Saturday, 17 March 2012

Hari Keluarga UMNO Putrajaya 2012


Atas tuntutan tugasan, aku berkunjung ke Hari Keluarga UMNO Putrajaya 2012 yang berlangsung di Stadium Pancarona, Presint 18 di sini. Lantaran enggan keseorangan, aku bawa Amira bersama. Sikap Amira bersahaja, spontan dan tidak mengendahkan keadaan sekeliling apatah lagi apabila bersama Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor. Namun demikian, aku tidak berada lama di situ, lantas seusai sahaja tugas kami bergegas pulang tanpa menunggu semua acara berakhir.

Friday, 13 January 2012

African National Congress – KL – Doha – Afrika Selatan


Kepercayaan yang terlalu besar diberikan padaku apabila dipilih untuk menyertai delegasi UMNO ke Kongres Nasional Afrika ke-100 tahun di Bloemfontein, Afrika Selatan. Bumi asing yang tidak pernah aku mimpi untuk dikunjungi.

Tarikh 5 Januari hinggalah ke 10 Januari, perjalanan yang aku rasakan amat jauh. Bermula di KL, terus ke Doha dengan tempoh dalam pesawat selama 8 jam, kemudian transit selama 12 jam dan disambung semula ke Johannesburg 8 jam sebelum perjalanan 45 minit ke bandar Bloemfontein.

Friday, 6 January 2012

Anak Mula Alam Persekolahan....


Tahun Baru 2012 ada kelainan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Pertama kali Amira akan menjejakkan kaki bersekolah di Sek . Ren. Keb Bandar Kinrara 1. Debaran aku mengalahkan Amira yang nampaknya sangat bersahaja dan ceria menjelang alam persekolahan.

Mujurlah urusan berkaitan persediaan persekolahan Amira telah dibuat awal, bermula dari kelengkapan pakaian dan keperluan peralatan sehinggalah kepada pengangkutan dan barangan berkaitan. Dalam masa yang sama, Ameer juga bergitu bersemangat untuk bersekolah. Biarpun pada perancangan awal Ameer hanya akan dihantar ke Smart Reader Kids tahun depan tetapi ia berubah lantaran semangat mahu bersekolah yang ditunjukkan.

Monday, 12 December 2011

Lapan Tahun Saling Melengkapi...


Usia perkahwinan genap 8 tahun... alhamdulillah kerana sepanjang tempoh ini aku dan Mr. Hubby saling mengenali, bertukar pandangan dan saling melengkapi lantaran banyak perbezaan antara kami berdua. Semoga ikatan perkahwinan yang terbina atas sulaman cinta dan kasih dengan restu keluarga akan berkekalan hingga ke akhir hayat. 

Di awal perkahwinan aku amat ghairah dengan sambutan tarikh perkahwinan hinggakan saban bulan aku meraikannya...

Antara catatan Untuk Mr. Hubby: 

Sunday, 11 December 2011

Tanah Tinggi Cameron Highlands



Bercuti ke Tanah Tinggi Cameron Highlands. Perancangan secara tiba-tiba, tapi menjadi pula…. Kata Mr. Hubby kesian pada anak-anak yang banyak terperap di rumah biarpun cuti sekolah. Lagi pula biasanya percutian hanya di tepian pantai sahaja. Mujur bapak mudah dipujuk untuk turut serta walaupun pada mulanya enggan. Aku akur bahawa dalam usia tua bapak tentunya dia mahu bersantai dirumah sedangkan bagi aku inilah peluang untuk membawa bapak berjalan-jalan.

Saturday, 29 October 2011

Politik Kehidupan

Bergelumang dalam penulisan bergenrekan politik memang lelah, tapi aku memahami erti kehidupan dan semakin mengenal rentak sebanar dalam 'politik'. Sebelum ini seringkali aku dengar kata-kata bersifat sindiran yang memualkan dan dengan bersahaja dikatanya 'lumrah politik'.

Saban hari, dalam sesi wawancara sama ada secara langsung atau melalui talian telefon malah dalam pengamatan juga, aku dapat menilai sendiri berapa ramai ahli politik yang 'berpolik' dan segelintir cuma yang benar-benar tulus atas nama Rakyat Didahulukan.

Lebih memualkan apabila kehidupan juga 'dipolitikkan' sebagaimana kerjaya yang juga ada era 'politiknya' tapi dalam hal ini aku sering hindarkan diri.

Tuesday, 18 October 2011

Amira & Smart Reader Kids

Amira bersekolah di Smart Reader Kids setelah berada di Taska Anggur Unggu sejak dari usianya dua bulan (sebelum itu Taska Mawar Merah). Alhamdulillah, dia sentiasa bersemangat untuk bersekolah dan tidak menimbulkan banyak masalah sama ada untuk ke sekolah atau pun ketika bersama rakan sebayanya. Semoga anakku ini membesar dengan sempurna dan seimbang dalam ilmu dunia dan akhirat. 

Thursday, 22 September 2011

Kota Medan Yang Segan

pandangan Kota Medan dari bilik penginapan Hotel JW Marriot 
Dijalannya penuh kesibukan
Motor bergelandangan bersama debu-debu berterbangan
Ada penghuninya pelbagai lapis
Dari yang minta sedekah dijalanan
Hinggalah yang berkereta cermin hitam
Kota Medan yang segan
Di dadamu ada keresahan
Tampak beku dihimpit gelisah
Sendu pada wajah-wajah penghuninya
Mencari sesuap nasi
Panas hujan tiada terasa
Lelah dikesampingkan
Hasrat hati pada kebahagiaan
Mahukan kesejahteraan

Wednesday, 7 September 2011

Santai ngan lagu raya kegemaran...

Teringat zaman kanak-kanak, berlarian dengan abang-abang dalam sorotan mata ayahanda dan laungan bimbang suara bonda pada puteri bongsu keluarga.... aduhaiii

Jasad mak telah bersemadi sementara keuzuran pak membalut diri...
mohon ampunilah anakanda mu ini,
terlalu banyak kesalahan
lantaran kenakalan dan kealpaan yang tiada bernoktah....




Tuesday, 6 September 2011

Selepas Aidilfitri…


Mengikut perancangan, seharusnya aku kembali bertugas hari ini tapi ia terpaksa ditangguhkan ekoran kesihatan adik yang masih belum pulih sepenuhnya. Kasihan adik, dari sebelum Aidilfitri hinggalah hari ini kesihatannya pasang surut, antara demam, selsema dan batuk. Paling membimbangkan batuknya yang berlarutan biarpun sudah dirawat malah telah beberapa doktor ditemui bagi memastikan kesihatan adik kembali ke asal. Bermula doktor di klinik panel keluarga di Puncak Jalil hinggalah ke Putra Medical Centre di Alor Setar telah dikunjungi.

Dalam keadaan ini aku tidak menyalahkan sesiapa lantas bermuhasabah diri kerana barangkali kelalaian aku memastikan kesihatan anak menjadikan adik tidak sihat, dari soal pemakanan hinggalah kepada pemakaian aku perlu prihatin apatah lagi adik memang keletah dan sentiasa berselera.

Berbuka Di Luar…

Hari ke-27 Ramadan suami berkesempatan membawa aku dan anak-anak berbuka puasa di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh kami bersama anak-anak yang tentunya amat gembira kerana inilah kali pertama kami berbuka puasa di luar apatah lagi si kakak dapat melaksanakan puasa penuh.

Si abang memang sentiasa berselera tambahan pula dapat menu kegemaran iaitu mee goreng sementara si adik tidak banyak ragam; menjadikan suasana harmoni dan santai sambil disajikan persembahan kumpulan Rabbani.

Thursday, 1 September 2011

Hadiah Puasa Penuh…


Ceria anak-anak dapat hadiah dari abah terutamanya kakak yang sanggup berpuasa penuh walaupun usianya baru enam tahun. Jika diimbas dahulu, pada usia ini aku tidak pernah berpuasa tetapi kakak memang semangat, sehinggakan tubuhnya turut susut ekoran kurang makan nasi.

Janji telah ditunaikan, kakak mahukan kereta bateri dan si abang pula turut meminta motor kerana dia juga ‘puasa’ penuh…

Alhamdulillah, pada hari ke-27 Ramadan permintaan dan impian anak-anak dapat dipenuhi…. Sememangnya semua ibu bapa di dunia ini akan cuba sedaya mungkin untuk menunaikan apa saja permintaan anak-anak. Bukan saja untuk menggembirakan mereka tetapi dalam masa yang sama merealitikan impian sendiri. Bukan senang nak senang dan jangan cakap senang kalau nak senang tapi dengan usaha, doa dan keredhaan segalanya tidak ada yang mustahil.