Saturday, 11 June 2011

Kanser Payudara


antara ikon wanita tabah yang berperang melawan kanser payudara
Apabila kesakitan datang menghimpit pastinya kehidupan sudah tiada lagi indahnya…. Perkhabaran pagi ini amat mendukacitakan apabila seorang insan rapat memaklumkan bahawa isterinya menghidap kanser payudara. Tahap kedua yang ubatnya adalah pembedahan membuang sebelah dari payudaranya. Sementara itu jangkaan untuk hidup pula hanya dalam tempoh enam bulan sahaja. Mengeluh panjang aku sedang dalam hati mohon dihindarkan kesakitan sedemikian pada diri sendiri, keluarga dan seluruh rakan taulan.

Apa yang mampu aku katakan selain ucapan semangat agar ketabahan dapat dikongsi bersama isterinya yang sangat ‘down’. Memang, siapalah yang dapat menerima hakikat jika selama ini sihat tangkas dan bersemangat tetapi rupa-rupanya memendam penyakit yang menjadi antara pembunuh utama wanita di seluruh dunia. Jika aku sendiri pun tentunya akan terasa amat terkilan sekali…. Nauzubillah….


Namun demikian, ubat paling mujarab untuk kanser adalah semangat bukan sahaja dari dalam diri sendiri tetapi apa yang lebih penting adalah sokongan dari keluarga dan orang tersayang. Jika insan ini diberikan dugaan sedemikian tetapi dia masih bertuah kerapa dengan kemampuan kewangannya dapat memilih pakar dan hospital terbaik untuk dirinya malahan akan berubat di luar negara dari sebuah pusat kanser terkemuka di peringkat antarabangsa.

Maka terus saja aku teringatkan abang Cici. Kanser juga penyakitnya dan kekuatan semangat adalah ubatnya sekarang dalam menghadapi setiap rawatan yang terlalu amat menyakitkan. Malangnya, kemampuan abang Cici amat terhad apatah lagi sekarang hanya mengharapkan isterinya; ditambah pula anak-anak yang masih kecil dan bersekolah. Namun abang Cici telah melepasi tempoh enam bulan yang diberikan oleh doktor.
Pasrah. Ketentuan Allah melangkaui akal fikir manusia. Allah memberikan dugaan pada setiap hambanya. Menurut insan tersebut, barangkali kanser payudara tersebut berlaku ekoran kegagalan memberikan susu ibu kepada empat orang anak-anaknya sejak lebih dua puluh tahun lalu. Itulah petanda paling tepat yang gagal dikesan.

Aku redha atas apa yang ada dan alhamdulillah aku amat bersyukur atas rahmat-Nya terhadap diriku, keluarga dan sahabatku semua. Semoga Allah terus memberi kekuatan pada semua insan yang diberi dugaan seperit ini.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers