Thursday, 17 October 2013

Menu Kulit Lembu

Hari Raya Korban maka sembelihan lembu dilaksana. Sebelum ini aku hanya mendengar menu kulit lembu namun kali ini berkesempatan melihat sendiri proses pembersihan. Abang Bullah memang gemar dengan makanan eksotik malah saban tahun ada saja yang dibuatnya. Berkunjung ke rumahnya tahun lalu abang Bullah sibuk dengan kaki lembu dan kali ini sibuk pula dengan kulit lembu. Pernah juga dengan perut lembu dan entah apa-apa lagi. Memang sedari kecil abang Bullah tidak cerewet tentang makanan, apa sahaja terhidang dia akan makan. Jauh berbeza jika dibanding dengan abang Hakim yang sedari kecil amat memilih soal ikan dan dewasanya langsung tak makan ikan pula. Aku... belasah saja apa yang ada.

Wednesday, 16 October 2013

Aidiladha 1434H

Hari Raya Korban...tiada apa yang istimewa untuk diraikan tahun ini. Kamu sekeluarga pulang ke Gombak selepas perancangan untuk balik kampung terbatal lantaran aku tidak ada cuti. Kasihan Mr. Hubby yang tentunya syahdu kerana tidak dapat berkumpul bersama adik-beradiknya yang menyambut korban di rumah sebagaimana tahun yang lalu. Kebetulannya Mr. Hubby dan aku sendiri turut sama berkorban, namun pengorbanan Mr Hubby yang memahami kerjaya aku lebih bererti. Sokongan dan dorongan yang tidak pernah padam. Sememangnya, bagi seorang isteri yang berkerja, restu dan keredhaan suami akan memudahkan lagi urusan dalam kehidupanku seharian. Aku melalui hari-hari tanpa rasa resah dan gelisah hanya kerana aku akur bahawa Mr Hubby sentiasa di sisiku.

Cuti hari raya haji aku habiskan dengan bermalas-malasan di hadapan tv sedang anak-anak mengikut abang Hakim ke surau. Di sebelah petangnya barulah kami ke Padang Balang berkunjung ke rumah mamang Dollah dan kemudian ke Ampang sebelum pulang ke rumah. Cukuplah untuk Aidiladha ini kerana aku perlu terus bekerja.

Wednesday, 2 October 2013

Labbaikallahumma Labbaik...

 Alhamdulillah. Kegembiraan berganda-ganda mengiringi perjalanan suci kakak Yeye ke tanah suci Mekah. Sekian lama menanti akhirnya berpenghujung apabila khabar gembira dimaklumkan kepadaku. Sememangnya, aku teruja untuk bersama-sama mengahantar kakak dan abang ke Kompleks Tabung Haji. Tugasan di pejabat aku langsaikan dengan segera dan bersama Mr. Hubby kami berkumpul mengiringi perjalanan kakak dan abang.

Sunday, 22 September 2013

Sematkan Patriotisme Di Hari ATM ke-80

Sememangnya apabila ada pemeran melibatkan anggota keselamatan, aku yang lebih teruja untuk membawa anak-anak mendekatinya. Apatah lagi, Ameer dan Nina sangat suka dengan badan beruniform sehinggakan acapkali cita-cita yang diluah adalah membabitkan polis dan bomba. Aku tidak kisah... apa sahaja cita-cita anak-anakku akan aku sokong, dengan cita-cita terbabit mereka akan menyemai sifat patriotik dalam jiwa dan memahami tanggungjawab kepada bangsa dan negara. 

Tuesday, 17 September 2013

Rumah Raksasa dan Dinosaur di Marina Putrajaya

 Aku tertarik dengan iklan Pameran Rumah Raksasa dan Dinosaur di Putrajaya lantas kunjungan bersama keluarga dibuat pada cuti Hari Malaysia 16 September 2013. Pameran ini telah bermula sejak 31 Ogos lalu dan akan berakhir pada 28 Februari 2014 dengan mendedahkan kepada orang ramai mengenai pendidikan prasejarah dan saintifik.

Monday, 16 September 2013

Wanita: Kisah dan Tauladan

Telah lama niat untuk dikongsi kisah para wanita di sekelilingku yang mempunyai kisah hidup memeritkan, kecewa dan derita namun hidup tetap diteruskan. Bagi mereka, hidup adalah satu perjuangan... dan kekuatan utama adalah anak-anak yang menjadi azimat. Berat mata memandang manakan sama dengan berat baru yang memikul. Dalam kepayahan melalui liku-liku kehidupan, keluhan tidak pernah diluah, airmata jarang sekali dihambur malah di bibir tetap senyuman yang tersulam. Sebagai wanita, sebagai isteri dan sebagai ibu.... sungguh aku amat terharu melihat penderitaan para wanita ini. Dalam kehidupanku sendiri, aku merasa syukur atas limpahan kurnia-Nya padaku. Aku insaf, barangkali nikmat kesenangan yang dilimpahkan padaku perlu dikongsi dengan mereka... aku perlu bersama-sama mereka, memberi sokongan dan menghulur pertolongan agar beban tergalas mampu jua dibantu serba sedikit. Mohon pada-Mu Ilahi, kuatkanlah iman para wanita ini dan tabahkan hati mereka atas segala ujian yang diberi....

Wednesday, 11 September 2013

Gold Coast Morib - Kami Datang...

Kerapkali percutian dibuat tanpa perancangan rapi dan kemudiannya itulah yang menjadi realiti. Sememangnya, perancangan untuk ke taman tema Gold Coast Morib telah lama dibuat, malah tempahan terbuka untuk tiga bilik telah dilakukan sejak awal Januari lalu namun asyik tertangguh. Memang pasti pergi tetapi tak tahu bila. Dari keterujaan anak-anak dan kemudiannya tenggelam lantaran terlalu lama janji tidak ditepati maka ia menjadi realiti dikala para pelajar darjah enam berdepan UPSR. Bercuti bukan dihujung minggu memang berbeza, suasana sunyi...nyaman dan tidak ramai pengunjung. Riuh-rendah hanya suara kami sekeluarga.

Saturday, 31 August 2013

Lipatan Kenangan Aidilfitri

Semakin bertambah usia, terasa pelbagai kenangan lalu amat berharga. Setiap detik terasa mahu diulit satu persatu. Indah-indah belaka. Dari alam kanak-kanak, usia remaja dan meniti dewasa hinggalah ke alam rumahtangga dan dunia kerjaya. Kesemuanya mempunyai nilai yang amat tinggi. Setiap saat adalah memori yang bermain difikiran. Tatapan pada foto yang ada tidak cukup untuk melepaskan kerinduan kerana setiap saat, ada sahaja peristiwanya yang tetap segar diingatan.

Tuesday, 27 August 2013

Silaturrahim Aidilfitri

Indahnya apabila Aidilfitri diaplikasi dalam suasana kekeluargaan, diterjemah dengan semangat kerjasama dan saling bantu membantu dengan satu tujuan, meraikan tetamu, mempererat silaturrahim dan memperkukuh ukhwah bersama. Dalam kelansungan suasana kerja yang tidak pernah bernoktah, sememangnya apabila ada sesekali pengisian bersifat kerohanian maka tentunya ia memberi manfaat yang cukup bermakna.

Monday, 26 August 2013

Makan-makan Hari Raya

Ramai yang sibuk dengan rumah terbuka Aidilfitri. Aku cuba memenuhi undangan namun tidak semua yang dapat dihadiri kerana mendahulukan yang lebih utama - sanak saudara dan ahli keluarga sendiri. Ramai juga yang menyampaikan hajat untuk bertandang ke rumah, nak berhari raya di Puncak Jalil pula. Antara kata mereka, kononnya rumah aku jauh. Ini kerana ramai adik-beradik dan keluargaku yang bertumpu di Gombak saja. Setelah berbincang dengan Mr. Hubby maka kami pilih hari Ahad, 25 Ogos sebagai tarikh untuk makan-makan hari raya. Bukan rumah terbuka kerana aku tidak buka jemputan kepada semua kenalan, malah rakan-rakan Mr. Hubby pun langsung tak diberi maklum.

Tuesday, 13 August 2013

Duka dan Ceria Syawal 1434

Selepas melalui Ramadan yang terasa terlalu pantas, Syawal menjelma dengan pelbagai suka duka terisi. Ada macam-macam cerita dan tentunya Aidilfitri ini amat berbeza dengan tahun-tahun yang lalu. Pertamanya, perancangan untuk berbaju raya sedondon tidak berlangsung lancar. Puncanya baju raya tak siap. Cuba memahami namun masih ada sekelumit rasa terkilan. Tema yang dipilih tahun ini ialah ungu. Baju aku tak siap, begitu juga baju bapak tapi mujurlah baju Melayu Mr. Hubby dan anak-anak dilunaskan. Penyelesaiannya aku berbaju raya dengan pakaian yang dibeli pada malam raya di Jalan TAR.