Wednesday, 26 February 2014

Rheumatic, Kesihatan dan keluarga

Amira telah di rumah... mujur hanya berada di wad tiga hari, setelah sakitnya dikenal pasti, ubat diberikan dan beransur-ansur kesakitan di kakinya surut. Sudahnya Amira dapat kembali ke rumah dengan bekalan ubat selama sebulan, namun doktor memberikan cuti rehat selama seminggu untuk dia benar-benar pulih dan dapat melakukan aktiviti harian.

Amira perlu menelan ubat lima biji sekali makan untuk empat kali sehari, maknanya 20 biji untuk satu hari.

Friday, 21 February 2014

Amira dan Acute Rheumatic Fever

Dua hari Amira ditempatkan di wad pediatrik, namun apa penyakitnya masih gagal diketahui. Semasa mula-mula ke hospital, doktor yang merawat mengatakan kemungkinan arthitis iaitu penyakit berkaitan sendi. Latar belakang keluarga antara aku dan Mr Hubby diselidik dengan teliti namun antara kami tiada yang berpenyakit sedemikian atau yang seangkatan dengannya, termasuklah SLE sekalipun. Kami juga bukanlah berkahwin di kalangan saudara yang dekat kerana latar belakang antara kami amat jauh berbeza. Faktor genetik diambil kira namun hasilnya negatif. Soal selidik berkaitan kesihatan Amira dibuat, dari segi teknikalnya sekalipun. Amira tidak pernah jatuh malah dalam diam aku berbual-bual dengannya bertanya secara langsung dari hati ke hati. Amira dengan jujur mengakui tidak pernah terjatuh. Ujian darah dan air kencing dilakukan kepada Amira, permeriksaan x-ray dibuat pada kaki Amira, ECG diambil, pemeriksaan jantung dan organ dalaman juga dilakukan bagi mengetahui segala punca. Kemudian pemeriksaan tulang dilaksanakan oleh sekumpulan pakar orthopedik. 

Thursday, 20 February 2014

Apa Sakit Amira?

Amira tak sihat. Amira sakit. Sepulangnya dari bercuti di Melaka dia telah diserang penyakit tangan, kaki dan mulut (hand, foot & mouth diseases – HFMD). Bermula dengan demam dan kemudiannya diikuti dengan bintik-bintik di kaki dan tangan, lantas Amira terpaksa dikuarantin selama seminggu. Kementerian Kesihatan Daerah pun ada menghubungiku untuk bertanya punca dan tempat permulaan ia berlaku. Ini dibuat sebagai langkah untuk mencegah kerana penyakit ini berjangkit melalui peredaran virus dalam udara, namun mana mungkin aku tahu puncanya kerana barangkali Amira mendapat penyakit ini ketika kami bercuti di Melaka.

Sunday, 16 February 2014

Afrina Empat Tahun


Tarikh 16 Februari adalah hari kelahiran Nur Afrina Farisha. Dia lebih bersemangat untuk menyambutnya dengan meminta untuk memotong kek dan menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi. Sebagaimana kebiasaan, sambutan dibuat dengan Achik kerana tarikh kelahiran hanya berselang sehari sahaja. Genap Afrina empat tahun dengan keletahnya yang amat menceriakan. Karektornya berbeza dengan Amira dan Ameer. Dia tidak suka melawak, sebaliknya dia lebih tegas dan serius. Tidak suka dipersenda dan dipermainkan dengan mempunyai pendirian kukuh. Kalau A katanya, maka dia tidak akan berganjak kepada B. Jika itu yang dia mahukan maka itulah yang perlu diberi kepadanya. Namun dia gemar membantu, mudah dibawa berbual dan tidak segan menjawab jika disapa, namun untuk memesrainya sebagai teman ambil masa.

Thursday, 13 February 2014

Angan-angan, Impian & Cita-cita

Pelbagai impian nak dicapai. Macam-macam angan-angan yang bermain dalam minda. Ada cita-cita yang sedang diusahakan. Bermula dari angan-angan... memasang impian dan kemudian menyulam cita-cita yang bakal menjadi kenyataan. Ada yang sedang diusahakan... sudah bertahun-tahun tapi harap ia akan menjadi realiti tahun ini. Pepatah biar lambat asal selamat menjadi biar lambat asal dapat, jangan lambat langsung tak buat.... Jiwa membara, ibarat tenaga masih muda sedangkan tanggungjawab tergalas menggunung minta dilaksana. Yang mana satu perlu didahulukan akan diutama dan tentunya keluarga adalah segalanya.

Apa yang nak dilaksanakan? Persoalan itu yang perlu dijawab. Kemudian, gariskan perancangan berdasarkan kepada keperluan dan ruang masa yang ada. Apa yang perlu dilakukan dan bagaimana mahu diusahakan.  Aku ada 1, 2, 3 dan 4 impian untuk tahun ini....

Monday, 3 February 2014

Bercuti - Bandar Bersejarah Melaka

Sempena cuti tahun baru Cina, kami bercuti lagi. Kali ini percutian amat berbeza berbanding sebelum ini. Tiada perancangan untuk ke tepian laut sebaliknya kami berkunjung ke kota bersejarah, Negeri Melaka. Sambil bercuti kami memberi pengisian berkaitan masa lampau kepada anak-anak. Seringkali kami mendengar rungutan susahnya belajar sejarah namun aku pasti ianya boleh dipupuk dari kecil, memberitahu apa yang berlaku dan tentunya mereka sendiri mahu menyelami sebab dan akibat akhirnya Melaka tidak bersultan biarpun sebelum ini gemilang dengan era kesultanannya.

Wednesday, 29 January 2014

Kenangan Lalu Dalam 'Gajiku Sepasang Kasut Seorang Menteri'

Dalam berdepan kos sara hidup yang meningkat, teringat pada untaian tulisan Sasterawan Negara dalam puisinya 'Suara Dari Pusara' (1968) yang bertulis 'gajiku sepasang kasut seorang menteri'. Ayat tersebut adalah satu analogi, dengan perbezaan antara dua darjat. Golongan atasan dan bawahan melalui perbandingan sepasang kasut sahaja. Ini kerana bagi orang berada tentunya berpuluh-puluh pasang kasut dimiliki dengan harga sepasang mencecah ribuan ringgit sementara bagi golongan bawahan, jangankan bermimpi untuk berkasut mewah kerana adakalanya kasut sekolah anak-anak pun tidak berganti biarpun telah lusuh dan koyak.

Wednesday, 15 January 2014

Media Baru Yang Baru Penuh Merapu...

Media sosial sudah semakin banyak 'bersosial'. Antara kebenaran dan kepalsuan saling bercampur-baur. Kemanisan dan kepahitan bercantum menjadi satu yang akhirnya segala kebaikan tenggelam dek banyaknya kata-kata fitnah yang berlegar. Seakan diri terbeban enggan menanggung pelbagai kemusykilan dalam media arus semasa yang tampak ketika ini sangat menggila. Bermula penggunaan internet, menular media baru yang segalanya amat mudah, dunia di hujung jari dan dengan sekali 'klik' apa-apa sahaja info boleh diperoleh. Namun, jangan pula lalai untuk menapisnya kerana info yang diperoleh dengan semudah satu 'klik' ini pula belum tentu kebenarannya.

Wednesday, 8 January 2014

Amira Sembilan Tahun...

 
  Hari ulang tahun kelahiran Amira 7 Januari. Genap usianya sembilan tahun. Kematangannya sudah terserlah dan banyak perbualan seharian kami lebih bersifat pemahaman dan penerangan. Sifat keanak-anakannya semakin berkurangan. Lebih gemar berada dalam biliknya sendiri dengan bahan tulisan atau melakukan perkara-perkara yang diingininya. Kali ini tiada majlis jamuan atau sambutan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Kebetulan jatuh pula pada hari Selasa. Namun pagi itu, sebelum ke sekolah kami lakukan kejutan dengan meraikan bersama adik-adiknya. Lantaran Mr Hubby kerap pulang lewat malam maka kami meraikannya sebelum mereka bersekolah. Ceria wajahnya, dan tertentunya terperanjat kerana pagi-pagi lagi kek telah dihidangkan.

Tuesday, 31 December 2013

Menjelang Tahun Baru 2014

Apakah perkara utama apabila menjelang tahun baru? Keadaan tentunya berbeza, dari usia kanak-kanak, remaja dan alam rumah tangga. Bagi diriku yang sudah mempunyai anak-anak maka tentunya alam persekolahan mereka menjadi keutamaan. Persediaan untuk sesi persekolahan baru adalah satu kemestian. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Dikongsi bersama Mr. Hubby untuk melakukan yang terbaik kepada anak-anak. Namun barangkali benar, wanita terlalu cerewet... sedangkan kaum Adam lebih santai dan bersahaja walhal banyak perkara yang masih belum selesai....

Sunday, 22 December 2013

Percutian ke Krabi - Hatyai & Phuket

Perancangan bercuti menjadi agenda penting Disember ini. Seperti biasa, apabila pulang ke kampung Mr. Hubby di Utara maka pasti ada rancangan untuk bercuti. Segalanya berlangsung lancar. Mr Hubby yang menguruskan perancangan bersama-sama kawan-kawannya. Konvoi bersama lima buah kereta untuk ke Krabi. Katanya, percutian inilah hadiah sempena 10 tahun ulang tahun perkahwinan kami. Seusai subuh, kami berkumpul dan berkonvoi ke Bukit Kayu Hitam. Awal pagi bertolak tapi banyak kenderaan yang berderetan di imegresen menuju ke sempadan.

Thursday, 12 December 2013

Sedekad Berlalu...

Genap 10 tahun, suatu waktu yang bukan sekejap... Melalui kehidupan dalam satu perkongsian, sepanjang sedekad bersama-sama. Dalam kedukaan, dalam kepahitan, dalam penderitaan... apabila berjaya melaluinya maka itulah kemanisan, kegembiraan dan kebahagiaan. Kepercayaan yang diberikan adalah satu pengiktirafan terindah buat seorang isteri juga kepada Sang Suami. Memberi dan menerima, tanpa ada salah sangka, apatah lagi untuk mengharapkan yang sempurna kerana akur bahawa inilah pasangan terbaik dari Ilahi. Alhamdulillah.