipandangnya. Patung-patung yang berdiri kaku seakan model
manusia lakunya disusun sepanjang jalan masuk ke dalam kedai.
“Mari bang, masuk tengok baju. Semua
murah saja,” gadis manis menyapa ramah mengajak lelaki itu menjengah ke dalam
kedai pakaian tersebut.
Lelaki itu sekadar mengangguk
perlahan. Lambat-lambat kakinya melangkah masuk ke dalam kedai pakaian
tersebut. Manusia yang ramai di dalamnya membantutkan langkah lelaki itu untuk
maju ke hadapan.
“Kau lari dari kesibukan yang
kononnya menghukum diri kau tapi sekarang kau dekati pula keriuhan,” jerkahan
suara hatinya menghalang lelaki itu untuk meneroka ke seluruh perut kedai
pakaian yang dimasukinya.
“Apa kau ingat ia boleh menenangkan
hatimu!”
“Tidak,” lelaki itu menjawab
perlahan.
“Jadi?”
“Aku cuma menjengah saja.”
“Untuk apa?”
“Aku tak tahu.”
“Jangan menambahkan kebosanan!”
Benar!
“Atau
kau memang sengaja memjemput kebosanan itu agar lebih bertambah, bersemi dan
bertunas di dalam hatimu!”
“Tidak!”
“Jadi?”
Lelaki itu membalikkan badannya dan
kembali melangkah keluar dari kedai pakaian tersebut. Suara ramah gadis manis
yang menjadi jurujual di kedai itu tidak lagi diendahkannya.
Dia mendengar suara hatinya. Itu
lebih baik baginya. Dia memang tidak mahu menambahkan kebosanan yang telah
sedia wujud di sekelilingnya.
Lelaki itu berdiri sejenak di luar
kedai. Dia memandang malas manusia yang berjalan di sekelilingnya. Ada yang
berjalan menuju ke hujung jalan di simpang kaki lima deretan kedai tersebut dan
ada pula yang berjalan bertentangan dengan haluan yang lain. Memang tidak ada
seorang pun yang dikenalinya.
Kemudian lelaki itu melangkah
perlahan. Dan kemudian berhenti lagi. Memikirkan tempat yang hendak ditujunya.
Namun semuanya kontang, fikirannya kering dan enggan mencambahkan sebarang idea
atau memberikan sedikit pandangan kepadanya.
Kosong!
Lelaki itu menyandar malas ke
dinding kedai bunga yang terletak hanya bersebelahan dengan kedai pakaian yang
dimasukinya tadi. Dia menarik nafas dalam-dalam, menyedut udara yang kurang
bersih di sekitarnya dan kemudian melepaskan nafasnya dengan perlahan-lahan.
Sedikit ketegangan yang dirasakannya
sebentar tadi keluar bersama dengan nafas yang dihembusnya. Perlahan-lahan juga
namun masih bersisa. Ketegangan dan kebuntuan fikirannya masih lagi
bertakung. Dia masih tidak tahu akan
arah yang perlu ditujunya.
Ke mana harus pergi?
Pulang ke rumah?
Ya!
Memang dia ingin pulang segera ke
rumah, membaringkan badannya yang kurus tinggi di atas tilam. Memejamkan
matanya sambil merenggangkan otot-otot dan urat sarafnya yang tegang. Setegang
urat saraf dalam fikirannya. Mungkin, urat-urat dan saraf-saraf yang ada di
dalam kepalanya bersimpul-simpul, berselirat dan kusut-masai. Saling mengait
dan saling bertindih serta sukar untuk dihuraikan. Memang terlalu sukar untuk
dihuraikan.
Bagaimana untuk dihuraikan?
Dengan kata-kata?
Dengan perbuatan atau dengan suara
lantang yang akhirnya diikuti dengan jeritan nyaring...?
“Gila!” jerkahan suara dari dalam dirinya
kembali datang.
“Aku bukan gila!”
“Kau memang gila!”
“Tidak!” lelaki itu menjawab tegas.
“Kau gila kerana kau sudah tidak
mampu untuk berfikir lagi.”
“Aku sedang berfikir....”
“Tapi kau tak tahu apa yang kau
fikirkan....”
“Aku sedang berfikir tentang apa
yang aku fikirkan.”
“Itu gila namanya!”
Di akhir kata-kata yang dilampaskan
kepadanya ada ketawa kecil. Memperkecilkan dirinya.
Lelaki itu membiarkan saja dirinya
diketawakan. Lama berkeadaan begitu tapi masih juga tidak dilayannya. Dibiarkan
sahaja. Dan akhirnya ketawa itu hilang.
“Biarkan....”
Mungkin sudah penat. Lantas dia
kembali berfikir tentang arah yang akan ditujunya.
Ke mana harus pergi?
Jika pulang ke rumah....
Memang dia ingin segera sampai ke
rumah. Membersihkan dirinya yang telah diselimuti debu-debu kotor dan asap
kenderaan yang bertali arus. Dia ingin menyegarkan tubuhnya yang layu dan tidak
bersemangat. Segar apabila terkena siraman air sejuk yang akan menjamah
tubuhnya.
Atau, berendam saja di dalam tab
mandi yang dipenuhi dengan buih-buih yang wangi. Tambah menyegarkan!
Memang harus segera sampai ke rumah!
Tapi....
Tidak mungkin untuk pulang ke rumah
dalam keadaan begini. Ketika jalan raya sedang sesak. Tambahan pula bas awam
yang akan membawanya pulang terlalu penuh. Terlalu sesak. Kenderaan di atas
jalan raya semakin bertambah.
Bosan!
Terlalu ramai rupanya manusia yang menghuni
kawasan perumahan tempat tinggalnya. Baru dia sedar kerana selama ini dia hanya
bersendirian memandu keretanya. Tanpa ada orang yang menumpang atau dipelawanya
untuk bersama dengannya kecuali bekas tunangnya.
Bekas tunangnya?
Itu dulu!
Bekas tunangnya yang sesekali akan
dibawanya datang ke rumahnya. Bertemu dengan ibu bapanya atau sekadar singgah
seketika untuk mengambil barang. Tetapi memang terlalu jarang dia membawa bekas
tunangnya itu datang. Bukan sahaja datang ke rumahnya malah dia amat jarang
untuk membawa bekas tunangnya itu keluar bersiar-siar, menonton wayang atau
membeli-belah seperti pasangan-pasangan yang lain. Malah dia amat jarang untuk
bertemu dengan bekas tunangnya. Bukan dia tidak mahu tetapi masanya yang amat
terhad tidak mengizinkan.
Alasan!
Itu bukan alasannya atau sengaja
mencipta alasan tapi bekas tunangnya yang memberikan kenyataan begitu. Mungkin
bekas tunangnya sengaja mencipta alasan apabila berubah hati. Apabila sudah ada
pengganti yang lebih baik.
Dan mungkin juga salah dirinya
sendiri yang tidak pernah memperuntukkan masa untuk bersama dengan bekas
tunangnya. Melayan karenahnya dan memenuhi permintaannya.
Parah lagi hatinya apabila kenangan
melandanya.
Sakit!
Bosan semakin bertambah.
Dan dia tidak mahu memikirkan
tentang perkara itu. Dia mahu melupakan semua peristiwa yang berlaku kepadanya
tetapi mungkinkah dia mampu?
Pulang ke rumah?
Bagaimana?
Untuk pulang menaiki teksi juga
tidak mungkin kerana kenderaan awam itu juga telah ada penantinya sendiri,
mempunyai penumpang masing-masing yang setiap petang akan menunggu. Dan dia
tidak sanggup untuk menunggu bersama-sama dengan mereka. Menjadi patung
bernyawa yang kaku. Menyertai kelompok manusia yang ramai, berbaris rapat
panjang dan menunggu tanpa sebarang bicara.
Memang dia tidak sanggup. Malah
tidak pernah dia berbaris panjang seperti itu semata-mata untuk menaiki
kenderaan awam.
Jemu!
Jika tidak pulang ke rumah ke mana
akan pergi?
Buntu!
“Kau buntu?” Suara itu datang lagi.
“Aku sedang berfikir sekarang ini.”
“Tapi kau buntu!” Kemudian ketawa
kecil. Memang mentertawakan dirinya dan kebuntuan yang dirasakannya.
Dibiarkan saja suara itu. Tidak
dilayannya. Ejekan serta ketawa yang dilontarkan kepadanya juga tidak
diendahkan. Seakan tidak langsung didengarnya.
Biarkan!
Lelaki itu hanya berfikir. Terus
juga berfikir. Berfikir akan arah yang akan ditujunya.
Mencari idea.
Mencari punca.
Mencari tempat-tempat tertentu untuk
dia singgah seketika sementara suasana bosan yang ada di sekelilingnya hilang.
Untuk berpeleseran....
Dia tidak pernah berpeleseran dan
membuang masa dengan sia-sia tanpa arah dan tujuan.
Bosan lagi!
Dia melepaskan keluhan pendek.
Pandangannya beralih dari satu sudut ke satu sudut yang lain. Satu persatu
tingkah manusia diperhatikannya. Mereka berjalan tanpa memandang ke kiri dan ke
kanan. Kaku. Terus saja berjalan seolah-olah tidak lagi mempunyai hati dan perasaan.
Kemudian dia memandang ke sudut
bersebelahan pintu masuk kedai bunga. Kelihatan seorang wanita tua yang sedang
duduk bersimpuh dengan hanya beralaskan sekeping kotak. Sebuah gelas plastik
terletak di hadapannya dan di dalamnya terdapat beberapa sen duit syiling yang
telah dihulurkan oleh manusia-manusia kaku yang lalu-lalang di sekitar kaki
lima kedai tersebut.
Tidak semua yang menghulur.
Cuma segelintir saja.
Cuma beberapa orang.
Bukan menghulur sebenarnya. Mereka
memberi dan mungkin juga mencampak. Sambil lalu, berjalan tanpa berhenti,
menghulurkan tangan dan meletakkan duit ke dalam gelas plastik di hadapan
wanita tua itu.
Semuanya diperhatikan saja.
Lelaki itu memerhatikan wanita tua
tersebut. Wajah wanita itu juga cuba untuk diperhatikannya tetapi tidak jelas
kerana wanita tua itu asyik tunduk memandang gelas plastik yang ada
dihadapannya.
Manusia yang lalu-lalang di
sekitarnya memang kaku.
Benar-benar kaku.
Langsung tidak mengendahkan wanita
tua itu malah seakan-akan wanita tersebut tidak wujud ditempat yang di
dudukinya. Walaupun ada yang menghulurkan wang ke dalam gelas plastik di
hadapan wanita tua itu tetapi tidak menegurnya. Malah langsung tidak memandang
wanita tua itu apa lagi untuk melemparkan senyuman.
Kaku!
Satu persatu perasaan halus menerjah
ruang rongga lelaki itu. Perasaan belas terhadap wanita tua itu lahir secara
perlahan. Betapa malangnya dia sehinggakan terpaksa duduk bersimpuh sedemikian
rupa di kaki lima sambil mengharap huluran dari tangan manusia kaku yang
lalu-lalang di hadapannya.
Mungkinkah wanita tua itu kecewa
seperti dirinya juga?
Terlalu amat kecewa.
Kecewa yang membawa diri wanita tua
itu terlontar jauh dari khalayak masyarakat dan keluar dari rutin harian
seperti insan-insan yang lain. Lalu menjadi seperti ini, menjadi pengemis dan
mengharapkan huluran dari tangan-tangan manusia kaku yang lalu-lalang di situ.
“Kasihan,” tanpa sedar perkataan
tersebut keluar dengan perlahan dari bibir lelaki itu.
Pandangannya tetap tidak lari dari
memerhatikan wanita tua yang masih tidak berubah tingkahnya sedari tadi. Wanita
tua itu tetap tunduk memandang ke bawah. Memandang gelas plastik yang terletak
di hadapannya. Tidak bergerak langsung malah samalah seperti model patung di
dalam kedai pakaian sebentar tadi.
Perasaan belas yang muncul di
benaknya semakin menebal. Lantas lelaki itu menyeluk poket seluarnya. Sehelai
kertas bernot RM 1 sahaja yang ada. Selebihnya adalah wang kertas yang bernilai
lebih tinggi. Bukan RM 5 atau RM 10 tetapi lebih tinggi dari itu. Memang jarang
dia menyimpang wang kecil. Di dalam dompetnya selalu ada wang kertas yang
bernilai tinggi sahaja malah wang yang bernilai RM 1 itu juga sebenarnya adalah
untuk digunakan sebagai tambang jika menaiki bas.
Wang kertas bernot RM 1 dikeluarkan
dari poket seluarnya dan dipandangnya seketika. Niatnya adalah untuk meletakkan
wang kertas tersebut ke dalam gelas plastik di hadapan wanita tua itu.
“Ish, takkanlah nak beri kepada
wanita tua itu RM 1 sahaja sedangkan gaji kau beribu-ribu”
Tersentak lelaki itu mendengar
teguran yang diberikan oleh suara halus di dalam dirinya. Dengan pantas juga
lelaki itu memasukkan wang kertas yang ada di tangannya ke dalam poket
seluarnya semula. Niatnya untuk memberikan wang kertas tersebut mati tiba-tiba.
Lantas dia menoleh ke kiri dan ke kanan.
Bimbang jika perlakuannya dilihat atau diperhatikan oleh orang-orang tertentu
yang lalu-lalang di sekelingnya. Namun manusia yang berlegar di situ memang
benar-benar kaku. Perasaannya kembali lega dan kebimbangan akibat takut
perlakuannya diperhatikan oleh orang lain hilang.
Memang manusia di sekelilingnya
benar-benar kaku. Mereka langsung tidak mempedulikan orang lain. Tidak
menghiraukan tentang apa yang dilakukan oleh orang lain. Tidak mengambil kira
tentang kesibukan yang berlaku di sekelilingnya malah langsung tidak saling
memandang apatah lagi untuk bertegur sapa. Manusia yang ada di situ hanya
berjalan dengan langkah yang pelbagai. Ada yang perlahan, ada yang melangkah
biasa, laju dan ada pula yang seakan berlari-lari anak.
Mungkin mengejar sesuatu.
Lelaki itu kembali memandang wanita
tua yang duduk bersimpuh di sudut kaki lima kedai bunga. Kedudukan wanita tua
itu masih juga tidak berubah. Masih duduk bersimpuh dengan kepala yang tunduk
sahaja.
Simpati lelaki itu menjalar memenuhi
seluruh urat sarafnya. Seluruh anggotanya. Perasaan belasnya juga semakin lama
semakin menebal.
Kemudian lelaki itu melangkah dengan
perlahan menuju ke arah wanita tua di sudut kaki lima kedai bunga. Dia berhenti
di tepi wanita tua itu seketika. Memandang wanita tua tersebut secara dekat.
Ternyata bahawa wanita tua tersebut langsung tidak menghiraukan tentang apa
yang berlaku di sekelilingnya.
Begitu juga sebaliknya. Manusia kaku
yang berjalan di kaki lima deretan kedai tersebut juga tidak menghiraukan
wanita tua tersebut.
Lelaki itu mendekatkan lagi dirinya
kepada wanita tua tersebut. Berdiri seketika di situ lantas mencangkungkan
badannya di sisi wanita tua yang sedang duduk bersimpuh.
“Mak cik...,” lelaki itu menyapa
lembut tetapi tidak ada apa-apa balasan yang diterimanya dari wanita tua itu.
Beberapa saat masa berlalu sepi.
“Mak cik...,” lelaki itu memanggil
sekali lagi dengan nada yang lebih kuat dari panggilan yang sebelumnya.
Lambat-lambat wanita tua itu menoleh
dan memandang ke arah lelaki itu. Pelbagai persolan yang tergambar di raut
wajah wanita tua itu. Matanya yang bulat jauh terperosok ke dalam menampakkan
kecengkungannya. Tidak ada sinar yang terbit dari matanya.
Suram.
Pudar.
Kerut di dahi wanita tua itu menambahkan
lagi kedut-kedut yang telah banyak tergaris di wajahnya. Semuanya diperhatikan
dengan teliti oleh lelaki itu.
Hatinya semakin dipagut rasa belas,
rasa simpati, rasa kasihan.
“Mak cik, rumah mak cik di mana?”
lelaki itu bertanya dengan penuh sopan dan lembut kepada wanita tua tersebut.
Wanita tua yang sedari tadi
menentang pandangan lelaki itu kembali menundukkan wajahnya. Tidak ada sepatah
perkataan pun yang keluar dari bibirnya dan soalan yang diajukan oleh lelaki
itu dibiarkan sahaja tidak berjawab.
Sepi lagi.
“Mak cik...,” lelaki itu memanggil
lagi.
Tidak ada jawapan yang diterimanya
malah perlakuan wanita tua itu seakan tidak mendengar panggilan dari lelaki
yang masih mencangkung di sisinya.
“Mak cik, kenapa mak cik duduk di
sini?” lelaki itu terus menyoal wanita tua tersebut.
Tidak ada jawapan yang diterimanya.
Dia tidak putus harap. Dia mengajukan terus persoalan yang bermain dibenaknya
walaupun tidak mendapat sebarang layanan dari wanita tua itu. Namun dia yakin
bahawa wanita tua itu mendengar soalan yang diajukan kepadanya.
“Mak cik,”
Wanita tua itu kembali mengangkat
wajahnya dan merenung lelaki yang ada di sebelahnya. Wanita tua itu cuba untuk
mencari pengertian di sebalik soalan-soalan yang telah diajukan oleh lelaki itu
kepadanya.
Renungan wanita tua itu
ditentangnya. Kesempatan untuk menatap wajah wanita tua di hadapannya tidak
dilepaskan. Simpati lelaki itu semakin bertambah melihat raut wajah yang
terlalu daif, terlalu sengsara, terlalu menderita.
“Anak ni siapa?” wanita tua itu
bertanya dengan suara yang perlahan. Di perasaannya timbul persoalan yang dalam
akibat hairan dengan soalan-soalan yang diajukan oleh lelaki itu.
Memang hairan.
Malah lelaki itu juga sebenarnya
hairan.
Kenapa dia perlu bertanya
soalan-soalan yang sedemikian kepada wanita tua yang langsung tidak
dikenalinya?
Kenapa dia perlu mengetahui tentang
kekecewaan dan penderitaan yang ditanggung oleh wanita tua itu?
Wanita tua itu masih menentang
pandangan lelaki itu. Menanti jawapan dari persolan yang diajukannya sebentar
tadi.
“Saya bukan siapa-siapa. Saya cuma
orang biasa dan sekadar ingin berbual dengan mak cik.”
Wanita tua itu senyum sedikit lantas
mengalihkan pandangannya. Kembali menundukkan wajahnya. Masa dibiarkan berlalu.
Dan sepi!
Lelaki itu terbiar sendiri
“Mak cik....”
Diam.
“Mak cik,”
“Apa yang nak dibualkan?” wanita tua
itu berkata tanpa memandang lelaki yang masih lagi mencangkung di sebelahnya.
“Apa-apa saja mak cik.”
Dan sepi lagi.
Beberapa ketika suasana tetap sepi.
Lelaki itu menanti.
“Mak cik ni dah tua. Otak dah
berkarat, fikiran sudah rosak, akal sudah mati. Tak ada apa yang nak dibualkan.
Apalah yang mak cik tahu. Anak ni masih muda, tenaga masih kuat, otak masih
cergas, fikiran masih waras, akal masih bijak. Tentulah tak layak nak berbual
dengan mak cik,” wanita tua itu berkata sayu. Ada makna yang tersirat di
sebalik kata-katanya.
Lelaki itu sedikit terpempan.
Terperanjat mendengar bahasa sayu
yang terlontar dari mulut wanita tua di sisinya. Kehibaan yang amat sangat
terkandung di sebalik kata-katanya. Kekecewaan juga lahir berserta dengan
kehancuran yang ada di dalamnya.
Perasaan ingin tahu lelaki itu
terhadap kisah kehidupan wanita tua yang duduk bersimpuh di sisinya semakin
menebal. Mungkin kecewa yang dialami oleh wanita tua ini sama seperti kecewa
yang dialaminya atau mungkin juga lebih dari itu.
“Mak cik...,” lelaki itu
memanggilnya kembali.
Wanita tua itu tidak menjawab. Wajah lelaki
itu juga langsung tidak dipandangnya. Lelaki itu dibiarkan lagi.
Dan sepi pun kembali lagi.
“Mak cik....”
“Hidup.... Macam nilah hidup ni.
Sekejap di atas dan sekejap kemudian di bawah. Dulu senang dan sekarang susah.
Sebab itulah, bila tibanya waktu senang ingatlah orang yang susah dan janganlah
hairan kalau nanti kita dapat susah. Itu semua lumrah namanya.”
Diam lagi.
Lelaki itu memang terdiam mendengar
kata-kata dari mulut wanita tua tersebut. Dia cuba mencari pengertian di
sebalik kata-kata yang dilafazkan oleh wanita itu. Terlalu mendalam.
Mengandungi maksud yang tersirat tetapi lelaki itu cuba mengaitkan kata-kata
tersebut dengan dirinya.
Kehidupan, sekejap susah dan sekejap
kemudian senang. Suka dan duka memang silih berganti dalam hidupnya. Dia juga
begitu. Memang tidak terlepas dari lumrah kehidupan.
Selama ini dia memang merasakan
bahawa dia telah menjalankan segala tugas dan tanggungjawabnya dengan betul.
Tanpa ada yang tertinggal atau ada yang dibiarkan. Tetapi ternyata bahawa
sangkaannya meleset sama sekali. Sangkanya, dia akan dapat mengecapi segala impiannya
seperti yang pernah dirancang.
Tetapi itu juga salah. Semuanya
memang perlu perancangan tetapi tidak semua yang dirancangnya akan benar-benar
terjadi. Malah apa yang terjadi dalam hidupnya ketika ini memang amat
mengecewakan.
Amat menyakitkan.
Hatinya hancur.
Perasaannya lumat
Jiwanya berkecai.
Dia tidak pernah merasa sedemikian
rupa. Tidak pernah terasa sakit. Sesakit yang dialaminya sekarang.
Parah, memang terlalu parah.
Dia kembali memandang wanita tua
yang masih tidak berubah kedudukannya. Tetap duduk bersimpuh dengan wajah yang
masih tunduk. Gelas plastik juga masih berada di hadapannya. Ternyata bahawa
wanita tua itu tidak mempedulikan keadaan di sekelilingnya. Termasuk dirinya
juga.
Tetapi lelaki itu masih juga tidak
berganjak dari tempat dia mencangkung.
“Mak cik, kenapa Mak cik berkata
begitu?”
Wanita tua itu mengangkat wajahnya.
Memandang jauh ke hadapan. Menembusi segala objek yang ada di hadapannya.
Sedikit tersenyum dan kemudian menoleh memandang lelaki itu.
“Apa-apa sahaja yang berlaku dalam
kehidupan sekaranglah yang akan menentukan arah dan tujuan yang seterusnya.
Kita ini sedang hidup. Hidup ini satu pencarian....”
“Satu pencarian...,” lelaki itu
mengulangi ayat yang disebut oleh wanita tua itu. Dia tertarik untuk mengetahui
dengan lebih lanjut tentang ungkapan yang disebut oleh wanita tua itu.
“Memang satu pencarian,” wanita tua
itu mengulanginya semula dan menekankan dengan lebih mendalam. Kemudian
pandangannya dialihkan lagi. Kembali memandang jauh ke hadapan.
“Kita ini hidup dan sedang mencari.
Mencari apa yang kita hajati. Mencari apa yang ada di dalam rongga kita.
Mencari apa yang dimahukan oleh sanubari kita. Mencari apa yang diimpikan oleh
jiwa kita, oleh perasaan kita, oleh nafsu kita, nafas kita dan seluruh...,
seluruh apa yang terkandung dalam jasad kita.”
“Saya kurang faham, mak cik,” lelaki
itu meminta kepastian.
Dia inginkan penjelasan yang lebih
lanjut dari wanita tua yang begitu khusyuk bercakap. Kata-katanya terlalu sukar
untuk dimengertikan oleh lelaki itu. Cakapnya bukan sembarangan. Kata-katanya
juga bukan kata-kata biasa. Terlalu sukar untuk ditafsirkan dan jika ditelusi
dengan lebih mendalam mungkin akan menjadi makna yang lain, makna yang berbeza
dan jauh menyimpang dari definisi yang asalnya.
Berkerut-kerut dahi lelaki itu
memikirkan kata-kata wanita tua yang ada di sisinya. Tafsiran yang bagaimana
harus dilakukan bagi memperoleh makna yang sebenarnya. Tanpa lari landasan yang
asal. Tanpa hilang kesinambungan kata-kata yang terjalin dan tanpa membuang
waktu yang terlalu lama kerana cuba untuk mentafsir kata-kata yang terlontar
sebentar tadi.
Gagal!
Lelaki itu memandang wajah wanita
tua yang masih terus memandang jauh ke hadapan. Mungkin memikirkan sesuatu.
Mungkin juga memikirkan tentang peristiwa-peristiwa lalu yang pernah dialami
olehnya.
“Mak cik,” lelaki itu memanggil
semula wanita tua tersebut apabila terasa bahawa dirinya sudah tidak diendahkan
lagi.
Wanita tua yang khayal sebentar tadi
sedikit terperanjat mendengar panggilan lelaki itu. Dia menoleh dan memandang
wajah lelaki itu. Lama pandangannya di situ. Kemudian dia senyum sedikit.
Garisan-garisan tua yang terlukis di wajahnya bertambah akibat senyuman
tersebut.
“Saya tak faham kata-kata mak cik
tadi.” Lelaki itu jujur berterus-terang.
Wanita tua itu senyum lagi. Lebih
lebar dari tadi seyumannya. Seyuman yang menampakkan beberapa batang giginya.
Kuning dan sedikit kehitaman.
“Kau takkan faham,” jelas wanita tua
tersebut menjawab lambat permintaan lelaki itu. Senyumannya telah hilang.
Wajahnya kembali sayu.
Kemudian wanita tua itu kembali
menundukkan wajahnya. Duduknya dialihkan sedikit. Simpuhnya diperbetulkan.
Dikemaskan. Kain batik yang terselak di hujung kakinya ditarik menutup kembali
hujung kakinya.
Lelaki itu sempat menjeling ke
hujung kaki wanita tua tersebut. Hitam dan berkeladak. Mungkin akibat berjalan
tanpa menggunakan kasut atau selipar. Ternyata bahawa wanita tua ini hanya
berkaki ayam sahaja. Perasaan lelaki itu tersentuh lagi. Terasa kedaifan wanita
tua itu telah turut menyelubungi hidupnya.
“Kau masih muda kerana itu kau tidak
faham apa-apa. Kau belum mencari lagi,” wanita tua itu menyambung kata-katanya
dengan sebaris ayat. Penuh dengan tanda tanya.
“Mencari apa mak cik?”
“Kau baru hendak memulakan pencarian
sebenarnya.”
“Pencarian?”
“Ya. Kau baru mula hendak memburu.
“Memburu?”
“Ya, lebih tepat lagi memburu kerana
kau tidak pernah tahu akan apa yang terbentang di depanmu. Kau cuma ada impian
sekarang ini. Tidak tahu apa yang akan berlaku malah tidak ada sesiapa yang
tahu apa yang bakal dihadapinya. Apa yang terjadi semalam berbeza dengan hari
ini. Hari ini juga tentu tidak sama dengan apa yang bakal berlaku esok. Itu pun
jika sampai ke esok. Jika tidak maka tamat saja hari ini,” wanita tua itu kembali
menyambung kata-katanya. Menjawab pertanyaan lelaki itu dengan persoalan juga.
Lelaki itu tidak berkata apa-apa.
Dia hanya mendengar sahaja ayat-ayat yang tertumpah dari mulut wanita tua itu.
Namun fikirannya ligat. Ligat mencari punca dari kata-kata yang disebutkan oleh
wanita tua tersebut.
Di tidak mengerti.
Kehidupan?
Mencari?
Memburu?
Semuanya dia tidak pasti.
Tapi lelaki itu tahu bahawa
kata-kata yang keluar dari mulut wanita tua itu adalah kehidupannya.
Pengalamannya dan juga kenangannya. Dia memang yakin bahawa kata-kata tersebut
adalah lahir dari rasa kekecewaan yang terlalu dalam. Rasa sedih yang amat
sangat. Memendam rasa akibat kejadian-kejadian yang telah menimpanya pada masa
lalu. Semuanya memilukan. Memang terlalu memilukan.
Lelaki itu ingin menyelaminya.
“Bolehkah mak cik jelaskan apa
maksud kata-kata mak cik tadi,” lelaki itu meminta kepastian dari wanita tua
itu.
Fikirannya yang memang sedia telah
bercelaru semakin bertambah lagi apabila memikirkan kata-kata yang memang amat susah
untuk ditafsirkan olehnya. Kata-kata wanita tua itu.
Payah!
Wanita tua itu kembali memandang
wajah lelaki itu. Direnungnya seketika dan kemudian pandangannya dialihkan ke
sekelilingnya. Memandang manusia-manusia yang berjalan di kaki lima deretan kedai.
Seketika cuma dan seterusnya dia kembali memandang kepada lelaki itu. Juga cuma beberapa detik lantas terus
mamandang jauh ke hadapan.
Semuanya diperhatikan oleh lelaki
itu. Memerhatikan perlakuan wanita tua tersebut. Manusia yang lalu-lalang di hadapannya
tidak diendahkan.
Mereka Kaku.
Hanya wanita tua itu yang
dipandangnya.
Kasihan.
Benar-benar kasihan.
“Semua orang tak sedar. Tak sedar
bahawa masa akan berlalu dan tak akan tetap kekal seperti apa yang ada
sekarang. Hari ini berbeza dengan hari-hari yang sebelumnya tapi mereka
mengandaikan bahawa hari ini dan bila-bila juga sama. Itulah perkara yang
menjadikan kita ini lalai. Tidak terikut dengan peredaran. Kononnya ada
pembaharuan tapi mana kalau kita sendiri yang tidak sedar dengan kata-kata yang
diucapkan oleh mereka.”
Diam lagi.
“Tapi mak cik bukankah kita
merancang?”
Lelaki itu tidak mahu lagi
membiarkan masa berlalu dengan sepi tanpa ada sebarang bicara diisi. Wanita tua
itu tersenyum mendengar protes yang dituturkan oleh lelaki itu.
“Hari ini kita memang boleh
merancang macam-macam tapi belum tentu jawapan pada kenyataan yang kita peroleh
hari esok adalah sama dengan apa yang kita kehendaki. Sebenarnya hari ini
merupakan hari yang paling penting, paling penting bagi aku, kau yang masih
muda dan semua manusia-manusia yang ada di sekeliling kita. Semua orang tak
sedar tentang kenyataan tersebut.”
Persoalan yang terkandung di fikiran
lelaki itu semakin bertambah.
“Apa yang pentingnya hari ini? Saya
tak faham,” lelaki itu menunjukkan ketidakmatangannya secara langsung kepada
wanita tua tersebut.
Wanita tua itu membiarkan sahaja.
Namun kadang-kala dia senyum sedikit. Gelagat lelaki itu menggelikan hatinya
sendiri. Lelaki yang masih mentah dan tidak mengenal apa-apa. Persis bayi yang
baru nak mengenal dunia.
“Kenapa hari ini penting?” wanita
tua itu mengulang semula pertanyaan lelaki itu sambil memandang wajahnya.
Lalaki itu mengangguk. Mengiakan soalan yang dikemukakannya.
Wanita tua itu senyum lagi. Kesayuan
yang terkandung di wajahnya semakin pudar. Keceriaan mula terlihat sedikit demi
sedikit.
“Sebenarnya hari ini merupakan hari
yang paling penting kerana bermula dengan hari inilah perancangan untuk hari
esok akan dilakukan. Perancangan perlu dibuat setelah melalui pengalaman
semalam kerana titik-titik kesedaran inilah yang akan memberi ruang dan peluang
untuk membaiki diri. Kalau manfaatkan hari ini sebaik mungkin, maka pelbagai
masalah akan dapat dikurangi esok.”
Wanita tua itu berhenti berbicara.
Memandang wajah lelaki itu yang sedang khusyuk mendengar.
“Faham?” wanita itu bertanya
sepatah. Meminta kepastian dari lelaki yang berada di sisinya.
Lelaki itu mengangguk.
Wanita tua itu senyum lagi.
“Kita mungkin akan menghadapi
tekanan dan berada dalam kebingungan hari ini tetapi selagi hari ini adalah
lebih baik dari semalam maka tentulah esok dan hari-hari yang mendatang akan
menjanjikan sesuatu yang terbaik juga. Tapi jika sebaliknya, maka bangkitlah
dari kegagalan.”
Lelaki itu mengangguk-angguk
perlahan. Bersetuju dengan kata-kata yang disuarakan oleh wanita tua itu.
Tetapi ada sesuatu yang tidak kena.
Lelaki itu berfikir semula.
Kata-kata wanita tua itu memang benar, bernas dan tidak ada yang salah tetapi
kenapa kata-kata yang dihujahkan oleh wanita tua itu tidak sama dengan apa yang
dilakukannya.
Kata-kata wanita tua itu penuh
dengan semangat tetapi perlakuannya menggambarkan sebaliknya. Patah harapan,
kecewa dan hidup dalam terasing.
“Tapi mak cik, kenapa mak cik di
sini?” pertanyaan asal lelaki itu muncul semula.
Sejurus dengan soalan yang diajukan
oleh lelaki itu, wanita tua tersebut pantas menoleh dan memandang tajam wajah
lelaki itu.
Keceriaan yang tergambar sebentar
tadi hilang serta merta. Wajah wanita tua itu bertukar merah. Matanya juga
turut dicerlangkan.
“Kau siapa nak tahu macam-macam
pasal aku!” wanita tua itu berkata kasar lantas bangkit dari simpuhnya,
mencapai gelas plastik yang ada dihadapannya tadi dan terus pergi dari situ.
Tanpa membetulkan kainnya, tanpa mempedulikan keadaan di sekelilingnya, tanpa
memandang kepada lelaki itu dan berjalan laju tanpa menoleh lagi ke belakang.
Lelaki itu tergamam dengan perlakuan
wanita tua tersebut. Dia tidak berbuat apa-apa.
Kaku.
Pandangannya menyorot langkah laju
wanita tua tersebut. Persoalan yang ada di dalam kepalanya tidak terjawab.
Malah semakin bertambah. Nyata bahawa kecewa wanita tua itu lebih parah dari
kekecewaannya hinggakan dia tidak mahu ada sesiapa yang cuba untuk menyelami
masa lalunya.
Lelaki itu bangkit dari cangkungnya.
Berdiri di situ. Kakinya terasa sedikit lenguh kerana terlalu lama mencangkung.
Memang baru dirasanya. Beberapa orang yang lalu dihadapannya menoleh melihat
perlakuannya yang memicit-micit kepala lututnya. Lantas lelaki itu berdiri
semula. Tegak dan meluruskan badannya. Bimbang jika dirinya menjadi perhatian.
“Kau bodoh!” suara itu menjelma
semula.
“Kenapa?”
“Kau memang bodoh!” tuduhan yang
semakin keras.
“Kenapa kau kata aku bodoh?”
“Patutnya kau tak perlu bertanya apa
yang dia tak suka.”
“Apa yang dia tak suka?”
“Apa yang kau tanyalah, bodoh!”
“Apa yang aku tanya?”
“Kau tanya pasal dia!”
“Jadi?”
“Itu
tak perlu”
“Tapi....”
“Tapi apa?”
“Aku cuma nak tahu saja.”
“Sebenarnya, kau tak perlu
pertikaikan siapa dirinya tetapi kau perlu ambil kira tentang apa yang telah
diperkatakan olehnya. Kata-kata wanita tua itu semuanya betul. Tidak ada yang
salah. Kau memang perlu tahu tentang itu semua tetapi kau menyimpang. Kau
memang bodoh!”
“Tapi apa yang dia kata tak sama
dengan apa yang dia buat. Dia bercakap pasal harapan, pasal perancangan, impian
dan macam-macam lagi sedangkan dia sendiri tak ada harapan, tak ada
perancangan, tak ada impian. Hanya duduk di sini saja,” lelaki itu cuba membela
dirinya.
Dia tidak mahu dirinya dianggap
bodoh lagi. Dia benar-benar terasa.
“Tak payah kau nak tahu pasal orang
lain tapi yang paling penting kau fikirkan apa yang dia cakap.”
“Aku tak mahu jadi macam orang lain”
“Apa?”
“Aku tak mahu jadi kaku. Aku bukan
patung.”
“Kau rasa kau begitu?
“Aku tak mahu jadi begitulah!”
“Itulah yang sebenarnya kau kena
faham.”
“Apa ?”
“Kau perlu mempunyai tujuan sendiri.
Bukan bingung dan tidak tahu arah dan haluan.”
Lelaki itu terdiam. Dia tidak
menjawab.
“Sekarang, apa perancangan kau,
sudah kau buat? Sudah kau fikirkan arah dan haluan kau selepas ini? Sudah kau
pahatkan impian di dalam hatimu untuk hari-hari esok. Seperti yang wanita tua
itu katakan, sudah kau lakukan semuanya?”
“Bukankah aku sedang berfikir?’
“Berapa lama kau nak berfikir?
Diam.
“Terlalu susahkah memikirkan haluan
dan tempat untuk dituju sedangkan masa tidak pernah mahu untuk menunggu kau!”
Lelaki itu terpana mendengar
persoalan-persoalan yang dikemukakan kepadanya. Memang dia terlupa pada tujuan
asalnya.
Keluhan pendek dilepaskan. Dia
meraup wajahnya dengan kedua belah tapak tangannya
Ah!
Lelaki itu kembali memandang ke
sekelilingnya. Suasana tetap tidak berubah. Manusia yang kaku masih lagi ada
tetapi sudah tidak seramai tadi. Cuaca juga telah semakin suram. Baru
disedarinya.
Lalu, dia melangkah.
No comments:
Post a Comment