Thursday, 19 May 2011

Tergamak…Anak Ditinggal Lari


Ujian datang silih berganti namun aku tidak pernah termimpi untuk diduga sedemikian. Sungguh…, seakan jiwa melayang bercerai dari tubuh memikirkannya. Sangkaan bahawa pembantu rumah yang baru seminggu bersama akan dapat menjadi galang ganti ‘mak su’ kepada anak-anakku meleset malah tingkahnya jauh menyimpang dari pemikiran akal waras manusia.

Tergamak dia meninggalkan anak-anakku sendirian…. Aduhai, apalah yang Amer dalam usia tiga tahun mampu lakukan apabila ditinggalkan bersama si adik Afrina yang baru setahun tiga bulan dalam buaian sedang Amira masih di sekolah.

Airmata mengalir tak tertahan sedang suara tidak mampu terluah lagi saat menerima pesanan ringkas dari Susi dengan ayat: Ibu minta maaf, sebetulnya saya senang kerja sama ibu. Ibu pulang, saya dijemput abang di Kelang dengan dipaksa. Maaf wasslm.

Aku dan suami berkejar sedang jarak tempat kerja kami bukanlah sejengkal cuma… Masyaallah…sesampainya di rumah aku lihat Ameer sedang membuai Afrina. Kunci rumah hanya dicampak ke dalam. Pantas soalanku pada Amir bertanyakan Mak Su, jawabnya dalam pelat dengan suara tertahan “Mak Su dah pegi dah, naik keter. Abang nak ikut tak bagi. Abang nangis la.”

Aku dakap Ameer dalam tangisan yang amat sangat lantas Afrina terus aku dukung. Ya Allah, sepenuh kesyukuran dipanjatkan padu-Mu atas keselamatan dan kesejahteraan anak-anakku. Dalam musibah ini aku bersyukur kerana mereka diberi perlindungan tanpa sebarang kecelakaan.

Aku cuba hubungi Susi dari awal tapi tidak berjawab lantas amarahku lampiaskan dengan mesej ringkas yang bertali arus. Aku maki dan cerca dia kerana tergamak meninggalkan anak kecil sedemikian sedangkan mereka adalah amanah dari Allah. Barangkali terkesan dengan mesej aku yang membuak caciannya, Susi mengutus mesej berjawab: Apapun perkataan ibu saya terima. Memang saya yang salah, bukan tak punya prikemanusiaan sebetulnya tak sampai hati meninggalkan anak tak punya dosa. Sikap ibu bukan tak cocok apalagi bapak berhati mulia. Saya meninggalkan kerana keadaan terpaksa. Orang yang jahat sukak meres keringat orang. Saya disuruh lari untuk kerja pembantu yang gajinya 2 juta 5 ratus.

Dan kemudiannya amarahku semakin membuak dengan disusuli pelbagai cercaan lain pada Susi. Apa lagi yang belum cukup…. Tugasnya di rumahku hanya untuk menjaga anak-anakku, sedang memasak, membasuh dan mengemas segalanya aku usrsukan sendiri.

Aku jadi fobia untuk meninggalkan anak-anakku. Biarlah Susi yang tak berhati perut keluar dari rumahku. Kali ini wang bernilai RM4000 terlalu kecil nilainya jika dibandingkan dengan anak-anakku yang tidak ada galang gantinya.

Pujuk Ameer padaku, “mama jangan la nangis, nanti abang nangis.”

Jiwa meruntun…. Enggan memikirkan penyelesaiannya, biarlah dahulu kerana aku mahu luangkan segalanya demi anak-anakku…. Dan Susi sehingga kini aku masih bertali arus melemparkan cacian atas nistanya meninggalkan anak-anakku.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers