Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan kerana atas limpah-Nya, aku dan Mr.Hubby telah 11 tahun bergelar pasangan suami isteri. Semoga ikatan ini akan berkekalan dalam rahmat-Nya hingga ke akhir hayat dan kemudian kami disatukan lagi di alam kekal di sana nanti. Untuk ulang tahun ke-11, aduhai... antara kami terlalu sibuk menguruskan kemasan rumah kerana akan menghuni kediaman sendiri dalam beberapa hari lagi...
Tentunya, keterujaan bukanlah pada penghargaan melalui hadiah atau apa-apa pemberian kerana pengisian untuk sepanjang 11 tahun bersama adalah keutamaan. Berpasangan, berkongsi kehidupan dan kemudian dikurniakan tiga insan lain menjadikan hidup ini terlalu mewah dan meriah. Saban hari ada-ada sahaja yang baharu untuk diceritakan, berkaitan anak-anak terutamanya.
Bagi seorang wanita pastinya penukaran panggilan dari cik kepada puan adalah satu pengiktirafan. Panggilan ini menjauhkan fitnah, menghindarkan cela dan menghapuskan pelbagai prasangka dalam masyarakat yang amat rigid dengan budaya tradisional. Betapa ramainya wanita yang anggun, berkerjaya dan berjaya namun gagal mendapat pasangan untuk membolehkan dirinya mendapat panggilan puan. Lebih manis lagi, daripada panggilan seorang isteri kemudiannya bergelar pula ibu yang tentunya bukan semua wanita bergelar puan juga dapat mengecapinya. Indah sekali....
Sememangnya, bukan pada waktu permulaannya yang kini difikirkan namun pengisiannya adalah keutamaan. Bagaimana tempoh 11 tahun ini diisi untuk satu tempoh kesekian kalinya, yang tentunya aku mengharapkan akan terpejam mata dengan dia ada di sisi, malah jika usia dipanjangkan maka dia jugalah yang akan kekal memimpin tangan ini dan menyelimuti diri saban malam, jika sakit masih juga mengharapkan agar dia yang menghulurkan ubat atau menyapu minyak panas.... Terus mengharapkan keredhaannya atas setiap waktu yang berdetik atau setiap helaan nafas yang dihembus dan aku masih juga berpegang pada kejujuran yang menjadi teraju dalam perhubungan, lantas setiap langkahku semuanya adalah atas pengetahuannya kerana sedar restu dari suami bermakna redha Allah kepada diriku.
Jika diukur dari perwatakannya, Mr Hubby terlalu biasa... biasa-biasa sahaja yang banyak meluangkan masa demi kerjaya, diisi dengan rakan-rakan dan hobinya juga namun keluarga adalah segalanya. Romantis dengan caranya, bukan dengan pemberian bunga namun pernah juga aku menerimanya, ada juga hadiah-hadiah yang tak terjangka tapi bukan selalu kerana itulah istimewanya malah pernah aku terpujuk dengan coklat yang tiba-tiba ada dalam tas tanganku. Tiada kata-kata tetapi lebih kepada peribadi....
Tentunya dalam kehidupan jangan terlalu banyak meminta tetapi usahakanlah untuk selalu memberi. Kami berkongsi tanpa kata tapi dalam ruang yang sama. Untuk kesekian kalinya, kehidupan kami bukan hanya untuk berdua tetapi ada Amira, Ameer dan Nina selain ahli keluarga besar yang kami sentiasa pelihara bersama. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment