Friday, 26 August 2011

Rutin Petang Ramadan

Saban petang aku akan membawa anak-anak ke taman permainan sementara menunggu waktu berbuka puasa. Alhamdulillah kerana tahun ini waktu pejabat tamat pukul 4.00 petang jadi aku berkesempatan untuk pulang dan memasak, hidang makanan atas meja dan 6.30 barulah bergegas ambil anak-anak di taska.

Sememangnya lebih baik aku sempurnakan semua kerja-kerja rumah dengan hidangan tersedia barulah kemudiannya ambil anak-anak dan luangkan sepenuh masa bersama mereka di taman permainan. Tergambar keceriaan di wajah mereka, dapat berlari-lari dan berkejaran selain sesekali Amira akan bertemu dengan rakan-rakan sekolahnya.

Masa setengah jam di taman ini memang cukup berbaloi berbanding jika terus balik ke rumah yang tentunya akan membuatkan suasana tegang ekoran Amer yang tak sabar untuk menjamah makanan sedangkan Amira berpuasa, kasihan pula kalau tak makan bersama… lagi pun berjemaah kan lebih baik.

Thursday, 25 August 2011

Syahdu Ramadan


Ramadan sudah hampir sampai ke penghujungnya dan beberapa hari saja lagi Aidilfitri akan diraikan. Dalam waktu-waktu ini ingatan pada arwah mak semakin terasa, rindunya pada mak, seakan terbayang renungan wajahnya selain suara lembutnya terngiang di telinga.

Benar, sesekali terbit rasa kecemburuan pada rakan-rakan yang masih mempunyai ibu. Bertuahnya mereka kerana dapat merasai kasih ibu dan menjadikan rujukan kala gelisah apatah lagi dalam usia dewasa.

Dalam masa yang sama aku teringat juga pada arwah mak mertua, dalam sekejap kasihnya terasa. Biarpun aku hanya dapat mengenali ibu mertua dalam jangka hampir tiga tahun sebelum dia pergi mengadap ilahi namun sikapnya yang sangat mengambil berat amat sebati dalam diri.

Saturday, 20 August 2011

Luahan Semangat


















Beberapa hari yang lalu aku menulis...

Dalam pendakian menuju ke puncak
Ia bukan semudah disebut dengan kata-kata
Apa lagi untuk digambarkan dengan suasana
Onak berduri dilalui dengan sejuta kepayahan
Tercalar diri terluka pedih
Namun perjalanan tetap diteruskan
Enggan diri alah pada rintangan yang datang
Takdir hari ini bukan penentu hari esok
Lantaran percaya pada diri
Disematkan kesungguhan
Digagahkan keyakinan
Pada lakaran kegemilangan
Langkah dilebarkan
Usaha digandakan
Insya-Allah, kejayaan akan ditemui

Friday, 19 August 2011

Tanpa yang lain...




















Suamiku…
Aku hanya seorang wanita
Yang luhur dan tulus menjadi suri hidupmu
Ingin sentiasa dilindungi dan dikasihani
Ingin sentiasa didakap dan dibelai manja
Menganyam cinta, menyulam sayang, mengatur rindu
Ketahuilah suamiku
Aku ingin menjadi permaisuri menemani hayatmu
Aku ingin menjadi permata bertakhta abadi
Aku ingin di sisimu bersama selamanya
Aku ingin tetap menjadi ratu dalam hatimu hingga akhirnya
Hanya aku bersamamu di kala sukar atau bahagiamu….

Friday, 5 August 2011

Berkat Ramadan...


Barakallah Ya Ramadan…. Allahu Akhbar. Bersyukur dengan pertemuan pencarian seorang sahabat yang suatu dulu amat akrab, ketawa dan menangis bersama tetapi kemudiannya hubungan kami terputus…. Sememangnya terbukti bahawa media maya hari ini amat membantu dan pencarian saban tahun beroleh hasil apabila aku tersua dengan Linda dalam laman fb.

Bersama Linda, walaupun sesungguhnya jangka perkenalan kami cuma beberapa tahun tetapi kerelaan dalam perkongsian kedukaan dengan menjadikannya sebagai penawar dalam kehidupan amat dalam maknanya, tetapi atas haluan hidup kemudiannya, hubungan akrab terus terputus.

Wednesday, 3 August 2011

Sambil Menyelam Minum Air




Laman ini sudah hampir bersawang ekoran kegagalan aku untuk menggunakan waktu senggang sebaiknya. Bohonglah jika aku tiada langsung masa terluang sebaliknya aku lalai mengusir sifat malas. Itulah aku yang acapkali lemah aku lawan apabila dibelenggu emosi sedangkan aku ada banyak pilihan untuk dibuat.

Apapun aku masih bertuah kerana dapat menggunakan ruang waktu yang ada untuk memenuhi hajat dan permintaan anak-anak bagi menaiki bas pulang ke Utara. Memang aku dan suami berhajat untuk menjenguk bapa yang semakin uzur sebelum kedatangan Ramadan dan dengan ruang yang terhad kami mengisi masa sambil memenuhi hajat anak-anak.

Thursday, 21 July 2011

Pertama Kali Amira Ke Klinik Gigi

Gigi depan Amira goyang, itu perkara biasa memandangkan usianya yang memasuki tujuh tahun. Masalahnya, gigi susu belum patah telah tumbuh pula gigi baru di belakang barisan gigi asal. Memang nampak tidak elok dan kerana kedegilan gigi susu yang dah berhari-hari goyang tetapi masih belum mahu patah jadinya Amira di bawa ke klinik gigi. Tidak banyak kerenah Amira kerana dia telah mengenali klinik gigi tersebut. Klinik gigi yang acapkali aku kunjungi bagi membuat rawatan. Tempatnya cantik, kemas dan bersih dengan doktor yang merawatnya juga ramah. Pengalaman pertama bagi Amira dan sekali cabut dua batang terus dibuatnya.

Wednesday, 15 June 2011

Percutian Tertangguh...Kasihan Adikkk...

Perancangan untuk bercuti selama dua hari di Pulau Pinang dan seterusnya pulang ke Alor Setar dan berkunjung ke rumah sanak saudara suami terpaksa bertukar ekoran kesihatan adik. Sepatutnya akan bermalam dua malam di Pulau Pinang dan berkunjung ke tempat-tempat menarik di sana barulah kemudiannya ke Kedah telah bertukar menjadi satu malam sahaja selain aku dan adik terpaksa menghabiskan masa sepanjang pagi di bilik sahaja sementara si kakak dan abang berteman abahnya mandi kolam dan turun ke Pantai Tanjung Bungah, Penang.

Kasihan si kakak dan abang yang begitu excited untuk bercuti lantas kami membawa mereka berkunjung ke Bukit Bendera dan kemudiannya ke Taman Kota lantas terus naik feri dari Pulau ke Tanah Besar. Lebih kasihan pada adik yang wajah dan badannya mula ditumbuhi bintik-bintik akibat deman chickenpox. Mujurlah sebelum bertolak sempat singgah di klinik mengambil ubat.

Tesis MA....


***catatan ini ditulis pada 8 Jun lalu ketika menghadiri Seminar tersebut:

Pagi ini diisi dengan menghadiri Seminar Pengajian Tinggi yang dibentangkan oleh dua orang calon PhD dan seorang calon MA di Jabatan Pengajian Media UM. Aku perlu mengisi minda dan mencari pengalaman berdasarkan pembentangan senior-senior ini kerana semestar akan datang giliran aku pula yang perlu melakukan pembentangan ini... InsyaAllah.

Seperti mana penyelia aku maklumkan, aku perlu sebati dengan tajuk malah dalam mimpi sekalipun aku perlu terus memeluknya.

Terbukti para pembentang sangat arif berkaitan tajuknya, objektif, kajian dapatan, theoretical framework, methodology dan kemudian berhujah mengenainya. Kemudiannya ditambah lagi dengan bersoal jawab para penilai, dua orang profesor bertauliah yang tentunya arif bidang berkaitan. Itu belum lagi adanya soalan bonus dari khalayak yang datang....

Saturday, 11 June 2011

Kanser Payudara


antara ikon wanita tabah yang berperang melawan kanser payudara
Apabila kesakitan datang menghimpit pastinya kehidupan sudah tiada lagi indahnya…. Perkhabaran pagi ini amat mendukacitakan apabila seorang insan rapat memaklumkan bahawa isterinya menghidap kanser payudara. Tahap kedua yang ubatnya adalah pembedahan membuang sebelah dari payudaranya. Sementara itu jangkaan untuk hidup pula hanya dalam tempoh enam bulan sahaja. Mengeluh panjang aku sedang dalam hati mohon dihindarkan kesakitan sedemikian pada diri sendiri, keluarga dan seluruh rakan taulan.

Apa yang mampu aku katakan selain ucapan semangat agar ketabahan dapat dikongsi bersama isterinya yang sangat ‘down’. Memang, siapalah yang dapat menerima hakikat jika selama ini sihat tangkas dan bersemangat tetapi rupa-rupanya memendam penyakit yang menjadi antara pembunuh utama wanita di seluruh dunia. Jika aku sendiri pun tentunya akan terasa amat terkilan sekali…. Nauzubillah….

Wednesday, 1 June 2011

Anak kembali ke taman asuhan


Setelah tragedi menakutkan apabila pembantu rumah lari meninggalkan anak-anak di rumah tanpa sebarang pengawasan amat membuat aku fobia. Cukuplah, serik untuk aku mendapatkan pembantu rumah lagi buat masa ini…. Sampai bila masih tak pasti.

Pilihan yang aku ada adalah menghantar kembali anak-ankku ke taska. Mulanya Amira membantah tetapi setelah aku beri penerangan rasional berdasarkan usianya yang baru enam tahun, alhamdulillah dia dapat menerimanya sementara Ameer banyak dipengaruhi oleh kakaknya.

Monday, 23 May 2011

Dalam sakit ada penawarnya

Allah Maha Mengetahui…. Dalam hati gundah dan parah atas insiden yang berlaku, masih ada penawar yang bisa membuatku rasa lega. Alhamdulillah, jika semalam aku parah tapi hari ini aku pasrah dan redha. Benar bahawa tidak selamanya kesakitan akan menyelubungi kerana semua masalah pasti ada penyelesaianannya.
Syukur padu-Mu Ilahi atas kurnia yang Kau limpahkan pada hamba-Mu yang kerdil ini.