Tuesday, 6 September 2011

Selepas Aidilfitri…


Mengikut perancangan, seharusnya aku kembali bertugas hari ini tapi ia terpaksa ditangguhkan ekoran kesihatan adik yang masih belum pulih sepenuhnya. Kasihan adik, dari sebelum Aidilfitri hinggalah hari ini kesihatannya pasang surut, antara demam, selsema dan batuk. Paling membimbangkan batuknya yang berlarutan biarpun sudah dirawat malah telah beberapa doktor ditemui bagi memastikan kesihatan adik kembali ke asal. Bermula doktor di klinik panel keluarga di Puncak Jalil hinggalah ke Putra Medical Centre di Alor Setar telah dikunjungi.

Dalam keadaan ini aku tidak menyalahkan sesiapa lantas bermuhasabah diri kerana barangkali kelalaian aku memastikan kesihatan anak menjadikan adik tidak sihat, dari soal pemakanan hinggalah kepada pemakaian aku perlu prihatin apatah lagi adik memang keletah dan sentiasa berselera.



Sebelum ini aku pernah berjanji dengan tersemat rapi di hati bahawa apa pun terjadi anak-anak tidak akan diketepikan waima kerja menjadi halangan, ditambah pula dengan adik yang pernah mempunyai sejarah kesihatan semasa berusia 32 hari tahun lalu. Aku rela menambah cuti lagi asal saja dapat tumpukan pada kesihatan adik sebelum aku kembali menghantar anak-anak ke pusat asuhan.

Tentunya aku akan dihantui rasa bersalah dan keterkilanan yang amat sangat atas kelalaian dalam memastikan anak-anak mendapat perhatian terbaik termasuklah tahap kesihatan yang sempurna. Keperitan ketika mengasuh dan berpantang di unit rawatan rapi selama tiga hari dan kemudiannya di wad kanak-kanak selama sembilan hari di Pusrawai masih tergambar jelas di ruang mata apatah lagi dengan wajah dan tubuh gebu adik yang dilingkari pelbagai wayar…. Tentunya aku tidak mahu ia berulang, justeru doaku semoga anak-anakku, keluargaku dan semua rakan taulanku dihindari dari azab penyakit dan kemelaratan… Insya-Allah.







No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers