Saturday, 20 December 2014

Taman Kecil di Laman Rumah

Landskap taman kecil di laman rumah kembali lagi. Bermakna Mr Hubby kembali ke hobi asalnya, menikmati tanaman pepohon menghijau dengan kreativiti untuk mengindahkan laman kecil di hadapan rumah. Sememangnya ruang yang terhad bukan alasan untuk tidak menyemai tanaman, malah ianya dimulakan sejak awal dari perpindahan kami ke rumah ini. Pohon-pohon menghijau ditaman di sudut laman dengan di sekelilingnya diletakkan tanaman berpasu yang juga tidak berbunga. Deretan pasu diletakkan yang kemudiannya dihiasi batu-batu besar dan ditaburi batuan kecil berwarna putih. Mr Hubby membeli batuan kecil putih dan juga yang bersaiz lebih besar berwarna hitam sebagai hiasan taman kecil ini. Bukan itu sahaja, dibelinya juga rerumput mutiara bagi menghijaukan landskap yang baru tersemai. 
Seharian dikerjakan taman kecil ini, dengan cangkul, pengorek tanah dan beberapa peralatan berkebun ada bersama. Ditambah juga tanah-tanah baharu; tanah hitam dan tanah merah yang kemudiannya disiramnya. Kebetulan musim hujan jadi tentunya taman kecil ini akan subur. Anak-anak berlarian, sesekali membantu menabur batuan, mencangkul dan bermain tanah tetapi bukanlah menolong cuma sekadar menemani. Aku pula, lebih banyak memerhati dan sesekali menjadi mandur yang akan meminta dibetulkan itu dan ini. Mr Hubby memang tidak banyak bicara jika melakukan kerja malah lebih suka tanpa ada sesiapa bersama lantas kemudian melihat hasilnya. Tidak banyak pohon berbunga ditanamnya selain daripada bunga melur kecil yang berbunga harum. 

Untuk taman ini aku mempunyai permintaan pada Mr Hubby, mahukan sangkar burung yang di dalamnya ada burung-burung kecil pelbagai warna sebagaimana yang pernah aku lihat di rumah salah seorang VIP sewaktu aku berkunjung ke rumahnya suatu ketika dahulu. Biarpun laman kami tidak sebesar laman rumah VIP itu tetapi aku mahukan kicauan beburungnya turut sama memeriahkan persekitaran rumah kami. Juga sebuah pancuran air yang kecil di salah satu sudut di laman rumah. Bukankah itu semua pernah Mr Hubby realitikan suatu ketika lalu sebelum hobi ini tenggelam dalam kesibukannya dengan kerjaya? 

Aku membayangkan ada bunyian kicauan burung-burung dengan diiringi pancuran air yang diselubungi pepohon menghijau. Ada gelak tawa anak-anak dan harum bebunga melur di taman. Sungguh mendamaikan dalam kawasan perumahan yang kaku. Aku tidak mahu ada arnab lagi lantaran penjagaannya yang agak remeh. Cukuplah itu sahaja sebagaimana kelangsungan kehidupan kami dalam satu keluarga harmoni, Alhamdulillah!




No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers