Thursday, 19 May 2011

Tergamak…Anak Ditinggal Lari


Ujian datang silih berganti namun aku tidak pernah termimpi untuk diduga sedemikian. Sungguh…, seakan jiwa melayang bercerai dari tubuh memikirkannya. Sangkaan bahawa pembantu rumah yang baru seminggu bersama akan dapat menjadi galang ganti ‘mak su’ kepada anak-anakku meleset malah tingkahnya jauh menyimpang dari pemikiran akal waras manusia.

Tergamak dia meninggalkan anak-anakku sendirian…. Aduhai, apalah yang Amer dalam usia tiga tahun mampu lakukan apabila ditinggalkan bersama si adik Afrina yang baru setahun tiga bulan dalam buaian sedang Amira masih di sekolah.

Airmata mengalir tak tertahan sedang suara tidak mampu terluah lagi saat menerima pesanan ringkas dari Susi dengan ayat: Ibu minta maaf, sebetulnya saya senang kerja sama ibu. Ibu pulang, saya dijemput abang di Kelang dengan dipaksa. Maaf wasslm.

Wednesday, 11 May 2011

Melayu Terbilang

Atas tugasan rasmi, aku laksanakan tanggungjawab mewawancara tokoh Ahli falsafah Islam dan cendikiawan ulung Prof. Dr Syed Muhammad Naquib Ali Al-Attas.

Awalnya tugasan ini dilihat amat rumit berikutan persepsi yang diungkapkan oleh pihak lain.
Kononnya beliau seorang yang sangat protokol sebagaimana darah aristokrat yang mengalir dalam dirinya. Namun demikian atas nama amanah maka kekuatan dikumpulkan bersandarkan kepada keyakinan dan pengalaman yang telah ada selama ini.

Saturday, 30 April 2011

Andainya aku suri rumah…

Kakak bersama air milo kegemaran

Aduhaiiii… lelah rasanya melayan kerenah putera puteri yang sememangnya amat menuntut kesabaran. Inilah yang dituntut oleh seorang ibu berkerjaya dan dalam masa yang sama bergelar pelajar, ditambah lagi dengan kehilangan pembantu rumah di kala keadaan amat gawat.

Friday, 29 April 2011

Peperiksaan


Alhamdulillah, exam untuk semestar ini dapat aku lalui dengan semua soalan-soalan dapat aku jawab dengan yakin. Sesungguhnya, bukan mudah untuk aku sampai ke tahap ini dan menghadapi segalanya sebagaimana mungkin pelajar lain yang sepenuhnya bergelumang dengan buku. Namun begitu aku bersyukur sebab aku mampu menangani semua cabaran dan rintangan biarpun aku terpaksa korbankan masa tidurku.

Sunday, 24 April 2011

Dugaaan untuk mematangkan diri…

Satu persatu dugaan datang, terasa sungguh bebannya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas berada di bumi Kenyalang selama 13 hari aku kembali ke Ibu Kota. Laporan selama bertugas di sana perlu aku sediakan dengan sebaiknya dalam masa yang terhad sedangkan tuntutan sebagai pelajar masih gagal aku penuhi. Kertas kerja masih ada berbaki dua, kelas terakhir juga ada dua pembentangan yang perlu aku lunaskan sedangkan ‘powerpoint’ utk pembentangan masih belum ada.
Dalam kesibukan akhirnya aku alah, aku perlu tumpukan perhatian pada pelajaran sedangkan hati sedikit tercalar atas apa yang berlaku di pejabat. Aku pujuk hati untuk redha dan ikhlaskan diri atas apa yang berlaku di sekelilingku, enggan aku mengeluh biarpun terlalu payah. Untuk bersifat ikhlas ada batasannya apatah lagi setelah masa bersama anak-anak dan keluarga seringkali aku korbankan.
Aku mohon cuti yang panjang kerana aku mahu tumpuan penuh pada pelajaran, untuk kertas kerja, untuk pembentangan terakhir dan untuk pepepriksaan Isnin nanti…. Namun dalam kesediaan aku untuk mengharungi segalanya aku dikejutkan dengan kematian abang ipar yang terlantar sejak dua bulan lalu. Aku bergegas bersama suami yang sangat memahami. Sehingga ke lewat malam aku menemani kak Piah sehinggalah selesai urusan pengkebumian. Pulang ke rumah terasa lelahnya sedang fikiran menerawang memikirkan hari berikutnya pula, ada perbincangan dalam kumpulan, ada wawancara untuk kertas kerja dan ada seminar yang perlu aku hadiri.

Wednesday, 16 March 2011

Kerja Sambil Lewa???

Apabila apa yang kita lakukan diperlekeh dan dipersendakan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal. Fikiran waras manakah yang boleh menerima kritikan menghentam tanpa sebarang diplomasi sedangkan telah sejak awal lagi persoalan ditanya, perbincangan diminta dan kata-kata teguran diharapkan, tapi jawapannya tiada ibarat sempurna segala laku dan tingkah….
Namun demikian, apabila keadaan sudah terlalu suntuk pelbagai kata-kata dikeluarkan sehingga tergamak mempertikaikan berkaitan tahap pengetahuan dan pembelajaran selain tuduhan kerja dilakukan dengan ala kadar saja.
Aduhaiii… terasa panas telinga, sebak dada dan bertakung airmata sedang diri terkorban dalam kerjaya, anak-anak ditinggalkan pada pengasuh, menuntut pemahaman dari suami lantas diri terasa begitu lunyai dek lelah yang terlalu perit tanggungannya. Kenapa persoalan sedemikian diluahkan sedangkan rasanya ada pihak yang lebih wajar untuk menerima kata-kata sedemikian. Ketidakpuasan hati menjalar. Kenapa ketegasan ini tidak dihamburkan pada yang sememangnya bermasalah?
Sungguh, aku tidak menuntut kata-kata pujian biarpun dengan sebaris ucapan terima kasih pun, jauh sekali penghargaan berbentuk hadiah atau taburan pemberian pelbagai rupa.
Aku laksanakan tanggungjawab dan amanah seikhlas mungkin biarpun adakalanya tercuri juga masa-masa santai bersama keluarga pada hujung minggu. Itu semua tidak aku endahkan tetapi bagaimana mungkin penilaian sedemikian kejam dilontarkan pada aku apatah lagi oleh insan yang aku kagumi selama ini. Konon sambil lewa…. Adakah percuma kerahan tenaga jika tiada rasa benar pada apa yang terluah. Maaf, itu bukan penyudahnya… lupakan saja…

Thursday, 10 March 2011

Wasiat Pak...

Dari 12 beradik, hanya ini anak-anak pak yang masih ada
Kelmarin, dalam kesibukan… aku bergegas ke Gombak selepas melangsaikan tugasan di pejabat. Bapak nak jumpa dengan semua anak-anak bapak, dan aku mesti ada. Aku maklum, kerana aku adalah anak bongsu dan tunggal perempuan daripada 12 orang adik beradik. Bapak kata kalau aku tidak dapat hadir maka yang lain-lain juga tidak usahlah datang. Sampai begitu sekali….
Anak-anak bapak semua ada dan sebelum bapak muncul kami semua sudah sepakat bahawa apa sahaja kata-kata bapak tidak akan dibantah.
Bapak memulakan suara. Pertama tanah pusaka yang ada biarpun nilainya terlalu rendah dan tidak ada kepentingan perlu dijaga. Soalnya, apakah anak-anak bapak seramai tujuh orang yang masih hidup ini sanggup untuk menjaganya? Semua menjawab ya tapi sepakat ia akan dipertanggungjawabkan kepada abang Kamal. Pinta bapak, apa-apa berlaku silaturrahim dan muafakat bersama adik-beradik perlu terus dilunaskan.

Monday, 7 March 2011

Apa Pilihan Yang Ada???


Selepas 10 hari di luar Ibu Kota kerana PRK Kerdau, aku kembali ke rumah. Gembira berkumpul semula dengan anak-anak dan keluarga tersayang namun kemudian rasa gelisah yang dipendam terhampar juga. Hati gundah bimbangkan anak-anak yang barangkali tidak sempurna pengurusannya berikutan tanpa pembantu.

Akulah wanita berkerjaya yang terperangkap dalam dilema. Pembantu rumah yang rajin telah kembali ke kampung halamannya sejak 18 Februari lalu. Janjinya akan kembali ke sini dan meneruskan tugas mengasuh anak-anakku namun sehingga ke hari ini tiada sebarang perkhabaran. Kecewanya hati mengenangkan nasib anak-anakku yang barangkali akan kembali kembali ke pusat asuhan kanak-kanak. 

Thursday, 3 March 2011

Jauh Merindu

Berada dikejauhan,
menakung rindu yang deras mengalir
sedang waktu terasa lambat berlalu.

Atas pengorbanan yang sentiasa didamba ketulusannya,
secangkir tenaga diluah jua biarpun lelah yang menggunung,
tetapi ia terus mahu diusir pergi.
Minggirlah wahai rasa gundah
agar amanah tergalas mampu dilaksana sesempurna mungkin.
Ketepilah duhai gelisah agar hilang sebak di jiwa.
Berlari mencari keluhuran yang kelam,
menggilap kesucian yang tenggelam dek kedangkalan hati nurani insani.
Akukah itu…,
hamba kerdil meniti bait hidup bertongkatkan takwa yang terlalu rapuh.
Mohon,
berikanlah hidayah berlampirkan kesabaran
atas nyanyian hidup ini terus dapat aku lagukan….

@ cc, prk kerdau

Monday, 28 February 2011

Abang Cici Sakit, Penangan Rokok Undang Kanser


abang Cici semakin kurus ekoran serangan barah

Jiwa terusik… aduhai, bagaimana untuk dirawat lagi sedangkan barah yang ada sudah semakin menjalar. Dalam usia menjengah 50 tahun abang Cici sudah kritikal. Itu kata doktor pakar di Hospital Selayang selepas abang Cici buat sekali lagi imbasan di perutnya. Memang perit untuk diterima dan aku tahu tentunya beban yang tergalas di bahu abang Cici lebih dari apa yang aku bayangkan.
Abang Cici disahkan mengidap kanser usus pertengahan tahun lalu, memang serius hinggakan pembedahan dibuat. Kemudian radioterapi dan kimoterapi selain buat terapi harian saban hari di Hospital Kuala Lumpur. Sangkaan ketika itu, sel kanser telah tiada tapi malangnya sekarang ia makin merebak. Doktor telah membayangkan kemungkinan pada satu pengakhiran lantaran tiada ubat untuk merawatnya lagi….
Keadaan fizikal abang Cici tidak menunjukkan keuzurannya selain tubuhnya yang semakin melidi. Abang Cici masih mampu menunggang motor ke sana ke mari termasuklah mengurus segala keperluan kecuali melakukan kerja-kerja berat. Barangkali abang Cici gagahkan diri berdepan semua kesakitan. Mungkin juga enggan diketahui orang lain. 

Thursday, 24 February 2011

Mengenali Tanpa Dikenali

Aku belajar mengenali tanpa dikenali kerana aku tidak mahu sesekali menjadi kail memancing tanpa umpan, lagak pada tingkah sedang hasilnya kosong tanpa noktah.
Biarlah…biarpun memang ada insan sedemikian yang seringkali aku gagal bezakan antara ketulusan, keluhuran dan pembohongan tapi aku sentiasa sematkan di hati agar terjauh dari kekhilafan dan terus bersangka baik agar kepuasan dapat aku kecapi.
Terima kasih Tuhan…, kurnia dari-Mu lebih dari mencukupi biarpun aku seringkali dangkal mensyukuri setiap rahmat-Mu.

Wednesday, 23 February 2011

Nostalgia Sudirman Hj Arshad Pembakar Semangat


Tarikh 22 Februari, melalui rutin saban pagi memandu dalam kesesakan lalu lintas sambil mendengar putaran radio hot fm hari ini agak berbeza dengan hari-hari lainnya. Tidak terasa kebosanan atau lelah bersandar di tempat duduk, sedang kaki bersilih ganti antara pedal minyak dan gear ekoran isu yang diutarakan ialah imbasan bersama Allahyarham Sudirman.

Persoalan yang diutarakan ialah apakah kenangan atau nostalgia bersama/berkaitan Allahyarham seniman agung ini?

Kemudian aku tersorot dalam nostalgia berkaitan beliau, kerana aku juga terdorong dalam arena penulisan adalah kerana beliau. Aku mengagumi bakat yang ada padanya, lagu-lagunya menjadi pujaanku dan telatahnya sentiasa menghiburkan.